Teks Khutbah Jumaat: Kestabilan Emosi Menjamin Hidup Berkualiti

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Semoga kita dibangkitkan bersama dengan golongan yang mendapat naungan-Nya dan syafaat Rasul-Nya di akhirat kelak.

Marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk : “Kestabilan Emosi Menjamin Hidup Berkualiti”.

Sebelum itu, khatib ingin menyeru kepada seluruh umat Islam untuk terus mengimarahkan masjid dan surau dengan hadir solat secara berjemaah di samping mendidik ahli keluarga khususnya anak-anak agar istiqamah mendirikan solat fardu.

Marilah kita melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar, memelihara hubungan persaudaraan serta perbanyakkan taubat dan munajat kepada Allah SWT dalam memastikan hidup kita sentiasa mendapat limpahan kerahmatan dan keberkatan daripada-Nya.

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Hidup kita tidak terlepas daripada ujian Allah SWT. Setiap dugaan yang datang adalah untuk meningkatkan darjat dan martabat manusia di sisi-Nya. Sesiapa yang berjaya mengharungi ujian kehidupan dengan penuh reda dan sabar sudah pasti akan mendapat ganjaran syurga-Nya. Maka kita perlu membuat persediaan mental dan fizikal sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang dibacakan tadi yang bermaksud:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga
padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah
berlaku kepada orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan
(ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman
yang bersamanya: Bilakah datang pertolongan Allah? Ketahuilah
seseungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan
berpegang teguh kepada agama Allah).”

(Al-Baqarah 2:214)

Akal adalah anugerah Allah SWT yang membezakan antara manusia dengan haiwan. Justeru, Islam memerintahkan manusia supaya sentiasa memelihara kesihatan mental. Kesihatan mental mudah terjejas jika kita gagal mengawal tekanan emosi dengan baik.

Tidak dinafikan, tekanan emosi atau stress sentiasa berlaku kepada manusia yang mudah terkesan dengan gaya hidup, perwatakan, faktor kekeluargaan, proses persekitaran dan kejutan budaya. Emosi akan bertindak balas terhadap sebarang perubahan dan tuntutan yang boleh berlaku kepada manusia tanpa mengira siapa kita.

Tekanan emosi yang sederhana, mampu memberi motivasi, namun jika kita mengalami tekanan emosi yang berat dan berterusan, dibimbangi kita tidak mampu menanganinya sehingga membawa kepada tindakan-tindakan di luar jangka dan tidak terkawal.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita semua inginkan hidup bahagia dalam rumah tangga dan keluarga kita. Kebahagiaan adalah rasa kesejahteraan, kegembiraan atau kepuasan yang melahirkan emosi yang positif dalam diri.

Namun rasa bahagia itu akan terhakis, kerana emosi terganggu seperti disebabkan oleh tekanan kerja, peningkatan kos sara hidup, konflik rumah tangga, kegagalan menguruskan kewangan, keberhutangan yang tinggi, gaya hidup dan masalah kesihatan. Secara tidak langsung ia akan memberi kesan negatif kepada kita.

Tidak dinafikan bahawa kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya, boleh menyusutkan sumber kewangan keluarga jika kita tidak dapat menguruskannya dengan bijak.

Kesannya, berlakulah ketidak cukupan perbelanjaan bulanan keluarga sehingga menyukarkan untuk kita memenuhi keperluan asas keluarga seperti mendapatkan makanan yang sihat, pakaian yang baik, tempat tinggal yang kondusif dan pendidikan yang sempurna. Sudah tentu ianya menjadi tekanan emosi kepada kita.

Begitu juga dengan pekerjaan kita. Pastinya semua orang mahu suasana pekerjaan itu memberikan keseronokan, walaupun kadangkala pekerjaan juga memberi tekanan kepada mental dan fizikal.

Sebagai contoh, bebanan tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik dan suasana kerja yang tidak kondusif sangat mudah memberi tekanan terhadap kesihatan mental.

Pelbagai implikasi negatif akan berlaku sekiranya kita tidak dapat mengawal tekanan emosi, antaranya kita cepat panas baran, murung, gelisah, kelesuan, ketakutan dan hilang tumpuan.

Paling dibimbangi jika tekanan emosi tersebut tidak dapat dikawal dan dicegah mampu mengakibatkan berlakunya tindakan di luar batasan syariat dan kewarasan akal seperti melakukan penderaan terhadap anak-anak dan isteri, mengambil dadah dan alkohol dan paling ditakuti sanggup membunuh diri.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebenarnya Islam telah memberikan pengajaran kepada manusia dalam memelihara kesihatan mental dan fizikal. Antara kaedah untuk mengembalikan aura positif dalam hidup kita supaya tekanan emosi dapat dikawal dan dirawat sebaiknya ialah :

Pertama: Kita hendaklah memelihara solat fardu dan perbanyakkan solat-solat sunat. Sesungguhnya solat dapat memberikan ketenangan jiwa. Tunaikanlah kewajipan solat dengan sebaiknya di samping melazimi solat berjemaah. Mintalah pertolongan Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: 

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan
sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu
amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

(Al-Baqarah 2:45)

Kedua: Kita memperbanyakkan amalan berzikir kepada Allah SWT. Islam mementingkan ketenangan jiwa. Tiada cara yang terbaik untuk mendapatkannya melainkan mengajar diri sendiri agar sentiasa mengingati Allah SWT. Amalan zikir juga mampu memberikan ketenangan pada jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: 

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram
hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang
tenteramlah hati manusia.”

(Ar-Ra’d 13:28)

Ketiga: Kita hendaklah melazimi mendengar, membaca dan menghayati makna-makna al-Quran. Al-Quran adalah penawar kepada manusia. Membaca al-Quran akan memberikan ketenangan kepada pembacanya dan sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayatnya difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini kerana al-Quran merupakan sumber teragung dalam merungkai segala permasalahan manusia. Justeru, berdampinglah dengan al-Quran setiap hari.

Keempat: Kita hendaklah memperbanyakkan doa, mohon keampunan dan berserah diri kepada Allah SWT. Doa juga adalah penghubung diri kita dengan Allah SWT. Mintalah daripada Allah SWT agar diberikan petunjuk dan jalan dalam menghadapi ujian kehidupan.

Kelima: Kita hendaklah mendapatkan nasihat dan bimbingan dalam menyelesaikan masalah tekanan yang dihadapi. Berkongsilah masalah dengan mereka yang dipercayai dan dapat memberikan nasihat terbaik seperti kaunselor berdaftar, agamawan dan ahli keluarga sendiri. Dengan cara ini, kita dapat mengurangkan rasa bebanan yang ditanggung.

Keenam: Semua pihak berkaitan hendaklah turun padang bersama membantu menyelesaikan masalah-masalah yang melanda masyarakat khususnya aspek kewangan dan memastikan kebajikan mereka dijaga. Masyarakat juga perlu mengambil berat mengenai kehidupan saudara-mara dan jiran tetangga.

Bantulah mereka apa yang perlu sebagai tanda persaudaraan sesama insan. Jika memerlukan bantuan dan termasuk dalam kategori asnaf, boleh membuat permohonan kepada Pusat Agihan Zakat Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan supaya bebanan kewangan mereka dapat dibantu dengan sebaiknya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Kesihatan akal akan terjejas jika kita gagal mengawal tekanan emosi dengan baik. Ambillah perhatian yang serius terhadap penjagaan kesihatan mental.

Kedua: Pelihara solat fardu, perbanyakkan solat-solat sunat dan zikir untuk mendapatkan ketenangan jiwa. Berdoalah kepada Allah SWT supaya memberikan petunjuk dan jalan menghadapi ujian kehidupan.

Ketiga: Dapatkan nasihat dan bimbingan daripada kaunselor berdaftar, agamawan, ahli keluarga dan sesiapa juga yang dipercayai untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Renungkanlah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:”

(Al-Baqarah 2:155)

Tarikh dibaca: 17 Rabiulawal 1444H/ 14 Oktober 2022M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: