3 Sikap Yang Harus Dijauhi

Diriwayatkan daripada Nabi SAW, Baginda pernah bersabda yang bermaksud:

1. “Barang siapa yang pada pagi harinya mengeluh kesusahan hidup, maka dia seperti mengeluhkan Tuhannya.

2. Barang siapa yang pada pagi harinya bersedih kerana urusan dunia, maka dia pada pagi hari itu telah membenci ketetapan Allah SWT.

3. Barang siapa yang merendah diri kepada orang kaya kerana kagum pada kekayaannya, sungguh telah hilang dua pertiga daripada agamanya (ketaatannya).”

Sikap suka mengeluh terhadap orang lain atas nasib buruk yang menimpa termasuklah petanda tidak dapat menerima ketetapan Allah SWT. Kita tidak boleh mengeluh, kecuali kepada Allah SWT. Mengeluh kepada-Nya dibolehkan kerana itu merupakan salah satu bentuk doa.

Disebutkan dalam riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Mahukah kamu aku ajarkan beberapa kalimah yang diucapkan oleh Nabi Musa AS ketika menyeberangi laut bersama Bani Israil.” Para sahabat menjawab, ‘Sudah tentu mahu, wahai Rasulullah.”” Baginda SAW bersabda, ucapkanlah:

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ وَإِلَيْكَ المُشْتَكَى وَأَنْتَ المُسْتَعَانُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ العَظِيمِ

Ertinya: “Ya Allah, segala puji hanya bagi-Mu dan hanya kepada-Mu kami mengadu. Engkaulah Zat yang paling berhak diminta pertolongan. Tiada daya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi, lagi Maha Agung.”

Al-A’masy berkata: “Sejak aku mendengar doa tersebut daripada saudara kandungku, Al-Asadi Al-Kufi (yang menerimanya daripada Abdullah bin Mas’ud) aku tidak pernah meninggalkannya.”

Dia juga berkata: “Aku pernah bermimpi. Di dalam mimpi itu, aku didatangi oleh seseorang.” Dia berkata, ‘Wahai Sulaiman, tambahlah pada doa tersebut kalimah berikut ini:

وَنَسْتَعِيْنُكَ عَلَى فَسَادٍ فِيْنَا وَنَسْأَلُكَ صَلَاحَ أَمْرِنَا كُلَّهَ

Ertinya:

“Kami memohon pertolongan kepada-Mu daripada segala bencana kerosakan yang menimpa dan kami memohon kepada- Mu kebaikan dalam segala urusan.”

Berkaitan dengan perkara yang kedua, Muhammad Nawawi bin Umar Al-Jawi menyatakan bahawa orang yang bersedih kerana urusan dunia bererti marah kepada Allah SWT. Dia tidak reda atas ketetapan-Nya dan tidak sabar atas ujian yang diterima. Dia juga tidak beriman kepada takdir-Nya, kerana setiap kejadian di dunia ini sesungguhnya berdasarkan kepada qadak dan qadar Allah SWT.

Beliau menambah bahawa alasan pernyataan perkara yang ketiga adalah kerana dalam peraturan syariat, pemuliaan terhadap orang tersebut harus berdasarkan kebaikan akhlak dan keilmuannya, bukan kerana harta yang dimilikinya. Orang yang memuliakan harta di atas segala-galanya, bererti dia telah menghina ilmu dan akhlak mulia.

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani rahimahullah pernah mengatakan dalam nasihatnya: “Seluruh sikap dan tingkah laku seorang mukmin tersebut mestilah mencerminkan tiga perkara, yakni mentaati perintah Allah SWT, meninggalkan larangan Allah SWT, atau menerima ketetapan Allah SWT. Ini mengenai kesederhanaan sikap dan tingkah lakunya, sekurang-kurangnya mencerminkan satu daripada tiga perkara tersebut.

Oleh sebab itu, hati mesti selalu dijaga untuk menetapkan tiga perkara tersebut, menasihatkan diri sendiri untuk menjalankannya, serta mengarahkan seluruh anggota tubuh dalam segala sikap dan tingkahnya ke dalam tiga perkara tersebut.

Sumber: Nashaihul ‘Ibad oleh Syeikh Nawawi Al-Bantani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: