Hukum Menyerap Kos Tambahan Hotel Dalam Sewa Dewan

Soalan

Apakah hukum berkenaan urusan tempahan hotel apabila dalam sesetengah keadaan kadar sewa dewan dinaikkan bagi menampung kos tambahan seperti bilik penginapan, kadar bilik yang tinggi atau kos jamuan makan. Semua maklumat ini dimaklumkan kepada majikan dan dipersetujui.

Apakah hukum kaedah tersebut dari sudut syarak? Sekiranya tidak dibenarkan, adakah pihak yang mengurus tempahan perlu menggantikan semula wang tersebut, dan adakah ia dikira sebagai hutang sekiranya tidak dibayar?

Penjelasan

Dalam akad ijarah, kadar sewa hendaklah ditentukan dan dinyatakan dengan jelas bagi mengelakkan berlakunya jahalah (ketidakjelasan) yang boleh menimbulkan pertikaian. 

Justeru, sekiranya kadar sewa dewan dinaikkan kerana melibatkan kos tambahan seperti penambahan bilik penginapan, kadar bilik hotel yang lebih tinggi, atau jamuan makan, maka adalah dibenarkan untuk menggabungkan semua kos tersebut ke dalam kadar sewaan dewan, dengan syarat setiap kos berkenaan dijelaskan secara telus pada waktu akad.

Penjelasan yang terperinci mengenai sebab kenaikan serta jumlah tambahan tersebut merupakan syarat penting agar akad ijarah itu sah dan mengikat kedua-dua pihak yang berkontrak.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi Dan Rukun “Ijarah”

Akad sewaan, Mengupah atau al-ijarah bermaksud:

عقد على منفعة مقصودة معلومة قابلة للبذل والإباحة بعوض معلوم 

Maksudnya: “Akad terhadap manfaat (yang) dimaksudkan dan diketahui, (serta) boleh digunakan dan harus (digunakan) dengan balasan yang diketahui.” [Rujuk: Mughni al-Muhtaj, Jld. 2, Hlm. 332]

Terdapat 4 rukun dalam akad Ijarah iaitu:

  • ‘Aqidan (2 orang yang melakukan akad).
  • Sighoh (lafaz akad, iaitu ijab dan kabul).
  • Ujrah (bayaran).
  • Manfaat

Setiap rukun ini mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan akad ini sah.

Antara syarat utama dalam akad ijarah (sewaan atau upah) ialah kadar upah (al-ujrah) mestilah ditentukan dengan jelas serta diketahui secara sempurna oleh kedua-dua pihak yang berakad. Penetapan ini berfungsi menafikan sebarang bentuk jahalah (ketidakjelasan) yang berpotensi menimbulkan pertikaian di kemudian hari. Sekiranya kadar upah tidak dijelaskan dengan terang, maka ia membuka ruang kepada salah faham dan perselisihan yang boleh merosakkan tujuan asal akad.

Oleh itu, apabila kadar upah ditentukan secara jelas serta dipersetujui tanpa sebarang keraguan, dan ia disertai dengan syarat-syarat lain yang telah digariskan syarak serta disempurnakan rukun-rukunnya, maka akad ijarah dianggap sah serta mempunyai kekuatan mengikat kedua-dua pihak. 

Hal ini menepati kaedah syariah bahawa setiap transaksi muamalat hendaklah berasaskan kejelasan, kerelaan, dan keadilan agar maslahat bersama dapat dicapai serta mengelakkan sebarang bentuk kezaliman atau penindasan.

Al-‘Allāmah al-Kāsānī al-Hanafī berkata:

وأما الذي يرجع إلى المعقود عليه فضروب: منها: أن يكون المعقود عليه وهو المنفعة معلومًا علمًا يمنع من المنازعة، فإن كان مجهولًا ينظر إن كانت تلك الجهالة مفضية إلى المنازعة تمنع صحة العقد، وإلا فلا؛ لأن الجهالة المفضية إلى المنازعة تمنع من التسليم والتسلم فلا يحصل المقصود من العقد، فكان العقد عبثًا لخلوه عن العاقبة الحميدة، وإذا لم تكن مفضية إلى المنازعة يوجد التسليم والتسلم فيحصل المقصود

Maksudnya:”Adapun perbincangan berkaitan dengan objek akad, maka ia terdiri daripada beberapa isu: antaranya ialah mestilah objek akad iaitu manfaat (yang disewa) itu diketahui dengan pengetahuan yang menghalang daripada pertikaian. Jika ia tidak diketahui, maka dilihat: sekiranya ketidakjelasan itu membawa kepada pertikaian, ia menghalang sahnya akad; sebaliknya jika tidak membawa kepada pertikaian, maka tidak mengapa. Hal ini kerana ketidakjelasan yang membawa kepada pertikaian akan menghalang daripada berlakunya penyerahan dan penerimaan, lalu tujuan akad tidak tercapai. Maka akad itu sia-sia kerana tiada kesudahan yang baik. Namun jika tidak membawa kepada pertikaian, maka penyerahan dan penerimaan tetap berlaku, dan tujuan akad pun tercapai.” [Rujuk: Badā’i‘ al-Sanā’i‘, Jld.4, Hlm.179-180]

Al-‘Allāmah Syams al-Dīn al-Ramlī menyebut:

(وَيُشْتَرَطُ) لِصِحَّةِ الْإِجَارَةِ (كَوْنُ الْأُجْرَةِ مَعْلُومَةً) جِنْسًا وَقَدْرًا وَصِفَةً

Maksudnya: “(Disyaratkan) untuk sahnya ijarah (hendaklah kadar upah itu diketahui) dari segi jenis, kadar dan sifatnya.” [Rujuk: Nihāyat al-Muhtāj, Jld.5, Hlm.266]

Kesimpulan

Akad ijarah menuntut kepada penetapan kadar sewaan yang jelas dan terperinci bagi mengelakkan sebarang keraguan atau perselisihan. Oleh itu, sekiranya pihak pengurusan hotel atau penganjur ingin menggabungkan kos tambahan seperti bilik penginapan, kadar bilik yang meningkat, atau jamuan makan ke dalam kadar sewaan dewan, maka langkah tersebut adalah harus dengan syarat setiap butiran kos berkenaan dimaklumkan secara nyata kepada pihak yang berakad.

Sekiranya perkara ini tidak diperincikan, ia boleh membawa kepada unsur jahalah yang dilarang dalam syarak kerana membuka ruang pertikaian. Maka, kejelasan dan ketelusan dalam penetapan kadar sewa adalah asas penting yang memastikan akad berjalan dengan sahih, memenuhi tuntutan keadilan, dan menutup ruang khilaf di kemudian hari.

Sekiranya kedua-dua pihak telah diberikan penjelasan yang jelas berkaitan kos akad serta manfaat yang bakal diperoleh daripada bayaran tersebut, maka kadar upah yang dipersetujui dianggap diketahui secara sempurna dan menafikan sebarang ketidakjelasan. Justeru, mereka wajib menerima serta menyempurnakan akad tersebut, sebagaimana firman Allah Ta‘ālā:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ  

Maksudnya:  “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala akad (perjanjian)”

(Surah al-Maidah 5:1)

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahua’lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑