Keengganan para malaikat untuk hadir akan membawa akibat terputusnya jalinan antara mereka dengan manusia. Ini adalah kerugian kerana terhentinya doa, selawat dan syafaat mereka. Orang yang telah mengaku beriman dan Islam sudah sepatutnya berada dalam keadaan takwa, bersih, suci (zahir dan batin), sehingga tidak ada alasan bagi para malaikat untuk tidak hadir di tengah setiap aktivitinya.
Keadaan jiwa, hati, akal, indera, fizikal, pakaian dan tempat yang bersih-suci zahir mahupun batin, akan melahirkan persahabatan dengan para malaikat yang tidak pernah letih beribadah kepada-Nya.
Oleh itu, sebagai orang beriman, sudah sepatutnya kita mengetahui dan mengenal apa, di mana, bila, kenapa dan bagaimana perbuatan, situasi dan keadaan yang menyebabkan para malaikat enggan hadir di tengah-tengah kita.
Antara 4 sebab malaikat tidak hadir di kalangan manusia
1. Orang yang mabuk, melumuri badan dengan kunyit, dan junub.
Diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan isnad sahih dari Abu Buraidah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ada tiga golongan (manusia) yang tidak didekati para malaikat, orang yang mabuk, melumuri badannya dengan kunyit, dan yang junub.”
( HR al-Bazzar)
2. Mulut, badan dan tempat yang berbau atau busuk.
Para malaikat umumnya merasa terganggu dengan apa yang mengganggu anak Adam, seperti bau busuk dan kotoran yang melekat pada badan, pakaian, tempat dan lainnya. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa memakan bawang putih, bawang merah dan daun bawang kucai jangan sekali-kali mendekati masjid kami. Ini kerana para malaikat akan terganggu dengan apa yang mengganggu anak Adam (manusia).”
(HR Bukhari dan Muslim)
3. Meludah ke sebelah kanan dalam solat
Rasulullah SAW melarang keras meludah ke sebelah kanan ketika solat. Ini kerana di sebelah kanan orang yang sedang solat, berdiri pula seorang malaikat. Sebagaimana sabda Nabi:
“Ketika salah seorang di kalangan kamu semua berdiri untuk solat hendaklah jangan meludah ke depannya, kerana sesungguhnya dia sedang berkomunikasi dengan Allah selama dia masih dalam solatnya; dan jangan meludah ke sebelah kanannya, kerana di sebelah kanannya, malaikat berdiri. Hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya atau di bawah kakinya maka akan memendamnya.”
(HR. Bukhari dari Abu Hurairah RA)
4. Rumah yang di dalamnya terdapat anjing
Sabda Rasulullah SAW:
“Malaikat tidak akan masuk ke sebuah rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar (patung berbentuk anjing).”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Dari Siti Aisyah RA: Nabi berkata: “Jibril AS telah berjanji akan datang pada suatu waktu kepada Rasulullah SAW. Ketika telah tiba saatnya, Jibril belum juga datang. Di tangan Nabi ada sebuah tongkat, maka Nabi buang tongkat itu sambil berkata, “Tuhan dan Utusan-Nya (Jibril) tidak memungkiri janji.”
Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya dan melihat ada seekor anjing di bawah tempat tidurnya. Lalu Nabi bertanya, “Bila masuknya anjing ini?” Saya (Siti Aisyah) menjawab, “Demi Allah, saya tidak tahu.” Lalu saya disuruh Nabi supaya mengusir anjing tersebut. Setelah anjing itu keluar, datanglah Jibril AS.
Jibril menjawab,
“Anjing yang ada di dalam rumahmu yang menghalang kerana kami (para malaikat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada anjing di dalamnya dan juga gambar (bentuknya).”
(HR. Muslim)
Hadis di atas menjelaskan bahawa Malaikat Jibril AS khususnya dan para malaikat pada umumnya sentiasa melakukan tugas dan fungsinya pada semua manusia yang beriman untuk menyampaikan rahmat Allah yang bersifat zahir mahupun batin. Rahmat dari Allah berupa keampunan-Nya dan rahmat dari para malaikat berupa memohon keampunan kepada Allah bagi orang yang beriman dan beramal soleh.
Namun, para malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing mahupun dalam bentuk gambar anjing.
Sedangkan dalam pandangan batin, para malaikat itu tidak akan memasuki rumah seseorang yang memiliki sifat dan ciri-ciri seperti anjing seperti rakus, mahu, dan mudah dirasuah, suka mengampu dan sombong dengan salakannya.
Sumber: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT, Rachmat Ramadhana al-Banjari
Leave a Reply