Teks Khutbah Jumaat: Mencurah Keringat Meraih Berkat 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Mencurah Keringat Meraih Berkat”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Pekerjaan merupakan jalan untuk kita memperoleh rezeki bagi memenuhi keperluan diri dan nafkah keluarga. Pelbagai jenis pekerjaan telah disediakan di negara ini berdasarkan pelbagai bidang dan pengkhususan. 

Ada yang bekerja untuk memastikan sumber makanan sentiasa mencukupi seperti para petani, peladang, penternak dan juga nelayan. Ada yang bekerja untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan kepada masyarakat seperti doktor dan peguam. Ada juga yang bekerja untuk memastikan keamanan dalam negara sentiasa terpelihara seperti polis dan tentera. Malah ada juga yang bekerja sebagai nadi penggerak dasar-dasar kerajaan iaitu anggota perkhidmatan awam dan swasta. 

Ketahuilah, Islam mengharuskan kita memilih apa sahaja jenis pekerjaan asalkan ianya mematuhi syariat dan dapat memenuhi keperluan hidup. 

Renungkan maksud firman Allah SWT di dalam surah al-Qasas ayat 77 yang dibacakan tadi yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas 28:77)

Tanggal 1 Mei setiap tahun adalah tarikh yang sangat istimewa bagi mereka yang bekerja bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Sambutan tersebut sebenarnya adalah satu pengiktirafan kepada setiap pekerja yang telah berhempas pulas memerah keringat membangunkan masyarakat dan negara tanpa mengira sektor dan jawatan.

Justeru, tema Hari Pekerja pada tahun ini ialah “Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani”. Sebagai muslim dan ketua keluarga, kita wajib bekerja untuk memberi nafkah dan menyediakan keperluan asas kepada keluarga daripada sumber yang halal bagi meraih keberkatan dan keredaan Allah SWT. Tanpa mengira apa jua jawatan sama ada dari setinggi-tinggi kedudukan dan pangkat sehinggalah serendah-rendah jawatan, ianya tetap diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Kerja yang dilakukan akan menjadi ibadah jika kita melakukannya dengan ikhlas, mematuhi syariat dan tekun menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Di samping itu, kita juga mempunyai kewajipan kepada agama dengan membayar zakat pendapatan sekiranya telah memenuhi syarat-syaratnya dan membayar cukai pendapatan sebagai menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Pembangunan sesebuah negara amat bergantung rapat dengan tenaga pekerjanya yang mahir dan bermutu. Pekerja yang mahir hanya akan dapat diwujudkan menerusi perancangan strategik yang jitu berasaskan kepada sistem pendidikan rapi. Kemahiran seseorang pekerja diukur dengan sejauh mana kemampuan dan kejujurannya dalam melaksanakan kerja dengan sempurna. Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud:“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Al-Qasas 28:26)

Berdasarkan firman Allah SWT tersebut, kita dapat fahami bahawa ciri yang pertama perlu ada dalam diri seseorang pekerja ialah al-Qawiy iaitu kekuatan jasmani dan rohani. Kedua-duanya adalah perlu dalam mendapatkan hasil kerja yang baik dan berkualiti. Kekuatan juga diukur dari segi kepakaran, kecekapan dan kemampuan dalam menghasilkan kerja yang bermutu berdasarkan bentuk tugasan dan tanggungjawab yang telah diberikan kepadanya.

Manakala ciri yang kedua pula ialah al-Amin iaitu amanah. Pembentukan sifat amanah memerlukan kepada pendidikan rohani yang menjurus kepada iman dan takwa kepada Allah SWT kerana seseorang yang memiliki kedua-dua sifat ini tidak akan mengabaikan apa sahaja tanggungjawab yang diserahkan kepadanya. Dia tidak akan mengkhianati agensi atau institusi tempat kerjanya, tidak akan menggunakan kesempatan yang diada-adakan untuk kepentingan diri sendiri, di samping dia tidak akan menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepadanya untuk melakukan penyelewengan, rasuah dan pecah amanah. 

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila sudah hilang amanah maka tunggulah terjadinya kiamat. Orang itu bertanya: Bagaimana hilangnya amanah itu? Nabi SAW menjawab: Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah terjadinya kiamat.”

Justeru, ingatlah bahawa kekuatan jasmani dan rohani, sifat amanah, berpengetahuan luas dalam pengurusan kerjaya dan berkemahiran tinggi merupakan aspek yang mesti ada pada setiap pekerja. Pelbagai manfaat boleh diperoleh bukan sahaja kepada majikan dan organisasi bahkan terhadap pembangunan negara terutama dalam meningkatkan taraf ekonomi. Namun sebaliknya, jika seseorang pekerja kurang kemahiran dan tiada usaha untuk meningkatkan prestasi, maka secara tidak langsung akan memberi kesan kepada majikan, organisasi dan negara.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Persekitaran tempat kerja yang kondusif dan selamat merupakan satu keperluan dan menjadi tanggungjawab kepada majikan untuk menyediakannya kepada setiap pekerja di bawahnya. Pengamalan budaya kerja yang sihat dan selamat semestinya dapat memberikan perubahan yang positif bagi mengelakkan kecederaan dan kemalangan di tempat kerja. Sememangnya usaha-usaha yang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja sentiasa dipertingkatkan sehingga menampakkan hasil yang positif apabila kadar kes kemalangan di tempat kerja telah menunjukkan trend penurunan pada setiap tahun.

Sesungguhnya menjaga nyawa adalah salah satu Maqasid al-Syariah dan kewajipan bagi setiap muslim. Justeru, dalam hal ini aspek keselamatan dan pengawasan yang tinggi di tempat kerja mesti diutamakan terutama oleh majikan bagi mengelakkan berlakunya tragedi seperti kebakaran, kecederaan, kehilangan nyawa dan sebagainya. Ianya bertepatan dengan tema sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia tahun ini iaitu “Persekitaran Kerja Yang Selamat dan Sihat Merupakan Hak Asasi”. Kepada para pekerja khususnya bagi sektor-sektor yang mempunyai risiko kemalangan yang tinggi seperti pembinaan, ambil tahu mengenai hak anda dalam aspek keselamatan dan kesihatan, amalkan budaya kerja yang selamat dengan mematuhi setiap peraturan dan wujudkan suasana kerja yang harmoni sesama rakan kerja dan majikan.

Semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang kita ceburi.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Pekerjaan merupakan jalan untuk kita memperoleh rezeki bagi memenuhi keperluan diri dan nafkah keluarga.

Kedua: Jadilah pekerja yang mempunyai kekuatan jasmani dan rohani, sifat amanah, berpengetahuan luas dalam pengurusan kerjaya dan berkemahiran tinggi.

Ketiga: Amalkan budaya kerja yang selamat dan sihat, ambil tahu mengenai hak kita sebagai pekerja dalam aspek keselamatan dan kesihatan serta wujudkan keharmonian di tempat kerja.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (At-Taubah 9:105)

Tarikh Dibaca: 14 Syawal 1444H/5 Mei 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: