Manusia yang berkait dengan hakmu terbahagi kepada 3 kelompok:
- Teman
- Kenalan
- Orang awam yang tidak dikenali
Adab Pergaulan dengan Orang Awam
Jika kamu bertemu dengan orang awam yang tidak dikenali, maka adab-adab ketika berada bersama mereka ialah:
- Tidak ikut serta dalam bicara mereka.
- Kurangkan mendengar ucapan-ucapan dusta mereka.
- Mengabaikan ucapan-ucapan kasar mereka.
- Jauhkan diri daripada selalu bertemu dan berhajat kepada mereka.
- Mengingatkan kemungkaran yang mereka lakukan dengan lemah lembut dan memberi nasihat ketika ada harapan mereka menerimanya.
Adab Pergaulan Dengan Saudara atau Teman
Adapun saudara dan teman, maka ada dua tugasan yang perlu kamu lakukan terhadap mereka:
Pertama: Kamu haruslah tahu syarat-syarat bersahabat dan berkawan. Jangan bersahabat kecuali dengan orang yang benar-benar sesuai dijadikan saudara atau sahabat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Seseorang dilihat pada agama sahabatnya, maka salah seorang kamu hendaknya mengenalpasti siapakah yang menjadi sahabatnya.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi)
Jika kamu ingin mencari teman agar dia boleh menyertaimu dalam menuntut ilmu dan menjadi sahabatmu dalam urusan agama dan dunia, penuhi lima hal berikut:
1. Akal (kecerdikan)
Tiada kebaikan langsung dalam persahabatan bersama orang yang bodoh kerana pengakhirannya hanyalah permusuhan dan terputusnya hubungan. Sebaik-baik keadaannya ialah dia akan menyakitimu, padahal niatnya memberi manfaat kepadamu. Musuh yang pandai lebih baik dari teman yang bodoh.
Ali r.a berkata :
“Jangan bersahabat dengan teman yang bodoh,
Hendaknya kamu betul-betul menghindarinya,
Berapa banyak orang bodoh yang menghancurkan,
Si penyabar ketika dia menjadi sahabatnya,
Seseorang dinilai dengan orang lain,
Apabila oang itu sentiasa mengikutinya,
Seperti sepasang selipar yang sama,
Apabila sebelah selipar itu sentiasa menurutinya,
Bagi suatu perkata dengan perkara yang lain,
Mempunyai ukuran dan kemiripan,
Bagi suatu hati dengan hati yang lain,
Terdapat petunjuk ketika kedua-duanya bertemu.
2. Akhlak Yang Baik
Jangan bersahabat dengan orang yang buruk akhlaknya, iaitu orang yang tidak boleh menahan diri ketika marah dan daripada nafsu syahwat.
Alqamah al-’Athiri r.a telah menyertakan pesanan ini dalam wasiatnya kepada anaknya ketika beliau hampir wafat. Beliau berkata:
“Wahai anakku, Jika engkau ingin bersahabat dengan manusia,
Bersahabatlah dengan orang yang akan menjagamu apabila engkau membantunya, Menambah bilai dirimu apabila engkau bersahabat dengannya,
Apabila engkau ditimpa kesusahan, dia turut merasainya.
Bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau hulurkan tangan dalam perkara kebaikan, dia membalasnya,
Apabila dia melihat kebaikan padamu, dia mengiranya,
Jika dia melihat keburukanmu, dia menutupnya,
Bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau mengungkapkan sesuatu, dia membenarkan ucapanmu,
Apabila engkau mengusahakan sesuatu, dia sedia membantu dan menolongmu,
Jika engkau berdua berselisih pandangan dalam suatu urusan, dia mengalah padamu.”
Ali r.a. Mengungkapkan syair,
Sesungguhnya saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa bersamamu,
Dan membiarkan dirinya menderita demua kebaikanmu,
Dan apabila peristiwa hidup merunsingkanmu,
Dia mengorbankan urusannya untuk membantumu.
3. Baik dan Soleh
Jangan bersahabat dengan orang fasik yang melazimi dosa besar kerana orang yang takutkan Allah tidak akan berbuat dosa besar terus-menerus. Sesiapa yang tidak takut kepada Allah, dia tidak berasa aman daripada kejahatannya, sikapnya berubah-ubah menurut situasi dan kondisi. Allah Ta’ala berfirman kepada Nabi-Nya SAW yang bermaksud:
“Janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
(Al-Kahfi 18:28)
Hindarilah daripada bersahabat dengan orang fasik kerana menyaksikan perbuatan fasik dan maksiat dengan kerap akan menghilangkan rasa benci kepada maksiat daripada hatimu dan membuatnya remeh di matamu.
Oleh sebab itulah perbuatan mengumpat menjadi remeh dalam hati-hati manusia kerana mereka suka melakukannya. Jika mereka melihat cincin emas atau pakaian sutera yang dikenakan oleh seorang faqih, nescaya mereka akan mengingkarinya dengan keras. Padahal, umpatan itu lebih berat daripadanya.
4. Dia tidak tamakkan dunia
Bergaul dengan orang yang tamakkan dunia ialah racun yang membunuh kerana tabiat manusia diciptakan untuk meniru dan menuruti sesuatu.
Bahkan, suatu tabiat boleh mencuri tabiat yang lain tanpa disedari oleh manusia. Oleh itu, bersahabat dengan orang yang tamakkan dunia akan menambahkan ketamakanmu pada dunia, dan bersahabat dengan orang yang zuhud akan menambah sifat zuhudmu pada dunia.
5. Jujur
Jangan bersahabat dengan orang yang selalu berbohong kerana kamu boleh terjatuh dalam tipu dayanya. Dirinya umpama fatamorgana yang mendekatkanmu dengan yang jauh dan menjauhkanmu dengan yang dekat.
Orang yang bahagia ialah orang yang mengambil pengajaran daripada orang lain. Seorang Mukmin ialah cermin bagi Mukmin yang lain. Seorang pernah bertanya kepada Nabi Isa a.s. “Siapakah yang telah mengajarkanmu adab?”
Baginda menjawab, “Tidak ada sesiapa yang pernah mengajariku adab, tetapi aku melihat kejahilan orang bodoh lalu menghindarinya.”
Benarlah apa yang baginda katakan. Semoga selawat dan salam dilimpahkan ke atas Nabi kita dan baginda. Seandainya manusia meninggalkan apa yang mereka benci pada peribadi orang lain, nescaya adab mereka menjadi sempurna dan tidak memerlukan orang-orang untuk mengajarkan adab kepada mereka.
Kedua: Meraikan hak-hak persahabatan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Perumpamaan dua orang saudara adalah seperti sepasang tangan, salah satunya membersihkan yang lain.”
Nabi SAW pernah masuk ke dalam semak belukar lalu memetik dua ranting kayu siwak, salah satunya bengkok dan satu lagi lurus. Ketika itu Baginda berada bersama seorang sahabatnya, lalu memberikan ranting yang lurus kepada sahabat tersebut dan memegang sendiri ranting yang bengkok. Sahabat itu berkata, “Wahai Rasulullahm kamu lebih berhak ke atas ranting yang lurus ini berbandingku.”
Lantas Baginda SAW bersabda yang maksudnya:
“Tidak ada seseorang yang bersahabat dengan temannya walaupun seketika pada waktu siang, melainkan dia akan ditanya tentang persahabatan tersebut: Adakah dia telah menunaikan hak Allah Ta’ala di dalamnya atau mengabaikannya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)
Baginda SAW juga bersabda yang maksudnya:
“Tiada dua orang yang bersahabat melainkan orang yang paling dikasihi Allah Ta’ala antara kedua-duanya ialah orang yang paling belas kasih terhadap seorang lagi.”
Sumber: Jalan Menuju Petunjuk – Panduan Menjadi Manusia Bertakwa dalam Meraih Keredaan Allah oleh Imam Al-Ghazali
Leave a Reply