Teks Khutbah Jumaat – Kiblat Merdeka

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, 

Saya menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Tunaikanlah segala suruhan Allah SWT dan tinggalkanlah larangan-Nya. Semoga Allah SWT meredai hidup kita, bahagia di dunia dan di akhirat. 

Marilah kita bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini kerana ia adalah anugerah Allah yang banyak memberi pelbagai iktibar dan manfaat khususnya dalam kita mengabdikan diri kepada Allah SWT.  

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Serangan penjajah yang paling halus tetapi memberi kesan besar sudah pasti berkaitan dengan pemikiran umat. Sebenarnya penjajah telah meracuni pemikiran hingga jati diri umat Islam itu seolah mati jiwa dan kekitaannya. Penjajah bukan sahaja merompak tapi juga telah merombak semua sistem kehidupan. Mereka mahu membentuk watak anak bangsa mengikut jari telunjuk mereka. Maka tidak hairanlah ada anak watan sendiri lebih berbangga dan yakin dengan bergaya seperti penjajah. Lebih malang ada juga anak watan yang melihat bangsa sendiri dengan rasa malu dan menuduh bangsa sendiri sebagai malas dan bodoh. Tidak cukup setakat itu, ada yang sanggup menghina agama sendiri atas nama kebebasan bersuara. Bukan setakat dalam penulisan dan kritikan malah bangsa dan agama juga mereka jadikan bahan lawak pula. Inilah produk ciptaan penjajah yang mungkin rupa parasnya seperti kita tetapi jiwanya adalah jiwa penjajah. 

Penjajah dengan dasar penjajahannya jelas bukan sahaja berjaya merompak hasil mahsul negara tetapi penjajah datang menyerang pemikiran rakyat dengan pelbagai cara dan gaya yang memperdaya. Walaupun mungkin penjajah telah lama pulang tetapi ideologi mereka 

masih lagi berada di bumi jajahannya ini. Kepada Umat Islam marilah kita buktikan bahawa anak bangsa kita boleh berdiri di kaki sendiri disamping jiwa raganya sanggup dikorbankan untuk ibu pertiwi yang dicintai. Merdeka negara ini bukan sekadar laungannya. Tetapi biarlah kemerdekaan itu diisi dengan cara kita bukan mengikut rentak peninggalan penjajah itu sendiri. 

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar hari ini juga mengajak kita semua supaya mengenang dengan penuh kesedaran tentang betapa penjajah dan penjajahan telah menggugat akidah kita. Salah seorang sarjana barat misalnya, Jacques Barzun ada menyebut dalam kajiannya bahawa penjelajahan bangsa Eropah ke Asia bermatlamatkan ‘Gold, Glory and the Gospel,’ iaitu mencari kekayaan, kejayaan dan menyebarkan agamanya. Walaupun tembok akidah umat Islam pada dasarnya gagal diruntuhkan. Namun serangan bertali arus ratusan tahun tetap memberi kesan pada jangka masa panjang.  

Gerakan Orientalis yang dibawa bersama penjajah adalah bukti paling jelas telah berusaha menyarung pemikiran umat yang amat bercanggah dan menggugat akidah Islamiyah. Penjajah bukan sahaja memburu dan menghapuskan para ulama dengan cara yang penuh kelicikan untuk menghapuskan Islam, bahkan mereka juga menanam jarum susuk pemikiran penjajah seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme, komunisme, humanisme dan pelbagai fahaman lain. Ianya semakin mempengaruhi generasi kita hingga menjejaskan peranan agama dalam membentuk sebuah kehidupan. Islam bukan lagi dilihat sebagai cara hidup tetapi Islam dilihat pada kerangka yang amat sempit dan dimomok sebagai penghalang kemajuan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” 

Muslimin yang dirahmati Allah, 

Marilah kita semua mengambil semangat kemerdekaan untuk kembali kepada kiblat Islam. Sejarah kegemilangan kita telah membuktikan Islam telah menjadi agama yang dianuti oleh majoriti manusia khususnya orang Melayu dan nilai ajarannya menjadi sebahagian dari urat nadi kehidupan sejak zaman kerajaan Melayu Melaka lagi. Islam telah menjadi dasar kebesaran kerajaan Melayu bukan sahaja dari segi kuasa pentadbiran bahkan dari segi peradaban yang didirikan. Islam telah membentuk jati diri bangsa Melayu sehingga setiap sendi dan tulang kerangka budaya Melayu disulami dengan ajaran Islam. Maka untuk kita bangkit terus berjaya dan berdaya di dunia dan apatah lagi di akhirat hanya kiblat Islam wajib mengisi sebuah kemerdekaan yang diredai Allah.

Islam dengan panduan Al-Quran dan Al-Sunnah adalah kekuatan kita. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud:

“Celupan Allah. Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” 

Marilah kita hayati kata-kata tokoh pejuang kemerdekaan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Katanya: 

“Kita perlu balik kepada al-Quran dan al-Sunnah yang nyata dan tegas menunjukkan bahawa Islam tidak boleh berpisah dan terpisah oleh politik kerana Islam menghubungkan hamba dengan Tuhan dan menghubungkan hamba dengan hamba.” 

Hadirin muslimin yang dikasihi Allah sekalian, 

Marilah kita bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini. Kemerdekaan ini sudah pasti merupakan suatu anugerah yang besar kurniaan Allah kepada kita. Saat ini kita masih lagi melihat saudara saudara seIslam kita masih bergelut melawan penjajah di tanahair mereka. Bukan sedikit kedukaan yang mereka tempuh dalam menghadapi penjajahan tersebut. Bukan sedikit air mata dan darah yang tertumpah kerana perjuangan menuntut kemerdekaan tanahair mereka. Bukan sedikit juga duka dan kecewa yang hanya Allahlah tempat berserah. Semua ini mesti kita jadikan iktibar bahawa penjajah dan penjajahan pasti memberi kesan yang besar kepada ummah dan Islam itu sendiri. Maka bersyukurlah dengan apa yang kita miliki sekarang. Jangan sesekali lupa bahawa semua ini adalah kurniaan Yang Maha Perkasa. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” 

Pengalaman dijajah juga adalah azab. Azab yang datang kerana kecurangan dan kelemahan iman umat kita yang tidak bersyukur. Mengingkari perintah Allah SWT telah mengundang kelalaian hingga kita lemah dan dijajah. Mengisi program kemerdekaan saban tahun dengan budaya berhibur yang memualkan adalah sebuah keingkaran yang mengundang penjajahan yang mendatang. Jadi janganlah mengundang padah itu. 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah

Mengakhiri khutbah kita pada hari ini marilah kita sama-sama menghayati kesimpulannya iaitu; 

1. Hayatilah sejarah kemerdekaan negara agar kita lebih mengerti dan menghargai sebuah keamanan yang amat besar harganya. 2. Umat Islam mesti segera sedar bahawa jalan syukur adalah cara terbaik untuk mengisi sebuah kemerdekaan.  

3. Pastikanlah kiblat merdeka kita adalah Islam sebagai cara hidup bukan memakai pemikiran acuan penjajah yang menjajah.

4. Cintai tanahair dan kemerdekaan kita ini dengan penuh iktibar dan keinsafan. Jika kita tidak memeliharanya percayalah ia akan musnah dari hancur. 

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Dia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.” (Ibrahim: 6)

Rakaman Khutbah dari Surau Al-Falah, Taman Cempaka, Ampang Selangor oleh Ustaz Khairul Razikin

Tarikh Dibaca: 26 Ogos 2022M l 28 Muharram 1444H 

Disediakan oleh : Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid 

Jabatan Agama Islam Selangor

JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: