Oleh: mymuslimin.com
Bebanan hutang, tanggungjawab kewangan, dan bil untuk dibayar setiap bulan, terutama bagi mereka yang menetap di kota, boleh menyebabkan kemurungan dan kebimbangan yang berterusan. Dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ditambah dengan ramalan kewangan tahun hadapan yang tidak memberangsangkan, kita perlu mula mengubah cara hidup dan mengubah sikap tentang cara kita berbelanja dan mengurus kewangan.
Dr A’id al-Qarni dalam bukunya “Don’t Be Sad” mengenengahkan 3 prinsip mudah tentang isu ini yang kita boleh fahami dan amalkan.
1. Berbelanja Dengan Cermat
Mereka yang cermat tidak akan bergantung pada orang lain. Siapa yang berbelanja dengan cermat, berbelanja yang mana perlu dan tidak membazir, akan mendapat bantuan daripada Allah SWT.
Masalah manusia di zaman ini ialah masing-masing mempunyai kemahuan yang kuat untuk memiliki, walaupun tidak memerlukan. Terlalu banyak produk menarik yang menggamit keinginan untuk kita membelinya.
Dan, masalah ini bertambah parah apabila kita mengikut nafsu, lantas berbelanja duit yang kita tidak ada. Apabila kita berbelanja dengan kredit, ditambah dengan kadar faedah bank yang mencengkam, ramai yang terbelenggu dengan hutang yang tidak menyusut malahan bertambah hari demi-demi hari.
Untuk memperbaiki kedudukan kewangan dan cara kita berbelanja, pertama sekali kita perlu mengubah sikap dan tidak mudah tunduk kepada kemahuan nafsu.
Adakah anda benar-benar perlu membeli iPhone 14 itu atau ianya kerana kemahuan yang kuat untuk sentiasa memiliki yang terkini? Adakah kita perlu membeli kereta yang kita idamkan itu, atau kita boleh memilih sesuatu yang lebih murah supaya tidak terbeban dengan ansuran bulanan? Adakah kita perlu menurutkan kemahuan isteri supaya dia bertambah sayang sedangkan kita sebenarnya tidak berkemampuan?
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Al-Israa’ 17:27)
Sebelum kita membeli sesuatu, fikirkan dulu apakah kita sedang menurut nafsu dan mengikut cadangan Syaitan, atau kita benar-benar memerlukan, dan kita mampu membelinya.
Berjimat-cermat tidak bermaksud kita menjadi seorang yang kedekut sehinggakan tidak dapat menikmati kurniaan Allah SWT semasa kita berada di dunia ini. Kita sebenarnya disarankan mencari jalan tengah, iaitu berbelanja dengan berhemah dan menggunakan duit kita dengan mencari nilai terbaik untuknya. Allah SWT tidak menyukai mereka yang kedekut dan bakhil.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”
(Al-Furqaan 25:67)
2. Carilah Rezeki Yang Halal
Carilah rezeki dengan cara yang halal, kerana Allah SWT ialah Al-Tayyib (mulia, suci dan baik) dan tidak menerima selain daripadanya. Allah tidak akan merahmati pendapatan yang diperoleh melalui cara yang haram.
Di zaman ini, terlalu banyak cara untuk memperoleh rezeki yang banyak dengan cara yang tidak sah dan haram. Aktiviti cuci duit, forex, judi, penipuan (scam) dan sebagainya berleluasa dan dipersembahkan dengan iklan-iklan seolah-olah aktiviti ini semua mudah, sah dan tidak memudharatkan.
Jadi, kita perlu bijak kerana keputusan untuk tidak terlibat itu terletak di tangan masing-masing. Buatlah kajian terlebih dahulu untuk memastikan pendapatan yang kita dapat itu ialah halal. “Saya tidak tahu,” kejahilan kita, tidak boleh dijadikan alasan untuk kita melibatkan diri di dalam aktiviti sebegini. Tanggungjawab untuk mencari maklumat itu terletak di bahu kita sendiri.
Jelas, pendapatan tersebut mungkin akan meleraikan kita daripada belenggu kewangan yang kita hadapi, tetapi ingatlah tentang neraka yang akan membelenggu kita selama-lamanya hanya kerana pendapatan yang sedikit itu.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.”
(Al-Maaidah 5:100)
3. Tekun dan Rajin Berusaha
Kedengaran klise, tetapi itulah hakikatnya. Tiada jalan mudah untuk memperoleh kesenangan dan kemewahan selain daripada bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Seorang yang malas dan tidak aktif dalam hidupnya tidak akan dapat dibantu oleh sesiapa. Walaupun di zaman ini ramai yang percaya ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan, percayalah semuanya itu rapuh dan tidak akan bertahan.
Apabila Ibn ‘Awf RA berhijrah ke Madinah, dia datang sehelai sepinggang. Seorang pembantu di Madinah menawarkan separuh daripada hartanya kerana Rasulullah SAW telah menjalinkan ikatan persaudaraan di antara dia dan Ibn ‘Awf. Ibn ‘Awf menolak tawaran yang lumayan itu dan menjawab, “Tunjukkanlah aku jalan ke pasar.”
Rezeki setiap dari kita telah ditentukan oleh Allah SWT. Yang kita perlu lakukan ialah berusaha untuk memperolehinya dengan cara yang baik dan halal. Allah SWT menyukai mereka yang rajin berusaha dengan tangannya sendiri.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
(Al-Jumu’ah 62:10)
Sebenarnya, kehidupan itu tidak akan rumit jika kita berpijak di bumi yang nyata dan mengukur baju di badan kita sendiri. Apabila kita tunduk kepada nafsu dan tuntutan syaitan, kerumitan akan timbul juga lambat launnya akibat ketidakseimbangan yang kita wujudkan.
Hidup kita akan menjadi lebih baik dan teratur apabila kita mengubah sikap kita berdasarkan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Tepuk dada, tanya selera.
Leave a Reply