Teks Khutbah Jumaat – Pemantapan Akidah Suatu Tuntutan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh  melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.  Semoga bersama ketaqwaan kita sentiasa mendapat rahmat dan keampunan  daripada Allah SWT. Di hari yang berbahagia ini, marilah kita menghayati khutbah Jumaat yang bertajuk, “Pemantapan Akidah Suatu Tuntutan”.

Sidang Jemaah yang berbahagia, 

Akidah bermaksud tautan keimanan dan simpulan keyakinan yang kukuh  terhadap Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa, yang layak disembah dan yang  mencipta serta mentadbir seluruh makhluk. Akidah yang mantap adalah  keyakinan yang menjadi pemangkin utama bagi melahirkan ketenangan  minda dan keampuhan jiwa setiap insan dalam menjalani kehidupan di dunia 

berlandaskan syariat. Keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang  Menciptakan makhluk tidak akan sempurna tanpa iman dan takwa.  Renungkan maksud firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun, ayat 85  hingga 86.

Bermaksud: “Tanyakanlah lagi: Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan  langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar? Mereka  akan menjawab: (Semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu  tidak mahu bertakwa?” 

Memantapkan akidah merupakan usaha-usaha membangunkan keyakinan terhadap Allah SWT sebagai Tuhan yang memiliki kuasa mutlak dalam menentukan segala takdir ke atas semua makhluk-Nya. Dia yang  Maha Pengasih dan Maha Bijaksana memberi kurnia atau menghalangnya  sesuai dengan kebijaksanaan-Nya dan rahmat-Nya kepada semua makhluk.  Semua perjalanan hidup makhluk diatur dengan penuh hikmah berpaksikan  neraca keadilan-Nya. Keadilan yang menciptakan kehidupan di dunia  sebagai pentas ujian dan menyediakan akhirat sebagai medan ganjaran dan  pembalasan. Dengan keyakinan yang mantap terhadap semua perkara ini  akan menjadikan kita mampu untuk menjalani hidup di dunia sebagai hamba  Allah dalam apa juga situasi. Mampu berdisiplin di batasan syariat kerana  sedar segala perlakuan di dunia diperhitungkan dan diadili. Mampu bersyukur  dengan kurniaan nikmat dan teguh bersabar dengan ujian kepayahan dan  kehilangan.

Tambahan pula, di zaman yang penuh cabaran dan sarat dengan  tekanan serta kecelaruan, akibat dari kerapuhan akidah dan kelemahan  iman. Kita menyaksikan pelbagai perlakuan dan gelagat yang sangat keji  boleh berlaku dalam kalangan umat Islam. Perbuatan menghina agama  sendiri dan menjatuhkan maruah diri sendiri adalah kesan daripada kerapuhan dan kelunturan iman di dalam diri. 

Memang tidak dinafikan, cabaran hidup hari ini sangat menyakitkan dan  sukar apatah lagi dalam situasi ekonomi yang belum stabil. Namun, iman dan  akidah perlu diperteguhkan dan diperkukuhkan agar terhindar dari tindakan tindakan yang menyanggahi syariat seperti membunuh diri, membunuh ahli  keluarga, mengambil dadah, bertelingkah dan pelbagai lagi perbuatan dan  kejadian yang amat membimbangkan. Renungi firman Allah SWT di dalam  surah an-Nisa; ayat 14. 

Bermaksud: “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya,  dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke  dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang  amat menghina.” 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Justeru, usaha-usaha memantapkan akidah perlu dipergiatkan di segenap  penjuru dan dibuat secara berterusan. Antaranya; 

Pertama: Mantapkan penghayatan iman dengan pengajian akidah  bersumberkan al-Quran dan hadis. 

Akidah yang mantap mampu mendorong kita melakukan amal kebaikan  dan menghindarkan diri dari dosa lantaran gerun pada azab neraka.  Sesungguhnya perlakuan dosa adalah berpunca daripada lemahnya iman.  Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 14. 

Bermaksud: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan  keberanian), semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan Kami ialah Tuhan  yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan  menyembah tuhan yang selain-Nya; jika kami menyembah yang lain  sesungguhnya kami melakukan sesuatu yang jauh dari kebenaran.” 

Kedua: Tingkatkan kefahaman beragama dan beristiqamah mematuhi  syariat. Ibu bapa perlu berperanan dalam mendidik anak dengan akidah  yang benar dan kefahaman syariat. Yakinlah bahawa syariat diturunkan  untuk mendisiplinkan manusia bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian  hidup mereka. 

Ketiga: Pupuk dan lazimi akhlak dan pekerti mulia berasaskan kejujuran dan  kesedaran betapa Allah SWT sentiasa mengawasi semua hamba-Nya. Akhlak mulia inilah bukti ketinggian iman dan kemantapan akidah kita. Sesungguhnya, keimanan yang mantap akan menganugerahkan kita kehidupan tenang dan bahagia lalu dengannya kita akan mampu membahagiakan insan-insan lain di sekeliling kita. Sebaliknya maksiat dan  kemungkaran menghilangkan seri hidup dan kedamaian jiwa. Imam Ahmad  meriwayatkan hadis daripada Wabisah bin Ma’bad bahawa Rasulullah SAW  bersabda:

Maksudnya: “Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang.  Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu resah dan gelisah di dalam  hatimu.” 

Berdoalah selalu agar kita sentiasa dibantu dan dipandu dalam usaha  memantapkan akidah dan iman. Semoga dengan kemantapan akidah hidup  kita sentiasa mendapat limpahan rahmat dan inayah Allah SWT jua. 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Realiti kehidupan kita di zaman kecanggihan teknologi dan perhubungan ini  menyaksikan timbulnya pelbagai pemikiran, fahaman dan kepercayaan yang  boleh menjejaskan pegangan akidah. Platform di alam maya digunakan  secara meluas untuk menyebarkan kefahaman yang salah terhadap syariat  yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak berautoriti. Kadang kala ianya  membawa kepada salah faham terhadap ajaran al-Quran dan hadis malah  turut menyanggahi ijtihad ulama’ yang muktabar. Kesannya kita dapat lihat  hari ini berlakunya perlakuan, pertuturan dan penulisan di media sosial yang  meragukan sehingga membawa kepada penghinaan terhadap Islam serta  ajarannya. Inilah yang menggusarkan kita. 

Sebagai muslim, kita wajib mempelajari Islam melalui sumber yang  tepat. Berhati-hatilah dalam mencari sumber rujukan lebih-lebih lagi berkaitan  dengan ilmu akidah dan fiqh. Di sinilah pentingnya kita mencari guru-guru  yang mursyid dan berautoriti. Di samping itu, kita juga bertanggungjawab  untuk memastikan penghayatan Islam dan pemantapan akidah di dalam  keluarga dapat diperkasakan supaya ianya menjadi benteng daripada ajaran  dan fahaman yang salah. 

Kita juga bertanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa dalam  membanteras sebarang perlakuan dan perbuatan yang mencemarkan Islam  khususnya di media-media sosial. 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah: 

Pertama: Akidah yang mantap membantu kita untuk kuat menghadapi  cabaran hidup dan mendorong melakukan kebaikan di samping menghindari dosa dan kemungkaran. 

Kedua: Kemantapan akidah adalah tuntutan dan keperluan jiwa yang  menjamin ketenangan hidup di dunia yang penuh dengan ujian dan cabaran. 

Ketiga: Usaha-usaha memantapkan akidah perlu dilakukan secara  berterusan bagi melahirkan generasi yang mendapat limpahan rahmat dan  barakah Allah SWT di dalam kehidupan. 

Di penghujung khutbah marilah kita renungi firman Allah SWT di dalam  surah al-Hasyr ayat ke 23:

Bermaksud: “Dialah Allah, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang  Menguasai (sekalian alam), yang Maha Suci, yang Maha Selamat Sejahtera, yang Maha Melimpahkan Keamanan, yang Maha Mengawal serta  Mengawasi, yang Maha Kuasa, yang Maha Kuat (menundukkan segala galanya), yang Maha Sempurna Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah dari segala  yang mereka sekutukan dengan-Nya.”

Rakaman Khutbah Jumaat di Surau As Sobirin Damai Rasa Alam Rasa Kuala Lumpur

Tarikh Dibaca: 15 Zulhijjah 1443H/ 15 Julai 2022M

Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Gambar: Masjid Putra, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: