Oleh: mymuslimin.com
Ketika sedang solat sunat Aidil Adha di Masjid Al-Azim Melaka, seorang jemaah saf depan telah diserang sawan dan rebah secara tiba-tiba dengan kaki dan tangannya tersentak-sentak seperti terkena renjatan elektrik. Kejadian itu telah dirakamkan oleh Facebook Masjid Al-Azim sendiri, dan telah mengundang berbagai reaksi, pandangan, nasihat dan sebagainya dari orang awam. Ramai juga yang risau kerana tiada ilmu untuk membantu jika serangan ini terjadi kepada keluarga atau individu di sekeliling mereka.
Untuk menjawab persoalan orang awam, Dr Hafeez di dalam akaun Tiktoknya @3minutecma menjelaskan bahawa sawan, atau dalam bahasa Inggerisnya seizure berlaku disebabkan oleh aktiviti elektrik otak yang celaru. Otak manusia sarat dengan gumpalan saraf neuron, dan apabila banyak aktiviti elektrik di otak tiada koordinasi, pesakit tiba-tiba boleh jadi celaru, yang menyebabkan urat di muka tertarik dan muka menjadi senget.
Menurut Dr Hafeez, terdapat beberapa penyebab serangan sawan. Pertamanya, sawan ini boleh menyerang mereka yang menghidapi penyakit epilepsi. Epilepsi ialah sejenis penyakit di mana pesakit mengalami episod serangan sawan secara berterusan, kerap, berulang-ulang, tanpa rangsangan luar kepada individu tersebut, dan mengganggu kehidupan harian mereka. Keduanya, sawan boleh menyerang individu yang mempunyai kandungan gula rendah dalam darah yang menyebabkan nutrien tidak sampai ke dalam otak lantas mengakibatkan otak mengalami renjatan atau short circuit. Ketiganya, individu yang menghidap sakit jantung juga tidak terkecuali daripada risiko sawan. Ini boleh terjadi apabila rentak jantung pesakit tidak betul, menjejaskan peredaran darah daripada sampai ke otak. Apabila otak mengalami kurang oksigen dan nutrien, aktiviti elektrik di otak akan menjadi tidak terkawal. Selain penyebab sawan, Dr Hafeez juga menjelaskan beberapa manifestasi sawan yang biasa seperti anggota badan tertarik-tarik, tersentak-sentak, mata naik ke atas dan mulut berbuih.
Sawan atau epilepsi ialah satu penyakit yang agak biasa di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), terdapat sekitar 50 juta manusia di seluruh dunia menghidap epilepsi, menjadikan penyakit ini penyakit neurologi paling normal di seluruh dunia. Dan, dianggarkan sehingga 70% orang yang menghidap epilepsi boleh hidup tanpa serangan sawan jika didiagnosis dan dirawat dengan betul. Walaupun sawan atau epilepsi ini tidak asing kepada masyarakat kita, penghidap epilepsi dan keluarga mereka sering mengalami stigma dan diskriminasi akibat kurang kefahaman ramai terhadap penyakit ini.
Pesakit epilepsi perlu mendapatkan rawatan jika diserang sawan berulang-ulang sehingga menjejaskan kehidupan mereka. Secara amnya, terdapat tiga cara untuk mengawal epilepsi. Pertama ialah dengan mengambil ubat-ubatan, kedua dengan pembedahan dan ketiga melalui rawatan alternatif. Pihak hospital atau klinik akan mengesyorkan ubat-ubatan secara preskripsi, dan pesakit perlu mendapatkan nasihat dan rawatan susulan kerana ubat-ubat tersedia bagi epilepsi mempunyai kesan sampingan. Jadi, adalah amat penting untuk pesakit mendapatkan pandangan doktor sebelum mengambil sebarang jenis ubat-ubatan untuk mengawal epilepsi.
Selain ubat-ubatan dan pembedahan, penghidap epilepsi juga boleh mempertimbangkan rawatan alternatif, seperti yang disarankan oleh pelbagai pertubuhan-pertubuhan epilepsi dunia. Diet ketogenik dan stimulasi saraf vagus ialah antara rawatan yang boleh diamalkan pesakit. Pengamalan diet ketogenik secara konsisten akan dapat membantu pesakit mengawal sawan epilepsi yang rumit. Diet ketogenik ini ialah diet tinggi lemak dan rendah karbohidrat, khas diformulasi bagi membantu mengawal sawan pada sesetengah mereka yang menghidap epilepsi. Jenis makanan yang membekalkan lemak untuk diet ketogenik termasuklah mentega, krim putar, mayonis, minyak kanola atau zaitun. Walaupun tinggi lemak dan rendah karbohidrat, pesakit tidak perlu bimbang kerana diet ketogenik ini cukup protein untuk pesakit meneruskan kehidupan secara normal dan kekal sihat. Namun, kekangan untuk mengekalkan diet ini sering disebabkan oleh pesakit yang tidak menggemari makanan yang terdapat di dalam diet tersebut.
Rawatan alternatif kedua yang disarankan untuk pesakit epilepsi ialah rawatan terapi stimulasi saraf vagus atau dikenali sebagai Terapi VNS (Vagus Nerve Stimulation). Terapi ini diyakini mampu menghalang atau mengurangkan sawan dengan menghantar denyutan tenaga elektrik yang teratur dan ringan ke otak melalui saraf vagus. Terapi VNS ini mampu membantu mengurangkan tahap keseriusan dan frekuensi serangan epilepsi serta menawarkan peningkatan kualiti kehidupan kepada pesakit.
Namun begitu, pesakit perlu mendapatkan pandangan doktor dan pakar yang berkenaan terlebih dahulu sebelum mengamalkan atau mendapatkan mana-mana rawatan epilepsi.
Apabila berlakunya serangan sawan di tempat awam seperti yang berlaku di masjid tempohari, bagaimanakah orang awam dapat membantu tanpa memberi risiko negatif kepada pesakit yang diserang?
Dr Hafeez menyarankan agar dipusingkan pesakit ke dalam posisi mengiring untuk memastikan muntahan dari perut akan mengalir keluar. Jika dibiarkan telentang, dikhuatiri minuman dan makanan yang ada di dalam mulut pesakit akan masuk ke dalam salur pernafasan dan menjadikan keadaan semakin rumit. Di samping itu, orang awam juga dinasihatkan agar tidak meletakkan objek-objek keras seperti kayu, sudu atau besi ke dalam mulut pesakit kerana ramai yang beranggapan bahawa pesakit akan menggigit lidah mereka sendiri ketika diserang sawan. Ini tidak benar kerana apabila terkena sawan, secara automatiknya lidah pesakit akan tertarik ke dalam mulut.
Seperti yang disaksikan di dalam video insiden di Masjid Al-Azim Melaka tempohari, selepas pesakit tersedar daripada sawan, pihak masjid telah berusaha membantu dan membawa pesakit ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), walaupun kesan sosial berbeza dari negara ke negara, stigma dan diskriminasi yang menyelubungi epilepsi di seluruh dunia selalunya lebih sukar untuk diatasi daripada sawan itu sendiri. Mereka yang menghidap epilepsi boleh menjadi sasaran prejudis, dan stigma penyakit ini boleh menghalang orang ramai daripada mendapatkan rawatan, untuk mengelak daripada dikenal pasti dengan penyakit ini.
Sebagai ahli masyarakat, fahami dan bantulah mereka yang sedang bergelut dengan masalah sawan atau epilepsi. Berikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Yakinlah bahawa setiap penyakit itu adalah ujian Allah kepada hambaNya. Sabda Nabi Muhammad S.A.W menyebut:
عن ابي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.
Riwayat al-Bukhari (5678)