Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mentaati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa melakukan ketaatan di dunia sebagai bekalan di akhirat.
Marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Mengimani Kekuasaan Allah”, sempena dengan kejadian gerhana matahari separa yang berlaku pada hari ini.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari. Dalam keadaan ini, bulan akan berada di antara bumi dan matahari dalam kedudukan segarisan yang mana bulan akan menutupi cahaya matahari sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Kejadian ini merupakan satu bukti kekuasaan Allah SWT, Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Allah SWT jualah yang menetapkan segala yang berlaku di langit dan di bumi. Sebagai manusia, kita adalah makhluk Allah SWT yang sangat kerdil dan lemah. Kita hanya menerima Qada’ dan Qadar yang ditetapkan oleh Allah SWT dan jauh sekali daripada mengubah dengan apa ikhtiar dan usaha sekalipun. Benarlah firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 37 yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.”
(Fussilat 41:37)
Sebagai orang beriman, kita mestilah percaya dan yakin bahawa Allah SWT adalah pentadbir seluruh alam ini. Peredaran bulan dan matahari yang teratur di atas paksinya adalah mengikut kehendak Allah SWT. Lantaran itu, lihatlah dengan mata dan hati supaya kita dapat menghayati berpandukan wahyu dan ilmu yang benar terhadap setiap satu ciptaan Allah SWT. Justeru, kita akan sentiasa membesarkan-Nya dan meningkatkan tahap keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan setiap sesuatu itu dengan sia-sia, bahkan terdapat pelbagai hikmah di sebalik setiap kejadian itu. Justeru, fenomena gerhana matahari separa pada hari ini seharusnya mengingatkan kita mengenai kejadian hari kiamat yang pasti berlaku.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, tidak wajar sama sekali kita mempercayai bahawa gerhana matahari terjadi adalah petanda bahawa sesuatu musibah itu akan berlaku. Tetapi cukuplah keyakinan kita bahawa gerhana itu berlaku adalah atas kehendak dan kuasa Allah SWT tanpa ada kaitannya dengan peristiwa atau tragedi yang akan berlaku disebabkan gerhana tersebut. Hakikatnya, kejadian malam dan siang merupakan nikmat yang sangat besar kepada kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’, ayat 12 yang bermaksud:
“Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang- benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) Dengan sejelas-jelasnya.”
(Al-Isra’ 17:12)
Jelaslah kepada kita di dalam ayat tadi bahawa pertukaran dan peralihan malam dan siang itu adalah tanda atau bukti kekuasaan Allah SWT yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana makhluk. Kejadian itu pasti memberi kesan kepada kita seterusnya kita dapat meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Hakikatnya kejadian gerhana merupakan peringatan Allah SWT kepada manusia supaya segera insaf, gerun dan takut terhadap kebijaksanaan, kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Oleh itu, mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada peristiwa gerhana matahari ini dengan rasa penuh keinsafan dan bermuhasabah atas segala dosa yang pernah kita lakukan dengan melazimi taubat dan istighfar kepada Allah SWT. Di samping itu, perbanyakkanlah melakukan amal ibadah, kebajikan, dan doa supaya Allah SWT memelihara kita dengan kasih sayang-Nya daripada ditimpa bala bencana, wabak penyakit dan musibah. Mimbar mengingatkan sidang jemaah dan seluruh umat Islam, jauhilah segala perbuatan syirik, khurafat dan tahyul yang boleh menjejaskan akidah Islam.
Janganlah merosakkan pahala ibadah puasa dan amalan-amalan ketaatan di bulan Ramadan ini dengan perbuatan dan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Mas’ud al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.”
Mengakhiri khutbah, renungkanlah beberapa kesimpulan sebagai pedoman kita bersama:
Pertama: Tingkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan meyakini bahawa Allah jualah yang menguasai seluruh kejadian alam ini di samping menjauhi kepercayaan yang bertentangan dengan akidah Islam.
Kedua: Insaflah dan bertaubatlah terhadap segala dosa yang pernah kita lakukan, takutlah kepada ancaman Allah SWT kepada mereka yang melakukan kerosakan dan kemungkaran di muka bumi.
Ketiga: Perbanyakkanlah melakukan amal ibadah, kebajikan dan berdoa supaya Allah SWT menjauhkan kita daripada bala bencana, wabak penyakit dan musibah.
Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 5 yang bermaksud:
“Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmah sesuatu yang dijadikan-Nya).”
(Yunus 10:5)

Tarikh Dibaca: 29 Ramadan 1444H/20 April 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply