Golongan pemuda merupakan aset negara yang bernilai pada masa akan datang. Mereka merupakan golongan yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya agar dapat menjadi pelapis yang berwibawa dalam membina negara yang gemilang. Golongan ini perlu diberikan peluang untuk ke hadapan dalam mengutarakan idea dan pandangan yang segar lagi bernas. Ada sesetengah pihak melakukan proses rejuuensi (meremajakan) dalam sesebuah institusi bagi menyediakan platform yang terbaik kepada mereka.
Kejayaan sesebuah negara di masa hadapan adalah terletak kepada kualiti dan daya tahan generasi belia dalam memimpin masyarakat ke arah kejayaan. Sejarah ketamadunan Islam memaparkan kejayaan Rasulullah SAW membentuk Zubair bin al Awwam dan Talhah bin Ubaidullah yang memiliki identiti remaja hebat. Islam mengiktiraf sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh golongan muda sehingga mereka turut diberikan tempat yang penting dalam pentadbiran.
Bagi membentuk kecemerlangan generasi yang mendatang, ia pastinya di dasari oleh sifat keseimbangan antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”
(Surah al-Nur 24:37)
Allah menerangkan di dalam ayat ini bagaimana seorang muslim khususnya kaum lelaki, mereka tidak dilalaikan dan selalu mengingati Allah dan menjalankan segala yang diperintahkan-Nya walaupun disibukkan dengan urusan dunia. Ibnu Kathir menjelaskan bahawa perkataan (rijalun lelaki) merujuk kepada kewibawaan seseorang dalam menjalankan tugas secara luhur dan niat serta tekad yang tinggi. Mereka tidak lalai walaupun diuji dengan kesibukan dan tahu bahawa apa yang tersedia di sisi-Nya pasti kekal abadi. Hal ini menunjukkan bahawa Islam tidak melarang kita untuk beroleh keuntungan dunia, namun akhirat juga perlu diagendakan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, bagi melahirkan generasi yang kuat dan hebat, mereka hendaklah sentiasa berpegang kepada dua pedoman yang menjadi asas perjuangan sehingga hari akhirat sebagaimana hadis Nabi SAW pernah menyebut yang bermaksud:
“Aku tinggalkan kamu dua perkara dan kamu tidak sesekali sesat selagi mana berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi SAW.”
(HR Imam Malik)
Zaman digital pada hari ini pastinya sedikit sebanyak mengundang kecelaruan pemikiran dan pegangan khususnya generasi muda. Mereka sangat terdedah dengan pelbagai anasir positif dan negatif yang bertebaran di alam maya tanpa sebarang sempadan. Oleh itu, sebagai generasi dalam proses pembangunan rohani dan jasmani, maka mereka pastinya mendambakan panduan atau manual kehidupan sejagat. Sekiranya dua pedoman ini menjadi pegangan, segala kemusykilan dan kekeruhan dalam kehidupan dapat diatasi dengan nur Ilahi melalui petunjuk-Nya.
Justeru, generasi muda yang ada pada hari ini perlu dipastikan kesihatan fizikal dan mental mereka dibimbing dengan betul kerana masa depan negara terletak di tangan mereka. Kegagalan membentuk mereka dengan acuan yang betul akan merugikan negara seterusnya merencatkan pembangunan negara pada masa akan datang. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kebaikan dalam kepimpinan generasi mendatang bagi mewujudkan sebuah negara yang baik dan mendapat keampunan daripada-Nya.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Leave a Reply