6 Tanda Anda Sedang Berada di Dalam Perhubungan Toksik

oleh Ida Natasha

Kadang-kadang kita pelik apabila melihat perkahwinan yang tidak bahagia tetapi kedua pasangan masih kekal bersama walaupun bertengkarnya dua puluh empat jam, berselisih fahamnya sudah bertahun, bermasam muka tiada keserasian sentiasa. 

Persoalannya mengapa masih kekal di dalam perhubungan yang sudah tidak ada rasa dan sentiasa menjeruk jiwa? Ini kerana, mereka sedang berada dalam perhubungan toksik tetapi keduanya tidak mencari jalan keluar dan membiarkan diri terseksa. 

Fahami 6 tanda yang anda sedang dilanda perhubungan toksik seperti yang ditulis oleh Dr Amir Levine dan Rachel S. F. Heller, di dalam buku mereka Attached: The New Science of Adult Attachment and How it can Help You Find – and Keep – Love

1. Sindrom Tidak Boleh Larikan Diri 

Atau yang lebih serius lagi dikenali sebagai Sindrom Stockholm bagi mereka yang mengalami penderaan fizikal atau mental. Untuk sindrom ini, setiap anggota tubuhmu jelas bahawa perhubungan anda tidak mungkin mencipta bahagia, tetapi hatimu tidak boleh melepaskannya. Entah mengapa diri tidak mahu meninggalkan perhubungan itu walaupun tiada siapa menghalang anda untuk pergi, walaupun pintu depan luas terbuka untuk anda melepaskan diri. Perasaan keliru tentang cinta, simpati, keperluan untuk melindungi pasangan tersebut membuatkan anda masih kekal di dalam perhubungan yang sudah mati, dan natijahnya anda sendiri akan merana secara psikologi. Mereka yang dilanda sindrom ini selalunya tidak akan berjaya untuk melepaskan diri melainkan ada faktor luar atau orang luar yang membantu, atau pasangan itu sendiri yang meninggalkannya. 

2. Kesan ‘Roller-Coaster’ 

Tiada sekelumit sakinah pun di dalam perhubungan begini. Setiap ketika dilanda petir, halilintar, guruh silih berganti. Selalunya perhubungan begini ialah pertembungan di antara dua karakter yang berbeza. Seorang pasangan ialah jenis yang suka menjauhkan diri (A), dan seorang lagi sentiasa cemas dan kurang berkeyakinan apabila A menjauhkan diri dari B. Apabila A membenarkan B intim dengannya, mereka akan menikmati keindahan perhubungan untuk seketika. Malangnya, keintiman ini akan menyebabkan A berasa tidak selesa, rimas dan lemas, dan akibatnya, dia kembali menjauhkan diri, dan B akan kembali berasa tidak selamat dan mula membuat perangai. Ketidakhadiran A menyebabkan B jadi gila, dan kitaran ini akan berterusan kerana tiada apa yang boleh menggembirakan keduanya.   

3. Jongkang-Jongkit Emosi  

Mereka yang suka menjauhkan diri (A) gemar merasakan bahawa mereka lebih berkeyakinan dan boleh berdikari berbanding pasangan mereka (B) yang tidak boleh bersendirian. Inilah sebabnya mereka ini tidak akan mencari pasangan yang berperangai seperti mereka, kerana apabila berperangai sama, keduanya akan selesa berdikari dan tidak memerlukan siapa-siapa. Jadi, mereka tidak akan berasa kuat dan berkuasa. Oleh kerana A inginkan perasaan berkuasa itu, tetapi tidak mahu menguruskan kehadiran B dalam hidupnya, maka perhubungan toksik pun berlaku.  

4. Hubungan Stabil yang Tiada Kestabilan

Anda juga jenis perhubungan yang berjaya menempuhi segala gelora rumahtangga yang timbul, namun rasa ketidakpastian masih sentiasa menghantui perhubungan mereka kerana kedua-dua pasangan tidak mencapai tahap keintiman yang diingini. Lantas, keduanya mempunyai rasa tidak puas hati yang kronik, yang disembunyikan di dalam perhubungan. Lama kelamaan, perasaan ini akan timbul jua dan berupaya merosakkan perhubungan. Berkomunikasilah tentang kehendak dan jangkaan anda di dalam perhubungan tersebut, semoga menemui titik persamaan yang membahagiakan.

5. Pertengkaran Sia-Sia

Perhubungan jenis ini bertengkar atas perkara sia-sia, pediakibatkan rkara kecil yang tidak perlu dipertikaikan. Pertengkaran perkara remeh ini berlaku disebabkan oleh kurangnya keintiman di antara mereka. Bukannya berusaha untuk menangani masalah yang mereka ada, sebaliknya mereka memilih untuk bergaduh tentang perkara yang tidak berguna. Jika ini terjadi di dalam perhubungan anda, carilah apa puncanya. Fikirkan cara untuk menyemai keintiman daripada membuang masa dan tenaga bertengkar tentang perkara yang tidak mendatangkan manfaat. 

6. Pasanganmu Musuh Ketat Nombor 1

Seseorang yang sentiasa cemas dan tidak yakin dengan kekuatan perhubungan akan sentiasa merasakan dirinya dilayan semakin teruk apabila dia mendekati pasangannya yang tidak suka keintiman. Setiap kali mendekati, dirinya akan terasa dihina dan tidak diendahkan. Apabila sentiasa dilayan sebagai musuh, lama-kelamaan perasaan cinta menjadi akan bertukar benci dan pasangan tadi dilihat sebagai musuh yang sering membuat dirinya merana. 

Jika anda seorang yang sentiasa cemas dan tidak yakin dengan kekuatan perhubungan anda, binalah keyakinan diri dengan mencari pertolongan dan membaca panduan-panduan yang ada. Ketidakyakinan anda akan melemaskan pasangan, tetapi dalam masa yang sama, pasangan anda juga tidak suka berpasangan dengan seorang yang yakin. 

Jalan terbaik untuk anda ialah untuk mencari pasangan yang menerima anda seadanya, menyayangi anda dalam setiap suasana dan melayani anda dengan baik. 

Apabila anda memilih untuk kekal dengan pasangan yang tidak suka keintiman, ia akan membuatkan anda semakin tidak yakin dan seterusnya akan memberi impak negatif kepada psikologi dan mental anda.  

Sekiranya anda seorang yang tidak suka dengan keintiman, dan suka menjauhkan diri dari pasangan anda, belajarlah untuk bersandar kepada seseorang, terutamanya kepada orang yang anda cinta untuk tidak mahu kehilangannya. Janganlah terlalu berdikari kerana perhubungan perkahwinan itu memerlukan kerjasama dua orang untuk kekal sihat dan bertahan lama.  

Pertembungan dua karakter yang berbeza dan saling mendera perasaan masing-masing ini menjadikan perhubungan menjadi toksik dan sukar untuk bahagia. Kecuali salah seorang atau keduanya bertekad untuk berubah ke arah yang lebih baik, berpisah selalunya adalah jalan keluar yang lebih membahagiakan. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: