Oleh: Norana Johar
Setiap pekerja mempunyai impian di alam pekerjaan sebagai contoh jawatan yang diidamkan, atau projek yang disasarkan. Tetapi, dalam masa yang sama, pekerja juga perlu peka dengan cabaran yang akan muncul di sepanjang perjalanan kerjaya yang berpotensi mengugat perjalanan kerjaya masing-masing.
Ada dua perkara yang boleh terjadi, pertama cabaran ini mampu melonjakkan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Kedua, cabaran ini akan membuat mereka berada di tahap yang sama untuk satu jangkamasa yang lama, atau tidak layak untuk terus digaji.
Artikel ini mengetengahkan 5 cabaran lazim yang pasti dialami oleh pekerja di sepanjang kerjayanya.
1. Kurang Kelayakan
Ilmu untuk sesuatu kerjaya tidak berada pada takuk yang sama apabila zaman berubah, terutama sekali jika anda berada di dalam bidang yang berkaitan sains dan teknologi. Sistem pengendalian komputer juga berubah setiap masa dan kakitangan yang kurang mahir akan tercabar dengan kemunculan versi-versi baru teknologi di tempat kerja. Ditambah lagi dengan bermacam jenis aplikasi telefon mudah alih yang disyorkan syarikat dalam usaha meningkatkan produktiviti.

Untuk mengatasi masalah ini, anda perlu mendapatkan maklumat tentang sijil-sijil dan ilmu-ilmu baharu yang diperlukan bidang anda. Berusahalah untuk melengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu yang diperlukan, supaya apabila tiba masanya untuk anda ke hadapan, anda sudah bersedia.
Hadirlah ke kursus-kursus berkaitan supaya anda tidak ketinggalan zaman. Sebagai contoh, untuk menjadi pengurus yang baik, kebolehan memimpin pasukan itu penting. Jadi, carilah kursus, buku, panduan yang boleh membantu anda memahami strategi kepimpinan yang baik untuk anda praktikkan. Syorkan kepada syarikat maklumat tentang kursus-kursus berkaitan supaya boleh memanfaatkan anda dan juga pasukan anda.
Jangan angkuh dan merasakan diri sudah sempurna. Elakkan memupuk culture of contentment. Setiap orang mempunyai ruang untuk penambahbaikan agar menjadi lebih berdayasaing. Dan, jangan takut untuk berubah kerana mereka yang tidak berubah akan ditinggalkan.
2. Kurang Pengalaman
Ilmu dan pengalaman ialah dua perkara yang berbeza tetapi keduanya memainkan peranan yang cukup besar dalam kerjaya. Walaupun seseorang mempunyai ilmu yang baik, tanpa pengalaman menguruskan sesuatu secara langsung, ianya tidak mencukupi.
Inilah cabaran kepada calon-calon muda di mana majikan meminta pengalaman yang mereka tidak punya. Jadi bagaimana solusinya? Untuk yang ingin menimba pengalaman, kagumkan majikan dengan kemahiran anda yang lain seperti cekap dalam berkomunikasi dan yakinkan majikan bahawa anda bersedia menyingsing lengan untuk memperoleh sebanyak pengalaman yang boleh. Sikap ‘boleh diajar’ itu membuatkan majikan melihat anda dari sudut positif.

Untuk mereka yang telah lama berkhidmat, jangan hadkan diri dengan pengalaman yang anda selesa. Cabar diri untuk mencuba sesuatu yang baharu walaupun ianya belum diselitkan ke dalam tugasan anda kerana semua yang baharu itu akan menjadi pengalaman apabila anda telah melakukannya.
Ilmu dan pengalaman tidak boleh dipindahmilik dan ini menjadikan ianya bernilai jika anda memilikinya.
3. Kurang Keyakinan
Walaupun anda punyai kemahiran yang diperlukan, diri sendiri kerap tidak yakin dengan tahap kemahiran anda untuk maju ke tahap seterusnya. “Aku tak pandai cakap Inggeris,” sebagai contohnya. “Aku tidak yakin untuk berhadapan dengan pelanggan antarabangsa.” Aku tak pandai ini, aku tak pandai itu.
Jika ini yang anda rasa, ambil kertas dan senaraikan kekuatan dan kekurangan diri dan bagaimana anda boleh membuat penambahbaikan. Cuba mulakan dengan “Aku pandai…”

Keyakinan diri itu penting sebagai pelengkap kekurangan diri. Sekiranya anda tidak boleh berbahasa Inggeris dengan menggunakan Queen’s English, sekurang-kurangnya pastikan orang di sebelah sana faham apa yang ingin anda sampaikan dan dalam masa yang sama, suka kepada personaliti yang anda tonjolkan.
Jangan begitu memikirkan kesalahan, sebaliknya, fikirkan bagaimana anda boleh membantu memperkukuhkan sesuatu keadaan. Tiada siapa yang sempurna dan tiada siapa yang boleh membantu anda untuk maju kecuali diri anda sendiri dengan melakukan perubahan yang perlu.
4. Beban Kewangan
Beban kewangan juga merupakan kekangan untuk anda mencapai matlamat kerjaya. Sebagai contoh, anda mungkin menolak atau mengelak daripada melakukan sesuatu yang anda sukai kerana pendapatannya tidak selumayan kerja semasa anda. Walaupun pada hakikatnya kerja semasa anda memberi anda tekanan perasaan setiap hari, anda tetap meneruskannya kerana anda mempunyai tanggungjawab kewangan yang banyak.

Untuk membuat perubahan kerjaya, silalah merancang kewangan dengan baik. Anda perlu meletakkan satu jangkamasa, sebagai contoh dalam masa lima tahun, anda ingin beralih angin kepada kerjaya yang lebih anda gemari.
Langkah pertama ialah mengecilkan bajet bulanan dengan mengeluarkan perkara-perkara remeh dalam kehidupan seperti menukar kopi Starbucks kepada Zus, atau membeli baju di kedai bukan berjenama Zara. Kurangkan penggunaan kad kredit dan jangan membuat apa-apa komitmen kewangan yang besar agar anda tidak terjerat lama di dalam bebannya.
Apabila bebanan kewangan sudah reda, berpindahlah kepada kerjaya yang dekat di hati untuk minda yang lebih sihat. Pilihan sentiasa berada di tangan anda.
5. Berdepan Kelelahan
Pembekal penyelesaian sumber manusia Employment Hero melaporkan di dalam Employee Wellness Report 2022 mereka pada Mei 2022, bahawa penemuan utama ialah 58% pekerja bersetuju yang mereka berasa kelelahan akibat kerja mereka dalam tiga bulan terakhir ini. Di samping itu, mereka yang berada dalam julat umur 18-35, kemungkinan lebih 20% akan mengalami kelelahan, dan pekerja yang tiada keseimbangan dalam kerja-kehidupan dalam masa tiga bulan lepas, 45% lebih cenderung untuk mengalami kelelahan, laporan portal FMT.
Kelelahan dalam kerjaya atau ‘burnout’ ini berlaku apabila pekerja tertekan dan tidak boleh berfungsi dengan baik di tempat kerja dan di dalam kehidupan peribadi.
Banyak sebab yang boleh menjadi penyebab kelelahan seperti terlalu banyak bebanan tugas, kecewa dengan laluan kerjaya, kecewa dengan kepimpinan ketua, kecewa dengan tahap pendapatan, dan natijahnya, pekerja tidak akan bersemangat untuk mencapai matlamat dalam kerjaya, dan situasi ini tidak menguntungkan siapa-siapa.

Mereka yang mengalami kelelahan perlu mencari punya lelah tersebut dan mencari penyelesaiannya jika ada. Sebagai contoh, jika anda merasakan idea-idea anda selalu tidak didengari pengurus atau ketua, mintalah ruang untuk berbincang dengan dia dan meluahkan apa yang anda rasa secara profesional. Sekiranya tugasan yang diberi terlalu berat untuk dipikul, berundinglah dan minta bantuan.
Anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada unit sumber manusia untuk memberi anda nasihat atau kaunseling yang diperlukan untuk anda menangani kelelahan dengan berkesan.
Semuanya boleh diuruskan apabila adanya komunikasi yang berkesan, insyaAllah. Namun, sekiranya semua cara sudah dicuba dan tidak ada kemajuan, keputusan yang lebih tepat ialah berhenti dan mencari tempat yang lebih kondusif kepada diri sendiri.
Jika industri anda menjadi penyebab keletihan, buatlah rancangan untuk berpindah ke industri yang lebih anda gemari dan senaraikan kekuatan kemahiran anda yang boleh ‘dijual’ di industri baharu tersebut.
Dan, sekiranya diri anda sudah tidak bermotivasi untuk berkhidmat, berlaku adillah kepada syarikat dengan mengundurkan diri.
Tetapi, sebelum itu, kaji dulu apa yang perlu dilakukan untuk membawa diri anda ke satu tahap yang lebih baik dari segi mental dan fizikal agar keletihan tidak bertukar menjadi kemurungan berpanjangan.
Bacaan lain: 4 Softskill Yang Menarik Hati Majikan Pada Tahun 2022.
Tentang Penulis: Mempunyai Ijazah Psikologi Sains dari Indiana University, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat selama lebih 2 dekad menerajui bahagian penjualan, pemasaran dan operasi produk antarabangsa, dan telah berurusan dengan ramai kakitangan yang mengalami cabaran demi cabaran dalam kerjaya.
Leave a Reply