Teks Khutbah Aidilfitri: Merai Kemenangan Meraih Keredaan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Setelah sebulan kita membina benteng kesabaran dengan berusaha melaksanakan sepenuh ketaatan di bulan penuh rahmat, kini tibalah masanya kita meraikan kejayaan. Sehubungan itu, marilah kita teruskan mempertingkat ketakwaan dengan kesungguhan mematuhi segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita dapat menempa kejayaan yang lebih besar di akhirat kelak.

Bagi meraikan Syawal, marilah kita bersama-sama menghayati khutbah yang bertajuk: “Merai Kemenangan Meraih Keredaan”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Aidilfitri ialah hari kemenangan dan kemerdekaan. Menang melawan hawa nafsu dan merdeka pula daripada belenggunya. Kerana itulah kita disunatkan untuk menghiasi hari yang penuh bahagia ini dengan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih agar subur hati kita dengan rasa kesyukuran kepada Allah SWT. Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: 

“…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Al-Baqarah 2: 185)

Hari ini membuktikan bahawa hawa nafsu mampu ditundukkan dan dikawal oleh keimanan. Sesungguhnya, bukti keimanan hamba tidak sekadar pada pengakuan lisan, tetapi kita perlu menempuhi ujian demi ujian dalam kehidupan. Nafsu tidak pernah jemu menyeru kita agar menuju ke arah jalan kederhakaan. Nafsu adalah satu ujian yang yang paling besar yang harus kita hadapi dan kalahkan bagi membuktikan betapa teguh iman dan takwa kepada Allah SWT, bertepatan dengan firman-Nya di dalam surah al-Ankabut, ayat 2 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

(Al-Ankabut 29:2)

Allah SWT telah mensyariatkan ibadah puasa dan menetapkan larangan-larangan tertentu di dalam bulan Ramadan sebagai senjata untuk hamba-hamba-Nya belajar mengekang hawa nafsu. Nafsu jika tidak dapat dikawal dan ditadbir dengan sifat sabar, iltizam dan istiqamah, pastinya ia akan membuahkan sifat gelojoh dan tamak yang meluntur akhlak yang mulia. 

Namun sekiranya kehadiran Aidilfitri ini jika diraikan tanpa mengikut lunas-lunas syariat, dibimbangi nafsu akan kembali menguasai diri. Justeru, dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, pastikan kita tidak mengabaikan kewajipan solat fardu dan pantaulah anak-anak supaya tidak terleka dengan aktiviti-aktiviti yang melalaikan dengan berhibur sehingga melupakan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Aidilfitri membawa maksud ‘kembali kepada fitrah’ yang suci dan bersih daripada noda dan dosa. Inilah manifestasi daripada sambutan Aidilfitri. Ramadan telah membuka peluang buat kita untuk mensucikan dosa-dosa melalui ibadah yang dilakukan dengan ikhlas dan taubat yang bersungguh-sungguh. Justeru, semoga Syawal kali ini kita dapat kembali menjadi hamba Allah SWT yang bersih daripada dosa.

Aidilfitri juga menuntut kita agar mengekalkan nilai-nilai terpuji yang disemai di bulan Ramadan. Hati dan jiwa mesti sentiasa mengingati Allah SWT, akhlak mulia melalui pertuturan dan tingkah laku yang sopan mesti diamalkan. Manusia sememangnya tidak pernah lepas daripada kesilapan dan kesalahan. Justeru, pohonlah kemaafan terhadap tingkah laku yang mengguris hati dan perasaan insan lain, pertautkan kembali hubungan yang semakin jauh di samping merelakan untuk memberi kemaafan kepada orang lain yang mungkin pernah melukai kita. Inilah akhlak mulia yang diamalkan oleh Baginda Nabi SAW.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bersempena dengan Aidilfitri, sudah menjadi budaya umat Islam khususnya untuk menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga. Inilah yang menggambarkan kemeriahan Aidilfitri disambut dengan penuh harmoni. Kukuhkan ikatan kekeluargaan dengan mengambil peluang untuk pulang berhari raya ke rumah Ibu bapa dan lakukanlah aktiviti kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga khususnya adik-beradik kita. Jangan hanya berpuas hati menggunakan medium aplikasi di telefon pintar untuk saling memberi ucapan selamat hari raya dan saling bermaaf-maafan. Aidilfitri lebih bermakna jika kita dapat bersua muka sesama ahli keluarga terutama ke rumah mereka yang lebih berusia daripada kita. Ketika melakukan aktiviti ziarah-menziarahi, ingatlah bahawa islam mengajar kita supaya menjaga adab dan kesopanan supaya ia dapat mendatangkan pahala dan memperkukuhkan ukhuwah. Berwaspadalah agar ia tidak menjadi titik dosa dan sengketa.

Jagalah batas-batas pergaulan di antara kita yang bukan mahram dan pilihlah cara pemakaian yang mengikut syariat dan penuh kesopanan. Jika ada tetamu yang bertandang ke rumah, layanilah dengan penuh keikhlasan tanpa memilih atau membeza-bezakan di antara mereka. Sebagai ibu bapa, asuhlah anak-anak agar dapat mengamalkan budaya Islam yang penuh dengan nilai-nilai murni dan kesopanan sama ada sebagai tetamu atau tuan rumah.

Dalam meraikan Aidilfitri, pastinya ramai dalam kalangan kita yang ingin menggambarkan kemeriahan menyambutnya di media-media sosial seperti di Facebook, Tik Tok, Reels, Instagram dan lain-lain, namun harus diingat supaya menjaga adab sopan dan akhlak Islam dengan berpakaian mengikut syariat dan tidak menonjolkan perlakuan-perlakuan negatif seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram, tidak menutup aurat dan melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri.

Dalam meraikan Aidilfitri ini juga, kita diingatkan untuk mengelakkan pembaziran. Walaupun pihak berkuasa memberi kebenaran untuk bermain bunga api dan mercun, cubalah mengelakkan pembaziran dan bahaya yang mungkin boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling. Alangkah lebih baik duit yang digunakan untuk membeli bunga api dan mercun didahulukan untuk perbelanjaan yang penting khususnya untuk isteri, anak-anak dan ahli keluarga.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Di saat kita menyambut Hari Raya dengan penuh kegembiraan, masih terdapat saudara-saudara kita yang masih diuji dengan kekurangan, kesedihan, kefakiran dan keuzuran. Marilah kita mengambil semangat Aidilfitri ini dengan berkongsi kegembiraan bersama mereka yang dirundung ujian getir kehidupan. Hulurkanlah bantuan kepada yang memerlukan terutama anak-anak yatim dan jiran tetangga yang diuji dengan kemiskinan,

ambillah kesempatan untuk menziarahi saudara mara dan rakan taulan yang sedang menanggung ujian kesakitan di hospital mahupun terlantar di rumah. Semoga apa yang dilakukan itu mampu mengukir senyuman di bibir mereka dan terbit rasa syukur di hati mereka kerana masih ada yang mengingati mereka di hari lebaran penuh kegembiraan ini.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama :

Pertama: Raikan Hari Raya Aidilfitri mengikut lunas-lunas Islam agar kita beroleh keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Kedua: Teruskan mujahadah melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa menguji keimanan kita dengan memperbanyakkan ibadah dan mentaati Allah SWT.

Ketiga: Amalkan adab-adab berhari raya pada pertuturan, tingkah laku dan pemakaian yang sopan di samping berkongsi kegembiraan dengan mereka yang diuji dengan kesakitan, kemiskinan dan kesusahan.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Jathiah ayat 18 yang bermaksud:

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.”

(Al-Jathiah 45:18)

Tarikh Dibaca:1 Syawal 1444H/22 April 2023
Disediakan oleh:Cawangan Khutbah Dan Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: