أَتَأْتُونَ ٱلذُّكْرَانَ مِنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ(١٦٥) وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ(١٦٦)
Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!
(Surah as-Syu’ara 26:165-166)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Sesungguhnya nilaian kehidupan kita tidak bermakna melainkan dengan ketaatan sepenuh jiwa akan segala titah perintahNya dan terus kekal meninggalkan segala laranganNya.
Di ruangan ini, marilah kita berikan seketika tumpuan kepada khutbah, hindari perkara-perkara lagha seperti tidur, berbual-bual dan berinteraksi dengan telefon bimbit.
Mudah-mudahan kita meraih kesempurnaan ganjaran solat Jumaat yang dijanjikan.
Mendepani cabaran semasa dalam isu kemerosotan akhlak dan kehilangan moral, khatib ingin mengajak sidang jemaah bermuhasabah dengan menghayati khutbah bertajuk, “Dosa Songsang, Bayangan Murka Ilahi”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Dihiasi dengan akal yang sempurna sesuai peranan sebagai khalifah-Nya. Wujudnya kita dengan adanya lelaki dan wanita, saling melengkapi antara satu sama lain. Inilah kehebatan kejadian manusia yang telah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Rasa cinta, kasih dan sayang antara dua jiwa yang berbeza jantina adalah satu anugerah dan sejajar keperluan. Semuanya adalah aturan Allah SWT demi memelihara kemuliaan dan ketinggian kedudukan insan.
Muslimin Rahimakumullah,
Islam adalah agama yang memelihara fitrah. Hubungan seksual ditetapkan hanya antara lelaki dan wanita dengan ikatan perkahwinan yang sah. Segala bentuk penyimpangan hubungan sama ada lelaki sesama lelaki (liwat), wanita sesama wanita (sihaq), atau sebarang perbuatan menolak status jantina, adalah dilarang kerana ia merosakkan manusia dan masyarakat.
Firman Allah SWT yang menjadi mukadimah khutbah, menerusi Surah as-Syu’ara ayat 165-166 yang bermaksud: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”
Ingatlah bagaimana Allah SWT menimpakan bala terhadap kaum Lut alaihissalam. Kaum Lut adalah kaum yang dianugerahkan Allah SWT dengan limpahan kemewahan, keamanan, kekayaan tanah dan hasil bumi. Namun, kerana keingkaran terhadap peringatan Nabi Lut alaihissalam, keangkuhan dan kesombongan dengan perlakuan keji dan songsang, akhirnya Allah SWT menimpakan mereka dengan azab yang tidak pernah ditimpakan kepada umat lain sebelumnya. Allah SWT berfirman melalui Surah Hud, 11: 82-83;
فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَـٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةًۭ مِّن سِجِّيلٍۢ مَّنضُودٍۢ(٨٢) مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِىَ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِبَعِيدٍۢ(٨٣)
Maksudnya: “Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.”
(Surah Hud, 11: 82-83)
Para Tetamu Allah Yang Diberkati,
Hari ini, kita melihat tanda-tanda yang sama berlaku, perbuatan songsang diangkat sebagai hak kebebasan individu, hubungan sejenis dipromosikan secara terbuka di media sosial serta normalisasi budaya menolak fitrah lelaki dan wanita tanpa rasa segan dan silu. Apa yang membimbangkan, gejala songsang ini bukan hanya terhenti dengan “keseronokan” melayani nafsu semata, bahkan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar seperti ditimpa penyakit HIV dan seumpamanya.
Di negara kita, sebagaimana dilaporkan oleh Yayasan AIDS Malaysia, data pada 2023 menunjukkan bahawa hubungan homoseksual direkodkan sebagai penyumbang utama bagi kes-kes jangkitan HIV terbaharu. 44% golongan homoseksual dan biseksual yang dijangkiti virus HIV adalah dalam lingkungan usia 20 hingga 29 tahun dan kebanyakannya adalah pelajar. Sejumlah 31% pula dalam lingkungan usia 30 hingga 39 tahun yang merupakan golongan profesional.
Kaum Muslimin yang dimuliakan,
Apakah punca berlakunya gejala songsang ini? Mimbar menggariskan beberapa faktor utama.
Pertama: Faktor Agama & Akhlak.
Kelemahan iman dan akhlak merupakan punca mudahnya seseorang individu terpengaruh dengan budaya songsang. Apabila seseorang itu gagal memahami hukum-hakam agama terutama berkaitan hubungan seksual, batas pergaulan dan fitrah manusia maka mereka akan lebih mudah terdedah dengan pengaruh negatif yang mempromosikan perilaku songsang tanpa kawalan.
Kedua: Faktor Psikologi.
Sesetengah individu menghadapi masalah psikologi seperti trauma, pengalaman seksual awal yang negatif, atau tekanan emosi yang mempengaruhi orientasi seksual. Selain itu, kurangnya perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga juga mengakibatkan mereka berisiko mencari “pelengkap kasih” di luar batas fitrah.
Ketiga: Faktor Persekitaran & Media Internet & media sosial.
Pengunaan internet di hujung jari sememangnya mendedahkan seseorang dengan kebebasan luar biasa. Mereka mampu mengakses kandungan pornografi, atau ideologi songsang bahkan memudahkan penyebaran gejala buruk ini dengan begitu pantas.
Para Tetamu Allah Yang Dikasihi,
Sesungguhnya Islam tidak membenci manusia, tetapi Islam menolak maksiat dan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah. Mimbar menitipkan pesanan buat mereka yang sedang, telah atau bercita-cita untuk melakukan dosa songsang ini agar segeralah kembali ke pangkal jalan.
Pintu taubat sentiasa terbuka luas selagi hayat masih dikandung badan. Allah SWT masih memberikan ruang dan peluang yang amat luas untuk kembali kepadaNya. Cukuplah dengan perlakuan maksiat yang amat hina ini, segeralah kembali dengan taubat nasuha iaitu dengan menjauhi dan meninggalkan maksiat serta menyesal atas perlakuan maksiat dan berazam dengan sepenuh keikhlasan untuk tidak mengulangi kembali perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Firman Allah SWT melalui Surah at-Tahrim, ayat 8:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ تُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ تَوْبَةًۭ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ
Maksudnya: Wahai orang kepada kamu Bertaubatlah! beriman yang orang Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,..
(Surah at-Tahrim, 66:8)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagai masyarakat yang prihatin, ayuh kita bersama-sama memainkan peranan dalam membendung dosa songsang ini daripada terus membarah. Bersama kita mainkan peranan mencari solusi terbaik yang mampu menyekat dan membendung dosa ini daripada berlaku.
Jangan menjadikan perbuatan ini bahan jenaka di media sosial kerana punca normalisasi maksiat bermula dengan meremehkan dosa. Jika ada di kalangan pengamal aktiviti songsang yang mahu bertaubat, nasihatilah mereka dengan ilmu dan hikmah. Salurkan mereka ke badan-badan berautoriti seperti jabatan agama untuk menjalani program pemulihan.
Tarikh Bacaan: 21 Jamadilakhir 1447H | 12 Disember 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment