Sesungguhnya manusia pada pandangan pendokong-pendokong materialisme berasal daripada segumpal tanah bumi, dari bumi ia muncul, atas bumi ia berjalan, dari bumi ia makan dan ke dalam bumi ia akan kembali.
Manusia adalah satu makhluk yang tersusun dari daging, darah, tulang, urat-urat, aneka sistem, kelenjar-kelenjar dan sel-sel. Akal fikiran hanyalah satu benda yang dikeluarkan oleh otak, sebagaimana hati mengeluarkan cecair hempedu, atau sebagaimana buah pinggang memproses dan mengeluarkan air kencing.
Manusia adalah satu makhluk yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dari makhluk yang lain. Ia adalah salah satu daripada benda hidup yang bertaburan di atas muka bumi ini. Malah ia adalah salah satu makhluk dari kategori ulat, serangga, reptilia dan kera. Kelebihan yang ada padanya hanyalah ia berevolusi dari semasa ke semasa sehingga menjadi manusia.
Bumi yang menjadi tempat manusia tinggal, hanyalah merupakan satu planet kecil di antara kumpulan planet-planet matahari iaitu satu kumpulan dari beberapa banyak kumpulan planet yang besar yang terdapat dalam alam semesta yang dianggar beratus-ratus million banyaknya. Demikianlah kita diberitahu oleh ilmu falak moden. Kita dapat tahu dari Cooper Nicks bahawa manusia adalah suatu yang terlalu kecil di dalam alam yang besar ini.
Manakala dari sudut masa, Darwin dan ahli-ahli geologi telah mensabitkan kepada kita bahawa manusia juga suatu makhluk yang kerdil dari sudut masa. Ini kerana usia bumi berlanjutan hingga beratus-ratus juta tahun, maka apakah nilai seratus tahun atau beberapa ratus tahun yang dihabiskan oleh manusia dalam hidupnya?
Itulah nilai manusia dari aspek tempat dan masa dari kacamata materialisme (pendokong mazhab kebendaan). Mereka tidak memberikan keistimewaan kepada manusia dengan apa yang dinamakan oleh orang lain dengan “roh Ilahi” atau “jiwa yang boleh bertutur”.
Pada pandangan mereka manusia hanyalah satu rangka tubuh badan haiwan yang bergerak. Apakah harga tubuh badan yang dikatakan manusia ini? Seorang ahli sains telah membahagikan tubuh badan manusia kepada elemen-elemen asasi. Hasilnya adalah seperti berikut:
Jika kita bawa seorang manusia yang berat badannya 140 kati (84 kilo) lalu kita selami tubuh badannya untuk melihat susunannya kita dapati bahawa tubuh badannya itu mengandungi bahan-bahan berikut:
- Sejumlah lemak yang cukup untuk membuat tujuh buku sabun.
- Sejumlah karbon yang cukup untuk membuat tujuh batang pensil.
- Sejumlah belerang yang cukup untuk membuat seratus batang mancis api.
- Sejumlah garam magnesium yang cukup dijadikan sekali minum untuk ubat pelawas buang air.
- Sejumlah besi yang boleh dibuat sebatang paku sederhana panjangnya.
- Sejumlah belerang kuning yang cukup digunakan untuk membuang kutu-kutu dari seekor anjing.
- Sejumlah besar air yang boleh memenuhi tong memuatkan sepuluh gelen air.
Bahan-bahan ini boleh dibeli dari pasar-pasar dengan harga yang menyamai beberapa ringgit. Itulah nilai manusia dari sudut kebendaan.
Tiada roh dan tiada tiupan dari langit yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Seorang atheis Arab dewasa ini berkata: “Adakah kita berfikir lebih dari apa yang difikirkan oleh serangga? Kita tidak mempunyai lebih besar dari kita sendiri, begitu juga serangga. Kita hanya mahu merealisasikan diri kita, begitu juga ulat-ulat serangga.”
Perbezaan antara kita dengan serangga-serangga hanyalah kita mempunyai sedikit kelebihan sahaja. Perbezaan kelebihan antara kita dengan haiwan yang paling kompleks tidak banyak berbeza daripada serangga yang paling lemah dan haiwan yang paling kompleks.
Perkara yang luput dari alam, dari bulan dan matahari turut juga luput daripada manusia. Pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh Darwin dan Freud terhadap manusia tidak lebih dari pendapat di atas.
Sesungguhnya insan pada kacamata mereka adalah adik-beradik serangga dan saudara kera. Mereka hanya melihat manusia dari sudut zahir sahaja. Mereka hanya mengenali manusia sebagai tanah liat yang berubah warna dan baunya. Tabiat manusia adalah semakin mendap ke bawah, bukannya naik ke atas. Ringkasnya manusia adalah haiwan yang berevolusi, meningkat dari satu tahap ke satu tahap hingga sampai ke tahap kedudukannya sekarang.
Sifat kehaiwanan pada manusia adalah pada kulit, daging dan tulangnya. Manakah aspirasi terhadap diri manusia yang lebih buruk kesannya dari aspirasi ini? Manusia melihat diri sendiri sebagai makhluk yang rendah, sebagai binatang dan adunan tanah.
Ia tidak merasa ganjil melihat dirinya rendah, comot dan bodoh. Ia tidak peduli dirinya bergelumang dalam kotoran dan lumpur. Akan tetapi yang ganjil baginya ialah jika dia mensuci dan membersihkan diri, bebas dari syahwat, bebas dari sifat tamak kepada kebendaan serta mengorbankan jiwa dan harta di jalan kebenaran untuk mendapatkan redha Allah SWT.
Manusia Pada Kacamata Mukminin
Manakala manusia pada kacamata orang mukmin adalah satu makhluk yang mulia di sisi Allah. Tuhan telaḥ menjadikannya dengan sebaik-baik kejadian. Tuhan telah menjadikannya dengan rupa bentuk yang baik. Ia membuat bentuknya dengan baik. Tuhan menjadikannya dengan tangan-Nya sendiri, lalu Allah meniupkan sendiri ke dalam diri manusia roh-Nya, malaikat sujud kepadanya serta Dia membezakannya dengan ilmu dan kemahuan. Tuhan menjadikannya khalifah di atas bumi dan paksi aktiviti di alam semesta ini.
Allah menjadikan untuknya segala yang ada di langit dan bumi dan Dia melimpahkan nikmat-Nya zahir dan batin. Segala yang ada di dalam alam adalah untuk kegunaan manusia. Manusia pula Allah jadikan untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Allah berfirman dalam hadith al-Qudsi:
“Wahai anak Adam, Aku jadikan engkau untuk menyembah-Ku dan Aku jadikan segala sesuatu untuk kegunaanmu, maka dengan hak yang ada pada-Ku ke atasmu janganlah engkau lalai dengan apa yang dijadikan untukmu, dan menunaikan hak Tuhan yang menjadikan engkau utnuk menyembah-Nya. Wahai anak Adam, Aku jadikan engkau untuk diri-Ku, maka janganlah engkau bermain, Aku telah menjamin rezeki engkau, maka janganlah engkau bersusah payah. Hai anak Adam, carilah Aku, nescaya kau akan jumpa Aku. Jika engkau terlepas dari menemui-Ku nescaya engkau terlepas segala- galanya. Kasihilah aku lebih dari aku.”
Benar bahawa manusia adalah seorang yang kerdil dibandingkan dengan keluasan alam semesta dari segi ukuran dan tempoh hidupnya. Tetapi dari sudut roh dan maknawinya manusia adalah suatu yang besar. Hakikat sebenar manusia itu adalah terletak pada roh dan maknawi? Bertuah sungguh penyair yang berkata:
Ubatmu ada padamu dan apa yang engkau lihat.
Sakitmu juga darimu dan apa yang engkau rasa.
Sangka dirimu habuk yang halus,
Dalam diri terkandung alam yang lebih besar.
Benar, manusia dari sudut usianya yang pendek jika dibandingkan dengan bumi seperti sebutir habuk di tengah padang pasir atau seperti satu pukulan dalam gua yang besar. Namun begitu orang mukmin berkeyakinan bahawa mati bukanlah kesudahan hidup yang sebenar bagi insan. Sesungguhnya mati adalah satu perhentian untuk berpindah ke alam abadi yang tidak ada kesudahan dan kediaman yang kekal abadi. Orang mukmin akan disambut dengan kata-kata di dalam Firman Allah yang bermaksud:
“Salam sejahtera kepada kamu, berbahagia-lah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dalam keadaan tinggal kekal di dalamnya.“
(Al-Zumar 39:73)
Jika beginilah kehormatan manusia pada kacamata agama secara umum, maka pada kacamata Islam ia adalah lebih dari itu. Al-Qur’an memperkatakan tentang manusia dalam berpuluh-puluh malah beratus-ratus ayatnya.
Memadailah jika kita mengingat bahawa kumpulan pertama ayat-ayat wahyu yang diturunkan oleh Jibril ke dalam hati Muhammad s.a.w. iaitu lima ayat yang tidak melupakan persoalan hubungan manusia dengan Tuhannya.
Hubungan budi pekerti, kehormatan dan hubungan petunjuk dan pengajaran. Ayat-ayat itu memilih perkataan “pemilik” dan “pentadbir” kerana perkataan itu dapat memberi erti didikan, pemeliharaan serta peningkatan di peringkat kesempurnaan.
Ayat-ayat al-Qur’an yang pertama ini ialah dari surah Al-‘Alaq yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Maha Pemurah yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-‘Alaq 96:1-5)
Kedudukan Manusia Di Sisi Allah
Banyak ayat dan surah al-Qur’an menerangkan bahawa manusia hampir kepada Allah dan Allah hampir kepada manusia. Konsep manusia dekat kepada Allah telah menghapuskan dongengan orang yang mengatakan ada pertengahan antara Tuhan dengan manusia yang mencari rezeki dengan menggunakan agama dan menjadikan diri mereka sebagai dinding di hadapan pintu rahmat Allah yang luas. Allah mengetahui bahawa mereka pembohong.
Firman Allah dalam al-Qur’an yang maksudnya:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku maka (beritahu kepada mereka); “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”
(Al-Baqarah: 186)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah.”
(Al-Baqarah 2:115)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya sedangkan pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
(Qaf 50:16)
Dan Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempat, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada.”
(Al-Mujadalah 58:7)
Rasulullah SAW memperkuat pengertian ini dalam sabda baginda tentang Tuhannya:
“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku, Aku ada bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Jika ia mengingat-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika ia mengingat-Ku di hadapan orang ramai, Aku mengingatinya juga di hadapan orang ramai yang lebih ramai darinya. Jika ia hampir kepada-Ku seinci maka aku hampir kepadanya satu hasta. Jika ia menghampirkan diri pada-Ku sejauh satu hasta nescaya Aku menghampirkan diri-Ku padanya sejauh satu depa, sekiranya ia datang kepada-Ku berjalan nescaya Aku datang kepadanya berlari.”
Inilah kedudukan manusia di sisi Allah.
Sumber: Kemanisan Iman oleh Dr. Yusof Al-Qaradhawi
Leave a Reply