5 Cara Hubungan Sulit Di Pejabat Boleh Tercetus dan Bagaimana Untuk Menghindarinya

Pernah dengar tentang hubungan sulit di pejabat? Tentu sekali ini bukan pertama kali mendengarnya kerana perbuatan ini biasa berlaku dari zaman dahulu sehinggalah ke hari ini. Banyak kes hubungan sulit di pejabat melibatkan mereka yang sudah berumahtangga yang akhirnya mencetuskan kemelut rumahtangga dan menyebabkan penceraian. Namun begitu, ada juga hubungan sulit di pejabat yang akhirnya bahagia ke jinjang pelamin.

Walau apa pun natijahnya, perhubungan sulit sebegini adalah dilarang oleh Islam, dan sangat tidak digalakkan oleh mana-mana syarikat dan perniagaan. 

Apakah penyebab hubungan sulit di pejabat terjadi dan bagaimanakah cara untuk mengelak daripada terlibat sama jika anda sudah mempunyai keluarga? Dan bagaimana untuk menjaga tatasusila jika anda masih bujang dan sedang mencari pasangan? Jangan dituding jari kepada lelaki sahaja, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. 

Keluar bekerja merupakan satu ibadah atas niat semata-mata kerana Allah SWT, untuk melunaskan tanggungjawab ke atas diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Namun, dengan bekerja, kita terdedah dengan risiko-risiko untuk melakukan dosa, dan salah-satunya ialah terjerumus ke dalam hubungan sulit di pejabat. 

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” Ayat ini jelas menyuruh umat manusia agar mengambil langkah-langkah untuk menghindari zina sebelum ianya terjadi. 

5 Cara Hubungan Sulit Boleh Tercetus dan Bagaimana Untuk Menghindarinya

Borak-Borak Sahaja – Tidak dapat tidak sebagai rakan sekerja, memang ada masa yang akan dihabiskan dengan berborak. Tipulah kalau semuanya bekerja penuh 7 jam sehari tanpa berkomunikasi secara kasual dengan rakan sepejabat. Dalam kita berkomunikasi dengan rakan sekerja, mestilah ada satu atau dua yang sekepala dengan kita, yang membuatkan kita berasa selesa.

Walaupun begitu, sekiranya individu ini adalah bukan mahram kita, pastikan kita menjaga tatasusila ketika berbicara untuk menghalang perhubungan daripada menjadi lebih akrab dan melampaui batas yang dibenarkan agama. Jangan kerana kita sudah terbiasa, kita merasakan “Alah.. borak-borak aje”. Ingatlah bahawa Iblis dan syaitan itu wujud dengan satu tujuan semata, iaitu untuk menjerumuskan anak Adam ke dalam bahaya.

Iblis berkata seperti yang ditulis di dalam Al-Quran dalam Surah Al-A’raaf ayat 16-17 yang bermaksud: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. 

Jaga batas ketika berborak

Berkongsi Masalah Perkahwinan – Selalu dilihat di Twitter isteri-isteri bengang kerana suami mereka berkongsi masalah perkahwinan kepada teman sekerja wanita. Selain daripada ingin melepaskan perasaan, adakah luahan itu bertujuan untuk mencari penyelesaian atau direka-reka untuk tujuan memikat si pendengarnya?

Masalah perkahwinan itu sangat peribadi dan sebagai seorang suami atau isteri, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyimpannya dengan rapi, dan berkongsi hanya dengan mereka yang layak untuk membantu menyelesaikannya seperti ahli keluarga dan kaunselor.

Berbalas-balas perkongsian masalah akan menyebabkan kita menjumpai titik persamaan yang akan menjadikan perhubungan lebih rapat daripada biasa, dan ini adalah bahaya. 

Elak bercerita hal peribadi di dalam WhatsApp

Menyambung Komunikasi di WhatsApp Peribadi – Kehadiran saluran chat seperti WhatsApp memudahkan komunikasi tanpa mengira masa dan ketika. Lantas, jika ini terjadi, pastikan komunikasi itu bersifat profesional. Apabila ada unsur-unsur yang tidak sepatutnya muncul, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menegur secara terus, melencongkan komunikasi ke arah lain atau berundur dari perbualan tersebut kerana itu adalah lebih baik.

Apabila muncul mesej-mesej pujian, pertanyaan yang tiada kena mengena dengan tugasan, perkongsian gambar yang tidak sesuai, patahkan sahaja perbualan itu untuk menjaga tatasusila sebagai rakan sekerja. Andai kedua-dua pihak menyukainya, ini akan menjadi punca kepada tercetusnya perhubungan sulit di pejabat.

Keluar Berdua – Apabila keluar bekerja luar bersama, tidak kira untuk tugasan harian atau tugasan luar kawasan, berhati-hatilah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ketiadaan mahram dengan kita menjadikan kita terdedah kepada godaan syaitan, yang akan menyuruh kita untuk melakukan perkara-perkara yang ditegah agama. Strategi syaitan itu selalunya halus, sedikit-sedikit okay, lama-lama terlanjur sudah. Lebih-lebih lagi jika terpaksa bertugas di luar negara dalam jangkamasa yang lama, atau sering kerja lebih masa dengan rakan sekerja yang kita suka.

Jadilah profesional walau di mana anda berada

Jika tiada keperluan untuk keluar bersama, elakkan daripada berdua. Rasulullah SAW sendiri membawa isterinya ketika Baginda SAW keluar berperang seperti hadis yang diriwayat oleh Aisya (RA) di dalam hadis Sahih Muslim 4: 2377. Jika kita tidak mampu untuk membawa mahram bersama ketika bertugas, maka jagalah diri kita sebaik mungkin agar kita tidak terjebak ke dalam maksiat.

Kenali Batas-Batas Pergaulan – Sebagai muslimin, kita telah diajar batas-batas pergaulan dengan mereka yang bukan mahram, dengan ajnabi. Di antaranya ialah supaya menundukkan pandangan seperti firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Nur ayat 30 yang maksudnya “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan yang beriman hendaklah mereka itu menundukkan pandangan mereka.”

Mengapa perlunya menundukkan pandangan? Daripada Saidina Huzaifah Yamani RA berkata, Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: “Sesungguhnya melihat kepada tempat yang elok yang ada pada tubuh perempuan adalah seperti anak panah beracun daripada anak panah iblis (kerana sangat cepat ia membinasakan), terselamatlah sesiapa yang meninggalkannya (kerana takut Allah).” (Ihya Ulumuddin).

Pepatah Melayu juga ada mengingatkan tentang bahaya mata dengan “Dari mata turun ke hati.” Inilah kerja syaitan yang perlu kita hindari. Selain itu, jagalah pakaian dan aurat kita juga agar ia tidak menjadi cabaran kepada orang lain di sekeliling kita. 

Hubungan sulit di tempat kerja ini berlaku kerana masing-masing kita tidak mengamalkan nasihat Islam di dalam kehidupan. Setiap langkah kita menuju dosa itu memang akan terasa nikmatnya, tetapi seringlah kita beringat kepada balasan Allah SWT kepada hamba-Nya yang ingkar.

Semoga kita semua dilindungi Allah SWT daripada cabaran yang tidak mampu kita hadapi. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: