Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, laksanakanlah setiap suruhan-Nya dan jauhilah setiap larangan-Nya. Mudah-mudahan kita kembali kepada Allah SWT kelak dalam keadaan diredai dan dikasihi-Nya. Semoga kita mendapat ganjaran syurga yang kekal selamanya.
Di hari yang berbahagia ini, marilah kita menghayati khutbah Jumaat yang bertajuk, “Perpaduan Ummah Tunjang Kemakmuran Negara”.
Sebelum itu, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita dapat beristiqamah mengimarahkan masjid dan surau, menunaikan solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program-program pengimarahan yang dijalankan di samping memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak tidak mengabaikan kewajipan solat dan sentiasa membaca al-Quran. Sebagai tanda kasih sayang sesama insan, marilah kita menggerakkan amar makruf dan nahi mungkar, menyuburkan persaudaraan di samping memperbanyakkan taubat dan munajat kepada Allah SWT.
Bersama-samalah kita mendoakan agar negara kita sentiasa dipelihara Allah SWT dan dikurniakan kestabilan serta kemakmuran yang berpanjangan.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Negara kita telah selesai melalui proses Pilihanraya Umum ke-15. Pebagai tawaran dalam menifesto telah dikemukakan oleh calon yang bertanding. Seluruh warganegara yang layak mengundi juga telah selesai menjalankan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat yang akan memimpin negara untuk lima tahun mendatang. Keputusan pilihanraya kita telah perolehi.
Sebagai rakyat, kita harus terima dengan hati yang terbuka. Kita juga harus sedar bahawa pemerintahan sesebuah kerajaan itu adalah dengan izin Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 26 yang dibacakan tadi membawa maksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad), Wahai Tuhan Yang Mempunyai Kuasa Pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
(Surah Ali ‘Imran, 3:26)
Pemerintahan yang sah wajar disokong oleh seluruh rakyat. Sebagai rakyat, kita mesti menumpahkan ketaatan dan kesetiaan kepada ulil amri iaitu mereka yang telah mendapat mandat untuk melaksanakan pemerintahan selagi tidak bertentangan dengan aturan syariat.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sepanjang tempoh proses pilihanraya dijalankan, kadangkala wujud suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian. Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia, seringkali berlaku perbezaan pendapat dan pandangan apatah lagi dalam suasana politik tanah air yang diwarnai dengan pelbagai latar belakang ideologi politik. Namun kita harus sedar bahawa kepelbagaian pemikiran manusia tidak seharusnya dibiarkan menjadi titik pergolakan yang berpanjangan. Justeru, hentikanlah sebarang tindakan provokasi yang boleh mengancam keharmonian masyarakat di negara ini. Rapatkan kembali ukhuwah Islamiah dan hubungan kita sesama warganegara.
Kesatuan umat Islam sememangnya menjadi benteng dalam memelihara ketinggian agama Islam. Rasulullah SAW mengajarkan kita bahawa perpaduan merupakan asas kepada kejayaan masyarakat dan negara. Lihatlah, di antara agenda utama yang Baginda SAW laksanakan termasuklah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin.
Lebih daripada itu, Baginda SAW juga telah berjaya mewujudkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kabilah dan agama menerusi pengamalan nilai toleransi, sikap saling menghormati, bekerjasama dan bantu-membantu dalam pembangunan negara Madinah. Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA daripada Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti satu jasad. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan jasad tidak dapat tidur serta demam.”
Justeru, ayuh kita mengeratkan kembali tautan antara anggota masyarakat. Jalinkan kebersamaan, kemesraan dan kasih sayang tidak kira latar belakang agama, bangsa, kaum dan warna kulit. Hindarkan segala perkara yang boleh memudaratkan keharmonian seperti sikat prejudis, perkauman dan saling menghina lebih-lebih lagi melalui hantaran dan komentar di media-media sosial.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pembentukan kerajaan yang stabil merupakan kunci kepada kemakmuran dan pembangunan negara. Di sinilah kita dapat melihat sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini berfungsi dengan sebaiknya. Kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi pemangkin kepada pembentukan kerajaan baru yang dapat meneruskan legasi pemerintahan negara.
Sebagai rakyat yang cintakan Negara, kita hendaklah sentiasa meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan negara. Insya Allah, Allah SWT akan memberi petunjuk dan pertolongan dalam pemerintahan dengan jalan yang terbaik demi kepentingan masyarakat dan negara yang kita cintai ini. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
(Surah An-Nisa’ 4: 59)
Dalam memastikan keamanan dan keharmonian Negara dapat dikekalkan, mimbar mengajak dan menyeru seluruh umat Islam menjaga adab dalam berbicara terutama di media sosial. Tunjukkan akhlak mulia sebagai muslim sebenar lebih-lebih lagi di hadapan golongan bukan Islam.
Sentiasalah berlapang dada dan bertolak ansur menjalani kehidupan. Marilah kita bersatu padu dan berganding bahu dalam membasmi segala anasir yang boleh menggugat kestabilan dan kemakmuran Negara. Semoga Allah SWT mengurniakan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian yang berpanjangan kepada negara yang kita cintai ini.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Antara pedoman yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Sebagai rakyat, kita mesti menumpahkan ketaatan dan kesetiaan kepada ulil amri iaitu mereka yang telah mendapat mandat untuk melaksanakan pemerintahan selagi tidak bertentangan dengan aturan syariat.
Kedua: Eratkan kembali perhubungan dan persaudaraan sesama anggota masyarakat. Jalinkan kebersamaan, kemesraan dan kasih sayang tidak kira latar belakang agama, bangsa, kaum dan warna kulit.
Ketiga: Elakkan perbalahan, pergaduhan dan pertelingkahan sesama kita walaupun berlainan pemikiran dan politik. Tunjukkan akhlak mulia sebagai muslim dan amalkan sikap berlapang dada.
Di penghujung khutbah marilah kita renungi Firman Allah SWT dalam surah al-A’araf Ayat 56 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”
(Surah al-A’araf 7:56)
Tarikh Dibaca: 30 Rabiulakhir 1444H/25 November 2022M
Disediakan oleh Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply