Hadith-Hadith Tidak Sahih Berkaitan Bulan Rejab

Definisi Rejab

Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). 

Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.

Hadith-Hadith Tidak Sahih Berkaitan Bulan Rejab

Antara hadith-hadith yang tidak sahih berkaitan bulan Rejab:

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

فَضْلُ شَهْرِ رَجَبٍ عَلَى الشُّهُورِ كَفَضْلِ الْقُرْآنِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ

Maksudnya: “Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan al-Qur’an berbanding semua jenis kalam”.

Hadith ini PALSU dan ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar di dalam al-Tabyin. 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَغْفَلُوا عَنْ أَوَّلِ جُمُعَةٍ مِنْ رَجَبٍ فَإِنَّهَا لَيْلَةٌ تُسَمِّيهَا المَلَائِكَةُ الرَّغَائِب

Maksudnya: “Janganlah kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rejab kerana sesungguhnya terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al-Raghaib”.

Hadith ini DUSTA keseluruhannya menurut Ibn al-Qayyim. 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِيْ الجَنَّةِ نَهْرًا يُقَالُ لَهُ رَجَب مَاؤُهُ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنَ العَسَلِ، مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَب سَقَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ النَّهْرِ

Maksudnya: “Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut”.

Hadith ini BATHIL menurut Imam al-Zahabi. 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنْ رَجَبٍ يَعْدِلُ ذَلِكَ بِصِيَامِ سَنَةٍ ، وَمَنْ صَامَ سَبْعَةَ أَيَّامٍ أُغْلِقَ عَنْهُ سَبْعَةُ أَبْوَابِ النَّارِ ، وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ عَشْرَةَ أَيَّامٍ نَادَىْ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ سَلْ تُعْطَهْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari pertama bulan Rejab umpama berpuasa setahun, barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab sepuluh hari diseru daripada penyeru dari langit bahawa mintalah lalu diberikan (apa yang diminta)”.

Hadith ini BATHIL dan tiada asal baginya menurut Imam al-Syaukani. 

Fatwa Ulama’-Ulama’ Berkaitan Puasa Rejab

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mengatakan bahawa jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah hadith daripada Imam Muslim:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram”. 

[Riwayat Muslim (1163)]

Akan tetapi, mereka mengatakan berpuasa pada bulan Rejab sahaja adalah MAKRUH berdalilkan dengan sebuah hadith di dalam Sunan Ibn Majah:

  • Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ رَجَبٍ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang berpuasa pada bulan Rejab”. 

[Riwayat Ibn Majah (1743)]

[Lihat: Nail al-Authar 293/4 ]mengatakan hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Zaid bin Abd al-Hamid dan Daud bin Atha’][Hadith ini adalah dhaif jiddan (teramat lemah)]

Ini kerana, jika seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab sahaja maka ia menunjukkan seakan-akan mereka ini menghidupkan syiar (lambang) golongan Jahiliyyah pada masa lalu yang memuliakan bulan ini. Walaupun begitu, larangan atau pemakruhan ini akan hilang jika seseoang itu berbuka pada salah satu hari daripada bulan tersebut (tidak berpuasa penuh) atau berpuasa pada bulan yang lain daripada tahun tersebut dan tidak semestinya terus selepas daripada Rejab.

Hukum Puasa Tiga Bulan Secara Berterusan

Dalam masalah ini, Syeikh Athiyyah Shaqar berpendapat bahawa berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan tidak ada dalil yang menghalangnya.  Tambahan pula, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi juga mengatakan bahawa perbuatan tidak dilakukan oleh Nabi SAW, para sahabat RA dan juga para tabi’in. 

Walaubagaimanapun, kami juga telah diberitahu oleh guru kami fadhilah al-Syeikh al-Allamah Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah bahawa puasa 3 bulan berturut-turut iaitu berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan diamalkan oleh para solihin dan ia tidak bercanggah selamamana dia mampu untuk melakukannya dengan tidak beri’tiqad (menganggap) bahawa ia adalah sunnah. Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh mengatakan bahawa orang yang tidak berpuasa itu tidak beramal dengan sunnah.

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Pada Bulan Rejab

Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Rejab ini adalah dan amalan-amalan ini bersifat umam adalah:

  • Berpuasa
  • Memperbanyakkan bersedekah
  • Memperbanyakkan membaca al-Qur’an
  • Memperbanyakkan berzikir
  • Memperbanyakkan solat-solat sunat

Penutup

Demikian adalah sedikit perkongsian daripada kami sekadar yang termampu berkaitan bulan Rejab dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan antara bulan-bulan yang mulia kerana ia merupakan salah satu daripada bulan Haram. Hal ini juga disebut berdasarkan firman Allah SWT berkaitan bulan Haram di dalam al-Qur’an sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita dalam bulan ini bagi mempersiapkan diri menempuh bulan Ramadhan yang akan datang. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan amal ibadah kita serta memasukkan kita dalam dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa melakukan kebaikan dan ketaatan kepada-Nya. Amin.

Wallahua’lam

Petikan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: