Setiap kali musim haji menjelang, pasti ada kisah sedih yang tular, bakal jemaah tertipu dengan pakej tidak berlesen, wang simpanan lesap, malah ada yang terkandas di lapangan terbang tanpa dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Apa yang lebih menyayat hati, penipuan ini berlaku atas nama agama, dengan menjadikan keinginan menunaikan rukun Islam kelima sebagai umpan untuk menipu.
Dalam Islam, ibadah haji hanya diwajibkan bagi mereka yang memiliki istita‘ah — kemampuan dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan perjalanan. Allah SWT berfirman:
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. ”
(Surah Ali ‘Imran, 3:97)
Namun, kemampuan bukan sekadar mampu membayar kos haji. Ia juga meliputi keupayaan memilih jalan yang selamat dan sah menurut undang-undang. Seseorang yang benar-benar beristita‘ah ialah mereka yang bijak dan berhati-hati agar tidak terpedaya oleh pihak yang menggunakan agama untuk mengaut keuntungan haram.
Menurut prinsip Maqasid al-Syariah, penipuan seperti ini bukan sahaja merosakkan ibadah, tetapi melanggar prinsip Hifz al-Mal, iaitu menjaga harta umat Islam daripada kerugian dan kemusnahan. Wang yang dikumpul bertahun-tahun hasil titik peluh bukan sekadar nilai dunia, tetapi amanah yang sepatutnya digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Justeru, setiap umat Islam wajib memastikan urusan haji dilakukan melalui agensi berlesen dan diiktiraf oleh Tabung Haji serta pihak berkuasa. Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu terus memperketatkan pengawasan agar tiada pihak yang memperdagangkan nama ibadah suci ini. Penipuan Pakej Haji Melalui Prinsip Istita‘ah Dan Hifz Al-Mal
Ibadah haji adalah perjalanan menuju keikhlasan, bukan medan untuk ditipu. Maka, berwaspadalah dengan tawaran yang kelihatan terlalu indah untuk menjadi kenyataan. Jangan biarkan niat suci untuk menjadi tetamu Allah bertukar menjadi duka di dunia kerana di sisi Allah, kejujuran dan amanah juga sebahagian daripada ibadah.
Wallahu’alam
Rujuk: Penipuan Pakej Haji Melalui Prinsip Istita‘ah Dan Hifz Al-Mal
Leave a comment