Jangan Cemari Ibadah dengan Adat

Seorang sahabat bernama Saad bin Ubbad telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia. Apakah sedekah yang paling afdhal untuk dihadiahkan kepada ibuku?” Jawab Rasulullah, “Sedekahlah air.”

Rasulullah SAW menganjurkan supaya bersedekah air kerana ia merupakan benda yang sangat berharga. Di kebanyakan negara Arab ketika itu sumber air sangat terbatas. Tidak mudah untuk mendapatkan tempat tinggal yang mempunyai sumber air. Sesiapa yang mempunyai sumber mata air maka ia dianggap orang yang kaya. 

Pergaduhan dan peperangan antara kabilah sering terjadi kerana hendak menguasai sumber air, hampir setiap suku kabilah mempunyai sumber mata air. Mereka menguasai dan mempertahankannya. Tanpa sumber mata air bererti tempat itu tidak akan dihuni oleh sebarang kaum dan kabilah Arab. 

Setelah Saad bin Ubbad mendengar pesanan Rasulullah itu maka dia pun berusaha menggali telaga dengan susah payah, dan setelah didapati telaga yang digali itu mendapat sumber air di bawah tanah, maka Saad bin Ubbad pun mewakafkan telaga air itu untuk orang ramai minum, mandi, membersihkan pakaian, tubuh badan dan tempat tinggal dari segala kekotoran dan najis. 

Oleh itu bersedekah air seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW masih tetap menjadi saranan yang berterusan walaupun seseorang itu berada di tempat yang mewah dengan air. 

Bersedekah air itu bukan sekadar memberi orang minum, malah banyak cara boleh dilakukan untuk sedekah air itu. Misalnya dengar membayar bil air bagi rumah ibadah seperti musallah dan masjid, asrama anak-anak yatim, pusat-pusat tarbiyah dan lain-lain lagi. 

Anjuran Rasulullah SAW itu sebagai satu galakan supaya umatnya tahu memberikan keutamaan dalam setiap ibadah yang hendak diberikan kerana sedekah itu adalah ibadat. Jangan urusan ibadah itu dicampuradukkan dengan adat, atau janganlah bersedekah itu kerana adat seperti yang banyak berlaku dalam masyarakat orang Melayu. 

Bersedekah kerana adat itu umpamanya ialah adat memberi sumbangan ketika kenduri nikah kahwin. Kenduri perkahwinan adalah ibadah, majlis jamuan meraikan pasangan lelaki dan perempuan yang telah diijabqabulkan dengan akad nikah merupakan tuntutan agama, menghadiri jemputannya adalah suatu kewajipan. 

Kesucian agama janganlah dicemari dengan adat ciptaan manusia, seperti adat bersanding dan juga adat memberi sumbangan yang menjadi amalan di kebanyakan tempat di negara kita. Adat tersebut memberikan kesan negatif kerana, akhirnya apabila si miskin yang tidak mempunyai wang untuk menyumbang, mereka malu untuk hadir ke majlis kenduri perkahwinan itu. Akhirnya, si muskin tidak dapat menghadiri majlis jamuan. 

Majlis kenduri perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam mempunyai hikmah, iaitu untuk menjalin silaturrahim antara penduduk sesuatu tempat sama ada miskin atau kaya. Tetapi apabila orang miskin hatinya rasa tersinggung disebabkan tidak ada wang hendak disumbangkan kepada tuan majlis itu, menyebabkan mereka tidak lagi boleh bersama dalam majlis jamuan seperti itu. 

Terdapat di kalangan mereka yang mengadakan kenduri secara besar-besaran dengan berhutang bergadai, kerana mereka berharap segala hutang itu akan dapat dibayar apabila menerima sumbangan duit ringgit daripada orang yang berkunjung ke mahlisnya nanti. Malah, ada yang sudah menjangkakan jumlah wang yang akan diperoleh, seolah-oleh kenduri itu ibarat perniagaan. 

Bagi segolongan orang terpaksa juga mereka melakukan adar memberi sumbangan, kerana hendak menjaga air muka. Apatah lagi jika dia seorang yang dihormati, adalah sangat aib pada pandangan orang ramai bila tidak melakukannya. Orang akan kata dia seorang yang kedekut. 

Kesimpulannya, Islam menganjurkan umatnya melakukan sedekah dalam perkara-perkara keperluan utama seperti air dan api, terutama dadalam perkara yang dikatakan sedekah jariah, iaitu sedekah yang berterusan seperti yang ditunjukkan oleh Saad bin Ubbad itu. 

Petikan: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: