Sekali Dayung, Dua Pulau Berlalu

“Hubungan kelamin suami isteri itu mendapat pahala dan juga pahala sedekah.”

Daripada Abu Zar al-Ghifari, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, menyeru yang makruf itu sedekah dan menghalang yang mungkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin (bersama isteri) itu sedekah.” Lalu kami pun bertanya kepada Rasulullah, ‘Adakah kami mendatangi isteri-isteri kami baginya ada pahala?’ Rasulullah bersabda, “Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada orang yang haram itu berdosa, sebaliknya apabila kepada yang halal itu pastilah berpahala.”

(HR Muslim)

Hadis tersebut hampir sama dengan maksud hadis yang telah menjelaskan bahawa sedekah itu tidak semestinya dengan wang ringgit. Inilah kurnia Allah SWT kepada hamba-Nya, terutama kepada hamba-Nya yang miskin dan tidak mempunyai keupayaan untuk bersedekah dengan harta benda. 

Namun Allah memberi alternatif untuk mendapatkan pahala bersedekah tanpa mengeluarkan harta, hanya dengan bertakbir, bertahmid, bertahlil, dan juga membuat kerja-kerja kebajikan seperti membuang sampah duri atau sebarang halangan di jalanan sama ada dengan bersendiri atau cara bergotong-royong, maka kesemuanya adalah sedekah. Yang berbeza dengan hadis yang lalu ialah mengenai hubungan kelamin suami isteri juga sebagai sedekah. 

Para sahabat RA apabila mendengar sabda Rasulullah itu agak terkejut, kerana mereka tidak terfikir sebelum itu dan agak pelik juga. Lantaran itu mereka segera menyusulkan pertanyaan kepada Rasulullah SAW dengan kehairanan, “Adakah melakukan hubungan kelamin antara suami isteri pun diberi pahala?”

Rasulullah SAW menjelaskan dengan mudah, jika seseorang melakukan zina maka mereka berdosa dimasukkan ke neraka kerana persetubuhan haram. Tentulah tidak adil jika tidak diberi pahala bagi seseorang yang berusaha melakukan pernikahan yang halal bagi menghindarkan daripada melakukan zina. Jika orang yang berzina itu menerima padah masuk neraka, maka logiknya orang yang melakukan persetubuhan halal itu diberi pahala dan seterusnya memasuki syurga Allah. 

Pernikahan itu mesti menempuh berbagai-bagai usaha yang tidak mudah, melibatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Didahului dengan merisik, meminang, mengadakan mas kahwin dan setelah sempurna proses tersebut serta dicapai kata sepakat, barulah wali berkenaan menikahkan anaknya dan menyerahkannya kepada lelaki yang secara rasmi bergelar suami kepada wanita itu.

Sudah nyata bahawa hubungan kelamin suami isteri itu mendapat pahala dan juga pahala sedekah, penjelasan Rasulullah menggembirakan para sahabat kerana perbuatan itu merupakan keperluan biasa hidup manusia, jika tidak berpahala pun dilakukan juga, apatah lagi jika berpahala maka ia ibarat serampang dua mata, sekali melontar dua sasaran mengena, atau menurut kata bidalan, sekali dayung dua pulau berlalu. 

Bagaimanapun hubungan kelamin suami isteri itu juga seperti makan dan minum, hukum asalnya adalah harus. Maka setiap yang harus itu menjadikan ia sebagai suatu ibadah yang berpahala hendaklah disertai dengan niat, kerana setiap amal mestilah disertai dengan niat. 

Petikan dari: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: