Rahsia Tangisan Seorang Hartawan

Suatu hari, Muawiyah berkunjung ke rumah bapa saudaranya yang bernama Abu Hashim, dilihatnya bapa saudaranya sedang menangis teresak-esak. Muawiyah merasa hairan, gerangan apakah yang menyebabkan Abu Hashim iaitu bapa saudaranya itu berkeadaan demikian. 

“Wahai bapa saudaraku! Apakah yang menyebabkan anda berkeadaan demikian? Adakah anda sakit atau ada masalah dunia yang terlalu menyulitkan anda? tanya Muawiyah ingin tahu.

“Tidak wahai anakku” jawab Abu Hashim dalam sedu-sedan. 

“Aku tidak sakit dan tidak juga disebabkan kesulitan dunia, sebaliknya aku menangis kerana Rasulullah SAW telah menyampaikan kepadaku satu ajaran yang belum dapat aku lakukan. Aku bimbang kalau aku mati sebelum ia dapat ku amalkan ajaran itu.”

“Apakah ajaran baginda itu wahai bapa saudaraku?” tanya Muawiyah lagi. 

“Aku masih ingat Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, Jika kamu hendak menghimpun harta memadalah dengan kami mempunyai seorang khadam, dan juga sebuah kenderaan untuk tujuan fisabililllah.”

Tetapi aku renung dan kaji keadaan diriku sekarang ini, ternyata aku tidak mengamal ajaran baginda. Aku tergolong orang yang menghimpunkan harta, kerana aku telah menghimpun harta lebih daripada seorang khadam dan sebuah kenderaan. Itulah yang menjadikan aku sangat sedih. 

Meneliti ajaran yang terkandung dalam sabda Rasulullah SAW itu, maka bagaimana caranya supaya kita boleh memiliki banyak harta tetapi tidak bercanggah dengan wasiat Rasulullah SAW? 

Justeru harta wajar dicari sebanyak mungkin, tetapi harta yang banyak itu tidak mengongkong pemiliknya sehingga dia hanya menjadi seorang penghimpun harta, dan tidak menjadikan harta itu sebagai alat mencapai keredaan Allah SWT. 

Harta yang banyak akan membolehkan pemiliknya melakukan ibadah zkat, suatu ibadah yang sama tarafnya dengan ibadah solat. Begitu banyak ayat-ayat al-Qur’an yang sentiasa menggandingkan ibadah solat dan zakat aqimus solat wa-atuz-zakah iaitu dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. 

Apabila seseorang menunaikan zakat bermakna harta yang dimilikinya itu dalam keadaan yang diredai Allah, malah bukan sekadar mengeluarkan zakat wajib, lebih-lebih lagi membantu orang yang memerlukan, sama ada dengan memberi hutang atau memberi sedekah secara ikhlas, ia bergantung kepada keadaan. Kerana ada ketikanya memberi hutang itu lebih besar pahalanya berbanding memberi sedekah. 

Untuk membuktikan bahawa harta itu tidak mengongkong hati seseorang ialah dengan bersifat pemurah, tidak merasa sayang apabila menghulur bantuan kepada orang yang memerlukan, ataupun mendermakan harta itu kepada jalan Allah, sama ada untuk wakaf jariah bagi membina masjid atau madrasah tempat menyebarkan ilmu agama, dan lebih-lebih lagi untuk membantu perjuangan menegakkan agama Islam yang mulia. 

Jangan sekali-kali seseorang itu dihinggapi penyakit bakhil, justeru tiada alasan mengapa seseorang itu harus lokek dengan harta yang dikurniakan oleh Allah kerana pada hakikatnya harta kekayaan itu diperoleh bukan semata-mata kerana orang itu berusaha gigih, tetapi kerana kurnia Allah telah menganugerahkan kekayaan itu terhadap orang itu. 

Seorang dermawan berasa senang hati ketika menghulurkan derma atau bantuan kerana dia yakin bahawa tangan-tangan yang menerima itu seolah-olah tangan Tuhan yang akan menyambut dengan sebaik-baiknya. Harta itu akan tersimpan dalam akaun ‘bank pahala’ di akhirat dengan jumlah yang berlipat ganda. Seseorang yang dermawan walau sebanyak mana harta didermakan, justeru todak menyusuntukan hartanya, bahkan akan bertambah banyak. 

Sekalipun harta di tangan mereka telah habis semuanya, namun dia kaya dengan pahala. Sesungguhnya hartawan yang sebenar hanyalah mereka yang mempunyai simpanan pahala yang banyak di sisi Allah di akhirat kelak. 

Begitu banyak pengajaran daripada hadis Rasulullah SAW tentang bagaimana mengendalikan harta kekayaan agar ia tidak menjadi beban di akhirat. 

Dalam Al-Qur’an Allah berfirman yang maksudnya:

Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar.

(Al-Hadid 57:11)

Petikan dari: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: