Ada berita yang melaporkan pelanggan terpaksa beratur sehingga satu jam untuk menikmati Nasi Kandar Basikal ini! Alhamdulillah, tim mymuslimin tidak perlu beratur selama itu, tetapi masih perlu berbaris ketika makan tengahari pada hari bekerja.
Tetapi janganlah risau, barisannya bergerak laju. Oleh itu, pelanggan kenalah berfikir pantas nak makan lauk yang mana satu! Bukan apa, takut gugup bila nak order.

Kenapa ramai? Tentu sekali kerana pilihan lauknya yang berjenis-jenis dan campuran kuahnya yang padu lagi suuurrr.
Restoran Nasi Kandar Basikal ini terletak di Taman Lestari Perdana, Bandar Putera Permai, Seri Kembangan. Terdapat basikal di hadapan kedai, menceritakan permulaan kepada perniagaan ini. Pelanggan nasi kandar selalunya berbilang bangsa kerana hidangan nasi kandar sudah menjadi salah satu hidangan yang digemari rakyat Malaysia, bukan sahaja di Pulau Pinang.
Melayu, Cina atau India, semuanya sukakan kuah campur, pedas atau tidak, itu pilihan masing-masing. Yang pasti, balik pejabat tangan masih lagi berbau kari walaupun sudah dibasuh dua kali!

Menawarkan lebih 20 jenis lauk, pelanggan kaya dengan pilihan. Ayam bawang, kari telur sotong, kari ikan, kari sotong, kari udang galah, kari kepala ikan, sayur bayam goreng, cendawan goreng, peria goreng, hati ayam goreng, dan macam-macam lagi, apa sahajalah yang tidak ada.


Selain daripada hidangan yang telah sedia dimasak, Nasi Kandar Basikal juga ada menawarkan ikan, ayam dan puyuh yang telah diperap untuk digoreng panas-panas. Cuma, anda perlulah menunggu seketika.

Jadi, kepada peminat nasi kandar yang belum sampai ke Nasi Kandar Basikal, silalah hadirkan diri untuk menikmati kesuurr-dapannya.
Nasi Kandar Basikal
52, Jalan Lp 7/4 Taman Lestari Perdana, Bandar Putera Permai, 43300 Seri Kembangan, Selangor
Buka: Isnin-Ahad (9 pagi hingga 12 malam)
Leave a Reply