Lelaki, Tundukkan Pandanganmu!

Oleh: Ida Natasha

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila sekumpulan lelaki bergambar sambil memeluk pelayan wanita di sebuah kedai makan di Terengganu. Ramai yang menyalahkan pihak lelaki yang tidak pandai mengawal diri dan tidak kurang juga yang menuding jari kepada wanita yang tidak pandai membawa diri. 

Islam, secara jelasnya telah menetapkan garis panduan mengenai batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Lantas, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan agar tiada perkara seumpama ini berlaku lagi di dalam masyarakat kita. 

Kewajiban menjaga aurat itu terutamanya oleh kaum wanita tidak boleh dipandang remeh dengan hanya meletakkan sekeping tudung di atas kepala untuk menutup rambut dan merasakan tanggungjawab menurut aurat itu telah disempurnakan. Tujuan utama penutupan aurat ialah supaya wanita tidak memberi peluang kepada lelaki untuk melihat tubuh badan wanita dengan sewenang-wenangnya. 

Oleh itu pemakaian baju dan seluar yang longgar, penutupan rambut sehingga ke dada, pemakaian fabrik yang tidak jarang serta pemilihan rona yang tidak garang, adalah sangat dituntut oleh agama. Dengan menutup aurat secara sempurna, wanita sendiri mengawal apa yang dibenarkan untuk dilihat oleh orang lelaki yang berada di luar rumahnya. 

Dalil wajibnya menutup aurat daripada pandangan yang bukan mahram daripada firman Allah SWT:

قُل لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (Surah al-Nur: 30-31)

Secara saintifiknya, lelaki mempunyai 4 hingga 6 kali lebih testosteron berbanding wanita, dan testosteron merupakan hormon kepada libido, iaitu keinginan seksual. Walaupun testosteron juga dikaitkan dengan sifat agresif dan keganasan, testeron menjejaskan kawasan yang mengawal keinginan di bahagian otak. Disebabkan itu, lelaki sering suka memandang wanita di sekeliling mereka seolah-olah mereka berada dalam mod “auto-pilot”, dan kemudiannya melupakan wanita itu apabila mereka hilang dari pandangan. 

Untuk memastikan agar kaum Adam tidak memandang yang haram, dan terus rancak berdosa di luar sana, Islam menyarankan agar wanita menjaga aurat dengan sempurna dan kaum lelaki agar  menundukkan pandangan apabila berhadapan dengan wanita ajnabi. 

Daripada Jarir bin Abdullah berkata,

سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَأَمَرَنِي أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِي

Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Nabi SAW akan perihal melihat secara tiba-tiba, maka Nabi SAW menyuruh aku mengalihkan pandangan aku (tidak memandang untuk kali yang kedua.” (Riwayat Muslim, no. 2159)

Apabila insiden seumpama yang berlaku di Setiu itu berlaku, memang mudah kita menuding jari dengan menyalahkan satu pihak berbanding yang lain. Namun, apabila setiap daripada kita faham tanggungjawab dan memainkan peranan kita di dalam masyarakat, secara kolektifnya, kita akan bersama-sama menjadikan kehidupan lebih baik dan sejahtera.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: