Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
قُل لَّا يَسْتَوِى ٱلْخَبِيثُ وَٱلطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ ٱلْخَبِيثِ ۚ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(١٠٠)
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
(Surah Al-Maidah 5:100)
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan-Nya. Sebagai tanda bukti kita ingin meraih takwa kepada Allah, tumpukan perhatian untuk mendengar khutbah Jumaat pada hari ini.
Khutbah ini bukan sekadar untuk didengar pada hari Jumaat, lalu dibiarkan berlalu begitu sahaja. Setiap isi yang disampaikan adalah amanah ilmu yang mesti dibawa pulang dan disampaikan kepada ahli keluarga kita. Kerana tanggungjawab mendidik, membimbing dan membentengi rumah tangga dengan kebenaran bukan tugas masjid semata-mata tetapi tanggungjawab seorang ketua keluarga di hadapan Allah pada hari pengadilan nanti. Jika khutbah ini berhenti di telinga, maka kesannya kecil. Tetapi jika sampai ke rumah, diamalkan bersama anak dan isteri, barulah ia menjadi nur yang menyelamatkan.
Tinggalkanlah perkara lagha dan sia-sia yang boleh menjejaskan pahala Jumaat seperti berbual-bual, tidur dengan sengaja dan bermain telefon bimbit semasa khatib membaca khutbah. Di kesempatan ini marilah kita bersama-sama menghayati khutbah bertajuk “Membezakan Nilai, Memilih Kebenaran”.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Kehidupan manusia adalah perjalanan panjang menuju kebenaran. Namun dalam perjalanan itu, ada simpang yang mengelirukan, ada suara yang memujuk, ada cahaya palsu yang menipu mata. Hari ini, kebenaran sering dibungkus dengan rupa yang menawan, dan kebatilan disolek agar tampak indah. Dunia moden telah mengubah wajah fitnah. Jika dahulu fitnah datang melalui pedang dan kuasa, hari ini ia datang melalui skrin dan suara. Sekali petik jari, berita palsu boleh menjelma sebagai kebenaran. Sekali perkongsian, dosa boleh berantai tanpa kita sedar.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Rasulullah SAW telah pun mengingatkan kita tentang zaman seperti ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bermaksud: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu-daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibidah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibidah? Maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasiq berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Allah SWT telah memberi peringatan sejak dahulu lagi dalam firman-Nya: Maksudnya: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar dengan yang salah, dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah ayat 42)
Inilah peringatan abadi yang menggoncang hati setiap mukmin. Kerana sejak dahulu hingga kini, manusia bukan sekadar berhadapan dengan kebatilan yang jelas, tetapi berhadapan dengan kebatilan yang memakai pakaian kebenaran.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2024, negara kita mempunyai lebih 34 juta penduduk, dan lebih 32 juta daripada mereka aktif menggunakan media sosial setiap hari. Lebih separuh ialah golongan muda generasi yang sedang membina pandangan hidup mereka melalui dunia maya. Angka ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh dunia digital terhadap cara kita berfikir, menilai dan mempercayai sesuatu.
Di hujung jari kita, ada ilmu yang membawa ke syurga tetapi juga ada fitnah yang menyeret ke neraka. Semuanya bergantung pada siapa yang membimbing jari itu, hati atau hawa nafsu. Dalam suasana inilah umat Islam perlu kembali kepada neraca akidah dan wahyu. Kita tidak menilai sesuatu berdasarkan “apa kata manusia”, tetapi berdasarkan “apa kata Allah dan Rasul-Nya”.
Firman Allah SWT pada ayat yang dibacakan khatib di permulaan khutbah tadi, pada Surah al-Maa’idah ayat ke 100. Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu”.
Ayat ini jelas mengajarkan kita bahawa ukuran kebenaran tidak ditentukan oleh banyaknya pengikut, tetapi oleh kesesuaiannya dengan wahyu Allah. Kebenaran tidak bergantung kepada populariti, dan kebatilan tidak akan menjadi benar hanya kerana ramai menyokongnya. Krisis yang paling besar hari ini bukanlah semata krisis ekonomi atau dunia, tetapi krisis akidah dan kehilangan kompas kebenaran.
Apabila akidah longgar, segala nilai mudah digoyang. Manusia mula menukar makna dosa dan pahala. Yang haram dinamakan kebebasan, yang halal dikatakan kolot, dan yang benar dianggap tidak realistik. Inilah tanda-tanda kerosakan hati yang disebut oleh ulama iaitu apabila manusia sudah tidak malu untuk menentang perintah Allah, dan tidak segan untuk menormalisasi dosa di hadapan khalayak.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Fitnah nilai yang melanda umat ini tidak boleh disembuhkan hanya dengan kemarahan, tetapi mesti dihadapi dengan ilmu dan hikmah. Ilmu membimbing, hikmah menenangkan. Kedua-duanya datang daripada hati yang tunduk kepada Allah. Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik”. (Surah an-Nahl ayat 125)
Maka dalam berdakwah, janganlah kita menjadi keras sehingga menolak manusia, dan jangan pula lembik sehingga melupakan prinsip. Kebenaran mesti disampaikan dengan kasih, tetapi kasih yang berpaksikan iman, bukan emosi.
Ulama menyebut bahawa salah satu tanda akhir zaman ialah manusia mencari agama yang sesuai dengan seleranya, bukan jiwanya. Mereka mahu Islam yang memudahkan hawa nafsu, bukan Islam yang membimbing nafsu. Oleh itu, tugas kita sebagai umat Islam bukan sekadar menolak kebatilan, tetapi menghidupkan kembali kebenaran dalam diri dan masyarakat.
Mulakan dengan diri perbetulkan niat, bersihkan hati, kuatkan prinsip. Kemudian keluarga didik anak-anak agar cinta kepada Islam, bukan sekadar kerana adat, tetapi kerana yakin ia benar. Masyarakat pula perlu menjadi benteng nilai. Apabila melihat fitnah, jangan disebarkan. Apabila melihat kebenaran, pertahankan. Kebenaran itu mahal. Ia tidak dijual di pasar, dan tidak dibeli dengan harta. Ia lahir daripada hati yang jujur dan iman yang kukuh. Kebenaran itu ibarat pelita di tengah malam yang gelap. Mungkin kecil cahayanya, tetapi ia cukup untuk menunjukkan jalan. Sesiapa yang berpaling daripadanya, akan terus meraba-raba dalam kegelapan.
Kebenaran juga ibarat pohon yang berakar di bumi dan menjulang ke langit. Akarnya ialah iman, batangnya ialah ilmu, dan buahnya ialah amal. Jika akar tercabut, pohon itu akan tumbang walau kelihatan besar. Sebaliknya, kebatilan seperti asap menutup pandangan seketika, tetapi hilang ditiup angin masa. Orang yang mengikuti kebatilan umpama mengejar bayang, semakin dikejar, semakin jauh ia berlari.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai penutup khutbah ini, marilah kita simpulkan tiga perkara penting yang harus kita bawa pulang sebagai panduan hidup:
Pertama: Kebenaran adalah asas akidah dan tonggak umat. Berpeganglah kepadanya walau seluruh dunia menolak. Kerana kebenaran bukan milik majoriti, tetapi milik mereka yang beriman dan jujur kepada Allah.
Kedua: Didiklah diri, keluarga dan masyarakat untuk menilai sesuatu dengan panduan wahyu, bukan dengan hawa nafsu atau populariti dunia. Kembalikan al-Quran dan sunnah ke dalam keputusan dan pertimbangan kita setiap hari.
Ketiga: Pertahankan kebenaran dengan hikmah, kasih dan istiqamah. Gunakan ilmu untuk menerangi, bukan mengelirukan. Gunakan lidah untuk menasihati, bukan menghina. Kerana setiap perkataan dan perbuatan akan diperhitungkan di hadapan Allah SWT kelak.
Jika tiga perkara ini kita pegang teguh beriman, berprinsip dan beramal dengan kebenaran insya-Allah umat ini akan kembali kuat, masyarakat akan kembali tenang, dan bumi akan kembali diberkati dengan cahaya Islam yang hakiki.
Tarikh Dibaca: 9 Jamadilawal 1447H / 31 Oktober 2025
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment