Kenali Karier – Pegawai Medik Luar Pesisir

Oleh: mymuslimin

Untuk ruangan Kenali Karier yang pertama ini, kami menghubungi Hafiz Azwany Taher, 39, yang menggalas tugas penting dan berat di tengah lautan dalam, yang tidak selalu didendangkan. Ikuti temubual mymuslimin.com bersama anak kelahiran Melaka ini (yang kini menetap di Mersing, Johor), yang juga bapa kepada empat orang cahaya mata.

Memeriksa ujian Covid anak-anak kapal

Apakah nama jawatan dan tugas utama anda?

Saya kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Perubatan atau juga dikenali sebagai Pegawai Medik dalam industri minyak dan gas. Sejak dari awal pembabitan saya dalam industri ini, lazimnya saya ditempatkan di atas kapal Diving Support Vessel (DSV) yang menjalankan kerja-kerja pembinaan serta pemeriksaan (inspection) di bawah laut berhampiran pelantar-pelantar minyak, paip saluran minyak di bawah laut dan juga kapal statik simpanan minyak atau FPSO (Floating Production Storage & Offloading).

Sebagai satu-satunya pegawai medik di atas kapal yang biasanya dihuni sekitar 60 ke 100 orang anak kapal pada satu-satu masa, saya bertanggungjawab dalam penjagaan kesihatan anak-anak kapal, memberi rawatan minor sekiranya terdapat anak-anak kapal yang tidak sihat serta memberikan rawatan kecemasan di dalam kes-kes kemalangan dan kecemasan di atas kapal. Dalam sesetengah kes yang lebih serius, saya akan berhubung dengan pegawai perubatan penasihat di darat dan melaksanakan rawatan awal bagi menstabilkan pesakit sebelum pesakit dihantar ke darat untuk rawatan selanjutnya (medevac).

Pemeriksaan anak-anak kapal untuk memastikan tahap kesihatan dan kecergasan untuk bertugas

Di samping itu, saya juga bertanggungjawab memastikan anak-anak kapal sentiasa dalam keadaan sihat dan fit untuk bekerja. Tambahan pula, kapal ini menempatkan para penyelam komersial laut dalam yang bertugas di bawah laut dan mereka perlu sentiasa dalam kondisi fizikal yang benar-benar mantap bagi melaksanakan setiap tugasan setiap hari. Justeru, di setiap syif dari 12 tengah hari ke 12 malam dan sebaliknya, saya akan menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas setiap daripada mereka seperti pengambilan tanda-tanda vital (tekanan darah, nadi dan sebagainya) dan merekodkan kondisi fizikal bagi mengesahkan mereka dalam keadaan sihat untuk bekerja. 

Selain itu, kempen-kempen kesihatan turut dijalankan seperti mengadakan ceramah kesihatan mingguan bagi memberikan kesedaran tentang penjagaan kesihatan fizikal dan mental termasuk memberikan info kesihatan terkini supaya semua anak kapal sentiasa peka dengan sebarang isu semasa kesihatan yang berlaku di daratan sana.

Ceramah kesihatan mingguan yang dihadiri anak-anak kapal

Apakah aspek paling mencabar?

Selain sering berhadapan dengan kondisi laut yang kadangkala bergelora sehingga membuatkan kapal terbuai-buai ke kiri kanan akibat hempasan ombak, bertugas jauh di tengah laut selama berbulan-bulan sebegini pastinya menuntut kesabaran dan ketahanan mental yang tinggi. Sementelah terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta dan hanya mampu berhubung melalui Wifi kapal yang dikongsi bersama dengan kelajuan internet yang amat sederhana. 

Tidak malu untuk saya nyatakan yang pengalaman berjauhan dengan anak-anak semasa pada tahun-tahun pertama bertugas dulu amat menguji sehinggakan mampu mengalirkan air mata kerana terlalu rindukan anak-anak yang masih kecil ketika itu. Terus terang saya katakan, berpisah dengan isteri masih lagi boleh ditahan. Tetapi apabila teringatkan anak, pastinya akan menyentuh hati kerana rindukan keletah mereka. 

Tambah runsing apabila isteri memaklumkan anak tidak sihat kerana merindui ayahnya. Kredit wajar diberi kepada isteri yang mampu menguruskan anak-anak semasa ketiadaan saya. Beberapa tahun berselang dan alah bisa tegal biasa, maka perasaan tersebut dapat diurus dengan baik dan anak-anak yang semakin membesar pun telah biasa dengan ketiadaan ayah mereka di sisi.

Satu lagi aspek yang mencabar adalah keterbatasan untuk menguruskan sesuatu kes. Kadangkala terdapat kapal yang saya naiki tidak mempunyai peralatan yang mencukupi untuk mendiagnosa sesuatu kes. Di sini memerlukan kita untuk sentiasa berhubung dengan rakan pegawai medik lain yang berada di pelantar minyak berhampiran serta onshore medical support yang dilantik pihak syarikat. 

Latihan drill yang dilakukan di atas kapal

Di samping itu, cabaran kepada pekerja offshore freelance seperti saya yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat ini adalah kita dibayar ketika bekerja sahaja. Makna kata apabila di rumah, tiadalah sebarang gaji atau bayaran akan diterima. Pendek kata, ada kerja adalah gaji. Berbeza dengan pegawai-pegawai medik yang lazimnya bekerja dan dibayar secara tetap di pelantar-pelantar minyak dengan durasi pusingan tugas pada setiap 14 atau 28 hari. 

Oleh yang demikian, kewangan semasa tiadanya tugasan terutama ketika hujung tahun di musim tengkujuh perlu diurus dengan berhemah kerana bayaran yang diterima semasa bekerja itu perlu menampung di bulan-bulan yang tidak bekerja tersebut. 

Yang paling menyeronokkan dan memberikan kepuasan?

Kalau ditanya setiap pekerja offshore tentang perkara paling menyeronokkan, pastinya semua akan menjawab yang saat untuk pulanglah yang paling dinanti dan kemuncak kepada segala keseronokan sepanjang berada di tengah laut. Bayangkan setelah berbulan-bulan tidak memijak daratan dan berjauhan dari keluarga, kini tibalah masa untuk kembali ke pangkuan mereka dan meleraikan rindu yang terbuku di dada. Tidak dinafikan, bayaran yang diterima di offshore ini sedikit tinggi berbanding kerja-kerja di darat kerana syarikat membayar masa yang kita korbankan selama berbulan-bulan di laut. Jadi dengan bayaran gaji yang diterima itulah saya pulangkan semula kepada keluarga dengan membawa mereka bercuti atau membelikan sesuatu yang menggembirakan hati mereka. Terasa hilang semua penat lelah berbulan di laut tatkala melihat gelak tawa anak dan isteri. 

Kongsikan perjalanan karier anda sebelum sampai ke sini?

Sebelum bertugas sebagai Pegawai Medik di atas kapal, saya telah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perubatan di salah sebuah hospital kerajaan di negeri Melaka. Tamat sahaja pengajian Diploma Pembantu Perubatan pada tahun 2007, saya telah ditempatkan di hospital tersebut dan bertugas di beberapa jabatan seperti Ortopedik, Kecemasan dan Trauma, Dermatologi dan akhirnya menjalankan kerja-kerja pentadbiran di Unit Kualiti dan Latihan sebagai Pengawal Dokumen, menguruskan proses audit dalaman dan luaran serta mengendalikan pelbagai kursus dan latihan kepada kakitangan hospital. 

Berbekalkan sedikit pengalaman yang ditimba di hospital itulah, saya bawa ke offshore dan mengaplikasikan semua ilmu yang ada kepada industri yang amat berbeza ini. Namun semasa menimbang tara keputusan untuk bersara awal dari kerajaan pada tahun 2012 untuk menyertai industri minyak dan gas hasil tawaran daripada seorang rakan, saya terlebih dahulu meminta nasihat daripada pengarah hospital, para pegawai perubatan dan rakan sekerja. Rata-ratanya memberikan sokongan dan saya masih ingat kata-kata puan pengarah hospital kepada saya ketika itu: “Kalau awak rasakan ia akan membawa sesuatu yang lebih baik kepada diri awak dan karier, go for it.” Nasihat itu saya pegang dan dengan nekad, saya memilih bersara awal untuk bergelar seorang pegawai medik di tengah samudera.

Nasihat atau pengajaran paling berharga yang pernah anda terima/alami sepanjang karier?

Tidak dinafikan yang bekerja di lapangan seperti ini menjanjikan pulangan yang agak lumayan. Tapi dalam masa yang sama, saya terpaksa mengorbankan masa berharga bersama keluarga dan sering terlepas momen-momen penting bersama mereka. Ketika berjauhan dengan keluarga inilah baru menyedarkan betapa berharganya nilai kekeluargaan itu dan ia semakin menjadikan hubungan bersama isteri dan anak-anak bertambah erat.

Khutbah raya di atas kapal yang disampaikan oleh penulis sendiri

Namun ia juga turut mengajar saya erti kehilangan di mana ayah mertua saya sendiri meninggal dunia ketika saya berada di tengah laut dan hanya dapat pulang setelah empat hari allahyarham disemadikan kerana ketiadaan pengangkutan untuk membawa saya pulang ketika itu. Malah saya juga tidak dapat bersua buat kali terakhir dengan ayah sendiri yang juga jatuh sakit ketika saya sedang bertugas dan hanya mampu bersua dengannya yang sudah tidak sedarkan diri di atas katil hospital. Menyedarkan saya agar sentiasa menghargai insan-insan yang tersayang ini semasa mereka masih ada agar tidak menyesal dan terkilan di kemudian hari.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: