Asmaul Husna yang ke-34 ialah Al-Azhiim yang bererti Tuhan Yang Maha Agung. Maksud agung di sini ialah Zat Tuhan Yang Maha Agung. Oleh kerana keagungan Allah SWT bukan dalam bentuk yang boleh dilihat dengan mata kasar maka Rasulullah SAW sendiri melarang manusia membincangkan tentang Zat Allah SWT.
Sebaliknya renunglah kepada kejadian ciptaan-Nya ialah alam yang terbentang luas, bumi yang terhampar, langit serta ruang angkasa yang dihias dengan berbilion bintang, keluasan ruang angkasa yang tidak mampu diterokai oleh saintis atau para intelektual. Maka, manusia akan merasai keagungan Allah SWT.
Jika manusia digelar ‘orang besar’ bukan bererti tubuhnya besar, tetapi kedudukannya dalam masyarakat dan negara sebagai orang yang berjawatan tinggi, mempunyai pengaruh dan kuasa sebagai pemimpin negara. Barangkali fizikalnya kecil sahaja. Kalau seorang memperkecilkan orang lain bukan bererti orang yang bertubuh kecil, tetapi yang diperkecilkan ialah keupayaan atau kemampuannya.
Manusia mempunyai kewajipan untuk mengagungkan Allah SWT yang bersifat Al-Azhiim, meletakkan segala urusan di dunia ini dengan merujuk serta mentaati peraturan dan hukum-hakam-Nya. Dalam sesuatu perkara yang telah ditetapkan hukum dan peraturan-Nya, maka manusia tidak boleh mendatangkan suatu peraturan atau undang-undang ciptaan mereka sendiri.
Oleh itu, mereka telah memperkecilkan Allah SWT. Ini bererti mereka telah syirik terhadap-Nya. Apabila manusia tahu bahawa hanya Allah SWT yang Maha Agung, maka selainnya adalah kerdil di sisi Allah SWT.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment