Makanan Hari Raya Orang Malaysia

Oleh: Mymuslimin.com

Hari raya memang terkenal dengan juadahnya yang pelbagai. Setiap keluarga mempunyai resepi tersendiri ketika menyambut hari raya. Walaupun nama juadahnya sama, sepuluh rumah kita lawati, sepuluh rasa yang berbeza. Itulah uniknya orang Malaysia dan masakannya. Kepelbagaian menjadikan Malaysia begitu menarik dan menyerlahkan lagi kemeriahan di hari raya. 

Mymuslimin.com mempersembahkan juadah hari raya orang Malaysia. 

Ketupat

Ketupat merupakan kemestian di setiap hari raya kerana ianya sesuai untuk dipadankan dengan lauk seperti rendang, sambal, lodeh, serunding dan sebagainya. Ketupat ialah hidangan nasi yang dimasak di dalam anyaman daun kelapa. Namun, masyarakat masa kini ramai juga yang memilih untuk menyediakan ketupat segera yang dijual di pasaraya kerana ianya lebih mudah dan muai. Menganyam dan memasak ketupat memerlukan kemahiran yang tidak dikuasai ramai generasi muda.  Ada pelbagai jenis anyaman ketupat seperti ketupat bawang, ketupat sate dan ketupat pasar tetapi dari segi rasa, tiada yang berbeza. Ada juga segelintir yang membuat ketupat pulut dan memasaknya dengan santan. 

Lemang

Lemang juga tidak kurang hebatnya di hari raya. Hidangan pulut bersantan yang dibakar di dalam buluh ini juga sesuai dimakan dengan rendang dan serunding. Kata kuncinya ialah dibakar dengan api sederhana untuk satu jangkamasa. Lemang yang sempurna ada sedikit ‘hangus’ di keliling pulut, ianya bukan sahaja lazat malah menambah tekstur. Untuk mereka yang tidak tahu cara membakar lemang, banyak gerai-gerai lemang sementara dibuka sempena hari raya yang menawarkan perkhidmatan lemang segera.

Ketupat Palas

Ketupat palas pula ialah hidangan pulut yang yang menggunakan daun palas duri sebagai pembungkusnya, dan ianya dibalut berbentuk tiga segi. Ada dua jenis ketupat palas dan ianya dikenali dengan cara akhir balutannya.  Yang jantan mempunyai pulut yang lebih di bahagian akhir balutan, serta ikatan dan balutannya kemas manakala yang betina bersaiz kecil dan tidak mempunyai pulut lebih di bahagian ikatan atau balutan. Tambahan, balutan yang betina juga kurang kemas. Namun tidaklah penting untuk mengenali perbezaan ketupat ini, yang penting ianya sedap untuk dimakan bersama rendang!

Rendang

Rendang merupakan hidangan tradisional Melayu yang diperbuat daripada daging yang dimasak perlahan dengan santan dan campuran rempah ratus seperti serai, lengkuas, halia, bawang, bawang putih, cili kering atau cili padi dan kerisik.  Walaupun secara amnya resepi rendang lebih kurang sama, perbezaan terlihat mengikut resepi keluarga masing-masing. Ada yang menyukai cili kering, ada yang memilih cili padi, ada yang lebihkan bawang, ada yang suka rendang kering, ada yang suka rendang sedikit berkuah. Yang pastinya rendang daging atau ayam mestilah dimasak lama dan menuntut kesabaran yang tinggi untuk hasil yang memuaskan hati. 

Rendang Tok

Rendang Tok pula lain ceritanya. Rendang Tok ini ialah makanan tradisional yang popular negeri Perak. Menurut sejarahnya, resipi Rendang Tok ini dicipta oleh pemerintah kerajaan Perak pada satu masa dahulu. Dipercayai bahawa hanya keluarga Diraja ini sahaja yang memiliki kemampuan untuk mendapatkan rempah-rempah mahal yang menjadi bahan-bahan penyediaan Rendang Tok. Kini, Rendang Tok telah dikomersilkan dan menjadi hidangan yang popular khususnya di negeri Perak. Antara perbezaan rendang ini dengan rendang biasa ialah penggunaan rempah ratus seperti ketumbar, jintan manis, jintan putih termasuk rempah empat sekawan. Dan menurut resepinya, daging perlu diperap dengan rempah ratus semalam sebelum proses merendang dilakukan. 

Serondeng

Ejaan betul serunding ialah serondeng. Serondeng ialah masakan tradisional yang menggunakan daging (lembu, ayam, ikan) atau kelapa yang dimasak dengan rempah ratus sehingga kering. Serondeng mempunyai tekstur carik-carik halus dan rasanya kaya dengan rempah. Bahan-bahannya agak sama dengan resepi rendang yang ditambah rempah ratus tetapi cara masaknya agak berbeza di mana dagingnya perlu direbus dan dicarik halus dulu sebelum bahan-bahan lain dimasukkan dan dimasak sehingga kering dan garing. Renyah pembuatan serondeng ini namun ianya berbaloi kerana boleh disimpan lama. Pelbagai jenis serondeng ditawarkan di pasaran cuma harganya sedikit tinggi kerana pembuatannya yang lama dan susah.

Lontong dan Kuah Lodeh

Juadah ini terkenal di selatan tanahair kerana ianya sesuai untuk dimakan oleh semua golongan kerana kuahnya tidak pedas. Lontong ialah nama lain kepada nasi impit iaitu nasi yang dimasak lembik sedikit dan dipadatkan atau diimpit-impit agar boleh dipotong-potong menjadi kuib. Tentu sekali lawannya ialah kuah lodeh, hidangan vegetarian yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran. Kuah untuk hidangan ini ialah kuah kunyit bersantan yang dimasak dengan bahan-bahan lain seperti lengkuas, udang kering, serai, bawang, dan sebagainya. Kemudian sayur-sayuran penting dimasukkan ke dalam kuah seperti sengkuang, lobak merah, terung, kacang panjang, kentang. Tempe, suhun, tauhu dan fucuk juga antara bahan lain yang penting yang tidak boleh dilupakan dalam kuah lodeh. Untuk lebih fancy, ramai yang memilih untuk menambah udang besar di dalam hidangan ini di musim raya. Kuah lodeh merupakan hidangan hari raya yang dimakan bersama lontong, telur rebus dan sedikit sambal.

Hidangan tradisional yang kita nikmati sekarang ini telah diperturunkan dari generasi ke generasi dan dihidangkan dengan gah di hari raya. Untuk generasi baru, belajarlah untuk mengekalkan tradisi ini agar ianya dapat dirasai oleh anak cucu kita di masa akan datang. 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑