Secara naluri manusia mempunyai berbagai-bagai keperluan hidup seperti tempat tinggal, pakaian, makan minum, berkeluarga dan seumpamanya. Untuk tujuan itu sama ada mereka orang jahil atau sebaliknya pasti berusaha untuk memenuhi keperluan tersebut.
Dengan akal yang dikurniai oleh Allah SWT, manusia mampu berfikir bagaimana hendak berteduh dari panas dan hujan, mencari makanan untuk mengatasi kelaparan, mencari pasangan hidup bagi memenuhi naluri kemanusiaannya. Manusia mampu bekerja keras untuk mencari wang dan harta kekayaan.
Manusia mampu memikirkan bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran mereka, melipatgandakan hasil pertanian mereka dan seumpamanya. Sebab itu kita dapati Rasulullah SAW memberikan kebebasan kepada umatnya bagaimana hendak meningkatkan kualiti bagi mencapai hasil yang yang lebih lumayan, sebagaimana sabdanya yang bermaksud;
“Kalian lebih tahu (bagaimana memperbaiki) urusan dunia kalian.”
Saranan itu telah mendorong ke arah teknologi canggih dan sains pertanian sentiasa menghasilkan penemuan baru dalam meningkatkan hasil tuaian bagi kemakmuran dan bagi mengimbangi keperluan pertumbuhan penduduk dunia.
Justeru apa yang tidak dapat difikirkan oleh manusia ialah bagaimana ia hendak menggunakan harta kekayaan atau membelanjakan wang ringgit untuk tujuan keredaan Allah. Lantaran itu Islam telah menganjurkan agar manusia menginfaqkan harta dan wang ringgit milik mereka ke jalan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan berjihadlah dengan harta dan diri kamu di jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
(At-Taubah 9:41)
Firman-Nya lagi:
“…Dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.”
(Al-Baqarah 2:3)
Daripada pengertian ayat-ayat tersebut dengan jelas menghendaki agar sebahagian daripada harta kekayaan yang Allah kurniakan itu adalah untuk dinafkahkan bagi keperluan diri dan keluarga, untuk kebajikan jiran-jiran yang memerlukan. Perkara yang lebih utama ialah untuk tujuan memperjuangkan (mendaulatkan Islam) agama Allah.
Justeru harta milik seseorang itu tidak mempunyai nilai di sisi Allah, kecuali setelah ianya dibelanjakan atau diinfaqkan ke arah yang diredai-Nya. Sememangnya antara tujuan harta itu dikurnia oleh Allah adalah untuk menjadi alat bagi mencapai keredaan-Nya. Seseorang yang menginfaqkan hartanya untuk tujuan yang mulia, adalah suatu cara bagi mereka mensyukuri nikmat Allah, kerana setiap kali mereka berbuat demikian, Allah SWT akan menggantikannya dan menambah pula dengan yang lain, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku) maka sesungguhnya azabku sangat pedih.”
(Ibrahim 14:7)
Allah menambahkan nikmat-Nya kepada hamba-Nya sama ada dengan bertambahnya rezeki dunia ini atau nikmat kerana bertambahnya pahala sehingga melayakkan mereka mencapai keredaan Allah iaitu menerima ganjaran Allah dengan al-Jannah di akhirat kelak.
Sumber: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply