Teks Khutbah Jumaat: Istiqamah Lambang Ketaatan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan tarbiah Ramadan yang lalu menjadikan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Istiqamah Lambang Ketaatan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kehadiran Syawal bukan sekadar bulan kemenangan, kegembiraan dan kemeriahan, tetapi ia bulan meneruskan ibadah dan amalan kebaikan yang pernah dilakukan semasa di bulan Ramadan.

Jika amalan dan tingkah laku yang ditunjukkan sama seperti dalam bulan Ramadan, bermakna kita berjaya memahami dan mengamalkan tarbiahnya. Walaubagaimanapun jika berlaku sebaliknya, kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Oleh itu, gelombang kebaikan yang dilatih selama sebulan itu perlu diteruskan. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad, ayat 33 yang dibacakan tadi yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu.”

(Muhammad 47:33)

Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah orang yang amat beruntung kerana terlepas daripada kerugian yang telah dinyatakan oleh Baginda SAW. Al-Hakim meriwayatkan hadis, daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Amat jauh (daripada rahmat Allah SWT) bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.”

Orang yang benar-benar dapat menikmati kemanisan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri ialah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka inilah yang tergolong dalam golongan orang yang sentiasa meninggalkan larangan Allah SWT di samping mentaati syiar Islam sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT surah al-Hajj, ayat 32 yang bermaksud: 

“Demikianlah (ajaran Allah), sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka dialah orang yang bertakwa kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati Mukmin.”

(Al-Hajj 22:32)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam musim perayaan ini, sewajarnya kita tidak melupakan tanggungjawab beribadah dengan lebih tekun dan sempurna. Biarpun kita telah melepasi fasa tarbiah Ramadan namun amal ibadah dan amalan kebaikan terutama solat berjemaah, sedekah dan membaca al-Quran sepatutnya diteruskan dan dijadikan amalan seharian.

Kehidupan selepas Ramadan menjadi bukti sama ada matlamat tarbiah sepanjang bulan itu tercapai atau sebaliknya. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri apakah tahap takwa kita kepada Allah SWT semakin meningkat atau sebaliknya. Hamba Allah yang sebenar ialah orang yang berterusan melaksanakan segala ibadah dengan penuh ketaatan semata-mata kerana-Nya, bukan semata-mata mengejar ganjaran atau mengutamakan pandangan manusia. Justeru, pelaksanaan ibadah lebih mudah dilakukan apabila kita dilingkari orang sekeliling yang turut mahu berubah ke arah kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan, ayat 27 hingga 29 yang bermaksud: 

“Dan ingatlah, hari orang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata: Alangkah baiknya sekiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama rasul. Kecelakaan besarlah ke atasku, kalaulah aku dahulu tidak menjadikan si fulan itu sebagai teman akrabku. Sesungguhnya, dia menyesatkanku daripada al-Quran selepas ia datang kepadaku, dan syaitan itu adalah penyesat kepada manusia.”

(Al-Furqan 25: 27-29)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita juga hendaklah berusaha meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadah puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Walaupun ianya amalan yang sunat namun ganjaran pahalanya sangat besar di sisi Allah SWT. Justeru, alangkah ruginya jika kita melepaskan peluang untuk melaksanakannya. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian dia melanjutkan dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, (nilai puasanya) sama seperti dia berpuasa selama setahun.”

Selain itu, berusahalah melazimi solat berjemaah di masjid, mentadabbur al-Quran dan menghadirkan diri ke majlis-masjlis ilmu.

Amalan-amalan ini dapat memberi motivasi dan menyegarkan fikiran serta memberikan semangat kepada kita melakukan kebaikan di samping mengukuhkan keimanan demi mengejar reda dan kasih sayang Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kehadiran Syawal bukan sekadar bulan kemenangan, kegembiraan dan kemeriahan, tetapi ia bulan kesinambungan ibadah dan amalan kebaikan termasuk paparan adab dan akhlak yang mulia.

Kedua: Jadilah hamba Allah yang sebenar iaitu orang yang berterusan melaksanakan segala ibadah dengan penuh ketaatan semata-mata kerana ikhlas terhadap Allah SWT.

Ketiga: Teruskan kesinambungan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadah puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah Ali-‘Imran, ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Ali-‘Imran 3: 8)

Tarikh Dibaca: 7 Syawal 1444H/28 April 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: