Oleh: Mymuslimin.com
Satay, Satey atau Sate? Walaupun semua ejaan menghasilkan bunyi yang agak sama, ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia mengiktiraf ‘sate’ sebagai ejaan bahasa Melayu untuk “makanan yg dibuat drpd potongan kecil daging yg dicucuk dan dipanggang (dimakan dgn kuah)”, dan bahasa Inggeris pula mengeja hidangan ini sebagai ‘satay’.
Bagi kebanyakan orang Malaysia, sate bukan pilihan untuk sarapan pagi. Ianya berlainan bagi warga utara Johor bahagian Muar, Tangkak, Pagoh termasuk sebahagian penduduk Melaka kerana menikmati sate ketika sarapan adalah kebiasaan. Dan, salah satu restoran sate yang sohor di Muar, Johor ialah ZZ Satay Warisan yang bertempat di 13, Jalan Majidi.

Restoran ZZ Satay Warisan menawarkan 3 jenis sate sahaja iaitu lembu, ayam dan perut. Harga setiap cucuk sate ialah hanya RM1. Sate 3 jenis ini akan dihantar ke meja anda, dan makanlah seberapa banyak yang anda suka. Kemudian bila sudah bersedia untuk membuat bayaran, sila kira lidi sate yang telah anda makan, dan jangan diusik sate yang tidak dimakan.


Sate di restoran ini diperap sebati dengan rempah ratus, dan dibakar menggunakan bara kayu arang untuk mendapatkan rasa sate asli yang digemari ramai semenjak dahulu. Sate daging di sini disempurnakan dengan seketul lemak di tengah-tengah lapisan daging untuk menambah keenakan kerana lemak yang dibakar memberi rasa dan tekstur yang berlainan kepada secucuk sate. Sate perut juga lembut dan mengasyikkan. Dipadankan dengan kuah kacang dan timun racik, tiba-tiba tidak perasan tangan sudah diangkat untuk menempah sepinggan lagi!


Selain sate, ZZ Satay Warisan juga menyediakan makanan lazim orang Johor seperti mi rebus, soto ayam, lontong dan nasi lemak. Semuanya sedap belaka!
Kawasan dalam restoran ZZ Satay Warisan ini tidak luas, cukup untuk menempatkan lebih kurang 30 orang dalam satu-satu masa tetapi kebiasaannya orang makan sate tidak lama. Kalau sudah sampai ke Muo, jangan lupa singgah untuk sate ZZ Satay Warisan, berbaloi-baloi kesedapannya!
Restoran ZZ Satay Warisan
13, Jalan Majidi, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor
Isnin (7:00 pagi – 3:10 petang)
Selasa, Rabu (Tutup)
Khamis – Sabtu (7:00 pagi – 3:10 petang)
Ahad – (8:00 pagi – 3:10 petang)
Leave a Reply