Teks Khutbah: Membina Keluarga Sakinah 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh nikmat kebahagiaan sebenar di dunia dan di akhirat.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Membina Keluarga Sakinah”

Sebelum memulakan bicara mimbar, suka saya mengingatkan diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita beristiqamah melakukan amal ibadah dan amalan ketaatan, mengimarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian. Di samping itu, didiklah ahli keluarga khususnya anak-anak untuk mendirikan solat dengan tekun dan mempelajari bacaan al-Quran dan memahaminya. Sebagai muslim yang baik, laksanakanlah amar makruf dan nahi mungkar serta suburkan hubungan persaudaraan sesama kita.

Perbanyakkan bermunajat kepada Allah SWT dan bertaubat atas segala dosa, berdoalah agar kita dikurniakan petunjuk dalam mengharungi ranjau dan duri dalam kehidupan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Perkahwinan merupakan satu ikatan murni di antara seorang lelaki dan perempuan melalui akad nikah yang sah dengan rukun dan syarat tertentu sebagaimana digariskan oleh syariat. Pensyariatan ini mempunyai hikmah yang sangat banyak iaitu Allah SWT menjanjikan ketenangan hidup, memelihara kesucian diri, menjaga keturunan dan menjadi medan sekolah pertama untuk mendidik anak-anak. Renungkan maksud firman Allah SWT menerusi surah an-Nisa’, ayat 1 yang dibacakan tadi:

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”

(Surah an-Nisa’ 4:1)

Islam sangat mengutamakan asas-asas pembentukan masyarakat yang sejahtera, maka setiap pasangan suami isteri perlu memahami hakikat perkahwinan supaya mereka mampu berperanan dan melaksanakan tanggungjawab dengan membina masyarakat madani yang sempurna.

Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ibnu Umar Radhiyallahu ‘anhuma berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita juga pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”

(HR Muslim)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ilmu rumah tangga sangat penting kepada setiap pasangan yang merancang untuk berkahwin termasuk juga pasangan yang sedang melayari bahtera perkahwinan untuk dijadikan pegangan dan panduan demi mengecapi kejayaan dan kebahagiaan dalam rumah tangga. Antara perkara utama yang harus dilakukan dalam melayari bahtera perkahwinan ialah:

Pertama: Setiap pasangan mestilah berpegang dengan akidah yang mantap dan menguasai semua ilmu asas fardu ain. Tujuan utama dalam sebuah perkahwinan dan keluarga adalah untuk mencapai ketenangan melalui pengamalan rukun-rukun Islam dan keyakinan terhadap rukun-rukun iman. Di dalam Islam segala kewajipan dan peraturan wajib dipatuhi oleh setiap pasangan suami dan isteri. Justeru, penghayatan isi kandungan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW mesti diusahakan sebagai panduan hidup berkeluarga.

Kedua: Setiap pasangan suami dan isteri hendaklah memahami tentang tanggungjawab dan hak masing-masing. Tunaikan tanggungjawab sebagai suami dengan memberi nafkah zahir dan batin, memberi layanan yang baik, menyediakan keperluan asas dalam rumah tangga seperti tempat tinggal, makanan, perubatan dan pakaian serta memberikan pendidikan duniawi dan ukhrawi kepada isteri dan anak-anak.

Suami bertanggungjawab memberikan bimbingan kepada isteri dan anak-anak supaya sentiasa mentaati Allah SWT dan Rasulullah SAW. Berikanlah didikan agama yang sempurna kepada mereka, tekankan penghayatan Islam di rumah dan berilah keizinan dan galakan kepada mereka menghadiri majlis-majlis ilmu. Suami juga bertanggungjawab sebagai perisai keluarga daripada anasir-anasir yang boleh membahayakan kehidupan, menggugat pegangan akidah, mencemar maruah dan merosakkan akhlak mereka. Janganlah sekali-kali menyakiti mereka sama ada melalui pertuturan dan perbuatan yang boleh menjejaskan mental dan fizikal.

Manakala tanggungjawab isteri pula ialah mentaati dan melayani suami dengan baik, memelihara maruah dan kehormatan dirinya pada setiap masa dan membantu suami menguruskan rumah tangga. Apabila kedua-duanya melaksanakan tanggungjawab dengan baik, maka barulah kedua-duanya layak mendapat hak masing-masing.

Ketiga: Suami dan isteri mestilah saling memahami, mencintai, bertimbang rasa, bertoleransi dan membantu antara satu sama lain dalam menguruskan rumah tangga. Demi keharmonian rumah tangga, suami isteri perlu merendahkan ego masing-masing. Luangkan banyak masa bersama biarpun di dalam kesibukan mencari rezeki untuk keluarga.

Setiap masalah yang dihadapi mestilah dikongsi bersama dan carilah penyelesaian secara bersama. Jika ada sebarang pertikaian dan pergaduhan, carilah titik persamaan agar ianya tidak merosakkan hubungan yang telah terbina.

Keempat: Duit bukanlah segala-galanya, tetapi banyak perkara perlukan duit, maka tentunya ekonomi yang stabil di dalam rumah tangga dapat menjamin kehidupan yang berkualiti, stabil dan sejahtera. Suami wajib menyediakan keperluan yang secukupnya kepada isteri dan anak-anak melalui pendapatan yang halal. Keperluan nafkah dari segi tempat tinggal, makan minum, pakaian, pendidikan, perubatan dan sebagainya adalah mengikut kadar kemampuan suami biarpun sedikit tetapi mempunyai keberkatan daripada Allah SWT.

Jangan sesekali memberi kehidupan yang mewah kepada isteri dan anak-anak tetapi membelakangi syariat dengan mencari sumber pendapatan yang haram kerana ia akan memberi kesan yang buruk kepada diri kita, isteri dan anak-anak.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Perkahwinan adalah di antara sunnah yang sangat mudah dilaksanakan. Justeru, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak yang sudah layak untuk berkahwin, bersederhanalah dalam mengadakan majlis perkahwinan. 

Apa yang penting ialah mereka dapat melangsungkan perkahwinan dengan sempurna biarpun dalam keadaan yang sederhana. Janganlah kerana perkahwinan, mereka dibebani dengan hutang yang membebankan.

Melihat kepada kepentingan perkahwinan di dalam Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan meraikan perkahwinan seratus orang pasangan yang terdiri daripada golongan asnaf dalam Majlis Walimatul Urus Perdana yang bertemakan ’Nostalgia Adat Istiadat Sejarah Kegemilangan Melayu Islam’ sempena Karnival MAIWP 2023 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 Januari 2023. 

Semoga semua pasangan pengantin yang dirai mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Orang ramai juga dijemput hadir ke Karnival MAIWP 2023 yang akan bermula pada 28 hingga 29 Januari 2023 di Dataran Merdeka. Karnival ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dan meraikan pelbagai lapisan masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sekitarnya dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran pendidikan, rakan-rakan korporat dan jualan gerai usahawan asnaf. Melalui penganjuran karnival ini, MAIWP dapat menyantuni dan menonjolkan peranan golongan asnaf dan B40 agar lebih berdaya saing dan maju ke hadapan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Khatib ingin mengambil kesempatan pada hari ini sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-41 pada tahun ini, sememangnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar terutama dalam memastikan hasil ekonomi negara terjamin selaku agensi pemungut cukai tidak langsung, sekaligus menjadi antara penyumbang hasil terbesar buat negara. Justeru, sumbangan dan jasa jabatan ini amat kita hargai. Semoga negara kita mendapat limpahan kerahmatan, keberkatan dan rezeki yang berpanjangan kepada seluruh warganya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Tanggungjawab suami dan isteri mesti disempurnakan dengan sebaik-baiknya untuk memperoleh kebahagian dan kesejahteraan dalam rumah tangga.

Kedua: Teguhkan pegangan akidah, tingkatkan penghayatan dan pengamalan Islam di dalam rumah tangga melalui didikan agama yang sempurna di dalam keluarga

Ketiga: Penuhi keperluan nafkah isteri dan anak-anak melalui sumber pendapatan yang halal demi meraih keberkatan dan keredaan Allah SWT di dalam rumah tangga.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-Furqan, ayat 74 yang bermaksud: 

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

(Surah al-Furqan 25: 74)

Tarikh Dibaca: 5 Rejab 1444H/27 Januari 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: