Asmaul-Husna yang ke-43 ialah Al-Karim yang bermaksud Tuhan Yang Maha Mulia. Kemuliaan Allah SWT dapat dilihat daripada pelbagai kurniaan-Nya kepada manusia, sedangkan mereka tidak memintanya.
Timbul suatu pertanyaan, jika Allah SWT memberi kurniaan rezeki tanpa diminta, sedangkan dalam solat bukankah kita disunatkan ketika duduk di antara dua sujud memohon rezeki (warzukni) daripada-Nya? Walaupun Allah SWT memberi kurnia tanpa diminta, tetapi Dia sangat suka jika manusia memohon tanpa henti setiap apa yang diperlukan. Kerana ia adalah simbol pergantungan manusia secara total terhadap Allah SWT, seperti yang dijanjikan dalam solat mereka: “Hanya Engkaulah (Tuhan) yang aku sembah, dan Engkaulah tempatku meminta pertolongan.”
Allah SWT sangat suka jika semakin banyak manusia meminta kepada-Nya, sedangkan manusia semakin membenci jika orang lain suka meminta-minta kepadanya.
Selain itu di antara bukti bahawa Allah Maha Mulia apabila Dia tidak cepat menghukum dan menurunkan azab kepada manusia yang menentang-Nya, sekalipun Dia berkuasa untuk berbuat demikian. Sesetengah orang yang memiliki kuasa, mereka akan menggunakan kuasa sepenuhnya untuk bertindak keras terhadap orang yang menentangnya.
Sebagai hamba Allah SWT yang bersifat Al-Karim hendaklah bersikap baik hati dan ringan tulang untuk membantu orang lain. Bantuan diberi bukanlah kerana dia meminta, tetapi kerana dia suka kepada kebaikan itu.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply