Saya nak bagi sedikit teguran buat tetamu-tetamu Allah swt yang Allah swt sendiri jemput ke Baitullah dan Madinatunnabi.
Satu sahaja perkara yang buat hati saya rasa ralat dan terkilan adalah tabiat buruk DuyufurRahman (tetamu Allah swt) di bumi Makkah dan Madinah.
Alhamdulillah saya dan isteri telah selamat menjejakkan kaki kembali di Bumi Malaysia, semoga Allah swt menjemput kami lagi ke Haramain di masa hadapan.
Tuan-tuan yang dihormati,
Tuan-tuan yang Allah swt jemput ke Baitullah al-Haram ini bukanlah orang biasa-biasa.
Tuan-tuan adalah tetamu Allah swt yang hadir menghadap Allah swt di rumah Allah swt yang paling barakah dan paling besar ganjarannya untuk setiap amal ibadah yang dilakukan di situ.
Allah swt jemput dan beri peluang untuk tuan-tuan datang menyahut panggilan Allah swt semata-mata kerana Allah swt nak melihat usaha tuan-tuan mendekatkan diri kepada-Nya.
Adalah tidak wajar sekiranya tuan-tuan sekalian datang ke rumah Allah swt dan berada betul-betul di hadapan Baitullah dan juga berada betul-betul di hadapan Nabi SAW ketika di bumi Madinah tapi masih lagi dengan tabiat lama dan dibawa dari kampung asal tuan-tuan, iaitu tabiat merokok.
Tuan-tuan yang dihormati,
Cuba ingat kembali, kenapa Allah swt menjemput tuan-tuan ke rumah-Nya dan ke bumi Madinah utk menziarahi kekasih-Nya Nabi yang kita semua sayangi, Nabi Muhammad SAW?
Tidak lain dan tidak bukan untuk kita insaf dan bertaubat dan meninggalkan segala keburukan yang kita ada dengan harapan apabila kembalinya kita ke tanah air, kita sudah bertaubat dan berubah ke arah kebaikan.
Tetapi, saya agak sedikit terkilan dengan sebahagian kecil jemaah kita yang masih tidak dapat melakukan perubahan kecil dalam kehidupan dengan meninggalkan seketika tabiat haram merokok itu.
Walaupun tidak dapat berhenti sepenuhnya, sekurang-kurangnya di bumi yang penuh barakah itu, tuan-tuan sepatutnya ada rasa hormat dan insaf.
Kerana tuan-tuan berada betul-betul di Baitullah al-Haram. Di mana bumi yang dijaga oleh Allah swt sendiri dan diselamatkan oleh Allah swt sendiri daripada serangan tentera bergajah Abrahah satu ketika dahulu.
Atau sekurang-kurangnya tuan-tuan ada rasa malu kepada Nabi Muhammad SAW yang kita imani dan sayangi ketika mana tuan-tuan berada di Madinah di mana jasad Nabi berada di hadapan tuan-tuan.
Tapi, tuan-tuan tanpa segan silu merokok di bilik-bilik hotel yang begitu hampir dengan Masjid Nabi, merokok di lobi-lobi hotel yang begitu dekat dengan makam Nabi.
Di mana rasa malu tuan-tuan? Di mana rasa hormat tuan-tuan kepada Nabi dan tidakkah tuan-tuan sedar tuan-tuan sedang berada di rumah Allah swt yang paling barakah?
Tidak perlu saya ceritakan keburukan merokok kepada diri tuan-tuan sendiri kerana ianya sudah maklum. Sekiranya tuan-tuan sakit kerana merokok itu adalah tanggungjawab tuan-tuan sendiri.
Tetapi tuan-tuan yang merokok ini jugalah yang mengganggu jemaah-jemaah lain yang lalu lalang di lobi-lobi hotel, yang berada di bilik-bilik hotel sekitar Masjid Nabi dan Baitullah dengan bau asap yang busuk , memedihkan dan habuk-habuk rokok yang kotor dibuang merata-rata di tanah haram.
Puntung-puntung rokok tuan-tuan dibuang merata-rata di tanah haram, di bumi yang penuh barakah tanpa segan silu.
Sekiranya tidak malu kepada para jemaah yang lain, malulah kepada Allah swt dan Nabi Muhammad SAW.
Sepatutnya hadir sebagi tetamu Allah swt kita ada rasa hormat dan malu kepada Allah swt.
Sudikah Allah swt terima amalan kita yang bercampur dengan perbuatan haram hari demi hari.
Sekadar luahan perasaan sahaja dan tidak saya tujukan kepada sesiapa.
Dr. Zul Izzi Nordin (DDSUSM)
Kota Bharu, 4 Okt 2022
Leave a Reply