CATATAN PENCINTA KOPI – Mengingati Pencipta Ketika Menghirup Americano

Oleh: Lotfi Ismail

Pagi tadi selepas solat subuh, aku duduk sebentar di atas sejadah. Mulut terkumat-kamit mengucap zikrullah. Sebentar kemudian, perut berbunyi memanggil-manggil untuk diisi. Sejak beberapa minggu mengamalkan ‘intermittent fasting’ atau puasa berselang, bunyi-bunyi perutku di pagi hari memang tidak lagi dilayan dengan roti canai, nasi lemak serta lontong bagai. Botol air Contigo dicapai, srot, srot… air disedut sambil cuba menyakinkan otak sendiri yang “kau tak lapar.. kau cuma haus”. 

Teringat kek terakhir yang dimakan pada jam 6:15 petang semalam. Dan kepala berfikir, ada 4 jam lagi sebelum tingkap makan terbuka. Terfikir pula kenapa pagi lagi sudah terasa begitu lapar. Tempoh percubaan puasa berselang ini sudah lama berlalu, dan tubuh aku pun dah mula lali dengan rasa lapar yang melampau. Lantas, aku teringat bahawa malam semalam aku gigih melakukan ‘strength training’ sampai sejam. “Hmm.. patutlah rasa lapar pagi ini,” kepalaku memberi jawapannya.

Setelah selesai sesi zikir, aku bangun, melipat sejadah dan turun ke aras bawah. Kaki melangkah masuk ke dapur dan tangan terus mencapai French Press yang setia. Masih ada serdak kopi bancuhan semalam di dalamnya…ish terlupa basuh pula semalam. Biji-biji kopi daripada Kepulauan Indonesia ditimbang, seperti biasa, cukup-cukup untuk dua cawan.

Terus kemudian biji-biji kopi itu dikisar. Aroma kopi segar menerobos masuk ke lubang hidung, lantas mengejutkan semua deria yang mungkin masih separa lena. “I live for mornings.”

Ada apa dengan hirupan kopi pertama di setiap pagi? Bagi aku, ia menetapkan rutin hariku. 

Apa yang pada mulanya membantu diri untuk terus segar sementelah tidur yang sentiasa tidak cukup, kini telah menjadi satu rutin dan ritual. Proses menyediakan kopi itu sendiri telah menjadi satu ritual tersendiri yang aku gemari. Pagi selepas subuh aku fokus berzikir kepada Allah SWT, kini sambil membuat kopi juga bibir ini sambung berselawat ke atas Junjungan Besar Rasulullah SAW yang aku sayangi, Selawat Tafrijiyah kesukaanku. 

 اَللهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامَّاعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ وَحُسْنُ الْخَوَاتِمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِى كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

MaksudnyaYa Allah limpahkanlah selawat (rahmat) yang sempurna dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, yang menjadi sebab terungkai segala kebuntuan dan terbuka segala kesusahan serta ditunaikan segala hajat dan dipenuhi segala keperluan serta dikurniakan husnu khatimah dan dikurniakan limpahan rahmat dengan keberkatan sosok tubuh (kemuliaan) Baginda SAW dan seluruh ahli keluarga Baginda dan sahabatnya dalam setiap kerdipan mata dan nafas setiap makhluk Engkau miliki. 

Kopi yang aku gemari ialah yang hitam gelap tanpa gula, tanpa susu. Sering dikenali sebagai Americano, ada juga yang menggunakan istilah Long Black. Entahlah, aku bukanlah seorang coffee snob, janji kopinya segar.

Kopi menjadi peneman pagi. Peneman mesyuarat maya, peneman angan-anganku, pengisi perut yang masih cuba berpuasa selang, detik kopi itu dihirup, pengalaman indah itu membuatkan aku mengingati Allah SWT, betapa diberikan-Nya sehari lagi untuk bernafas, untuk merasai segala nikmat yang Dia kurniakan kepadaku. Betapa nikmat yang kita pandang mudah seperti rasa kopi itu sendiri jika tidak diberikan deria merasa yang ampuh, sesungguhnya akan hanya lalu dilidah umpama air yang tawar sahaja. 

Gives you something to think about eh.. 

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ – “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” – Surah Ar-Rahman

NOTA: Kolum Catatan Pencinta Kopi dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berkarya di mymuslimin.com. Hantarkan kisah atau catatan anda ke email kami di mymuslimin2022@gmail.com dan kami akan menyiarkannya di kolum ini sekiranya terpilih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: