Asmaul Husna yang ke-20 ialah Al-’Aliim yang bermaksud Yang Maha Mengetahui atau Yang Maha Pakar, iaitu kepakaran yang menyeluruh dan selama-lamanya. Berbeza dengan manusia yang bergelar alim atau pakar, pengetahuannya pakar, pengetahuannya tetap mempunyai batas-batas tertentu. Mungkin manusia mencapai tahap kepakaran dalam suatu bidang khusus, tetapi kita tidak alim atau tidak pakar dalam bidang yang lain. Kepakaran manusia mempunyai permulaan, dimulai dengan tidak tahu.
Setelah dia belajar dan membuat kajian selama bertahun-tahun barulah dia berjaya mencapai kepakaran dalam sesuatu pengkhususan ilmu tertentu. Keilmuannya tidak kekal, adakalanya dia terlupa. Sekurang-kurangnya di waktu sarafnya tidak berfungsi, ingatannya akan turut lenyap. Orang yang alim dan orang yang jahil ketika mereka terlena, kedudukan mereka yang sama. Lupa!
Tidak ada perkara yang terlindung dan tidak ada rahsia di sisi Tuhan yang bersifat Al-’Aliim, kerana tidak akan wujud selain Allah SWT kecuali setelah alam diciptakan oleh-Nya. Allah SWT yang Maha Pencipta semestinya Maha Pakar dengan keilmuan yang tiada batasan.
Setiap insan mesti mengambil iktibar daripada sifat Allah SWT yang Al-’Aliim itu, apatah lagi manusia sentiasa terbatas sama ada masa ataupun ilmu. Umur manusia terlalu singkat. Dalam masa yang terhad manusia mesti berusaha meningkatkan penguasaan ilmu. Sekurang-kurangnya, berjaya menurunkan tahap kejahilan yang membelenggu diri mereka.
Usaha untuk menguasai ilmu wajib dilakukan dengan dua cara. Pertama dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kedua dengan berdoa kepada Allah SWT yang bersifat Al-’Aliim, supaya dipermudahkan dan dipercepatkan pemahaman dan pencapaian sesuatu ilmu yang dituntutnya, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan katakanlah: ‘Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.’”
(Taha: 114)
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply