Allah SWT berfirman yang bermaksud:
” Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Al-Isra’ 17:109)
Banyak hadis dan athar para sahabat berkenaan hal ini. Antaranya adalah hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Bacalah Al-Quran dan menangislah. Jikalau kamu tidak dapat menangis, buat-buatlah menangis.”
Manakala Saidina Umar bin Al-Khattab RA dilaporkan menunaikan solat secara berjemaah kemudian membaca surah Yusuf, lantas beliau menangis sehingga air matanya menitis mengenai bahagian halkum.
Dalam satu laporan yang lain, Saidina Umar RA dikatakan mendirikan solat Isyak dan beliau mengulang-ulang ayat yang dibacanya. Saidina Umar RA juga menangis sehingga para sahabat mendengar tangisan beliau daripada belakang saf.
Abu Raja’ pula menyatakan, “Saya melihat di bawah kedua-dua mata Ibnu Abbas bercucuran air mata yang banyak.”
Abu Soleh mengatakan, “Sekumpulan manusia dari Yaman datang menemui Abu Bakar RA dan mereka membaca Al-Quran lantas menangis. Maka Abu Bakar RA mengatakan, ‘Beginilah kami dahulu apabila membaca Al-Quran.’”
Hisham mengatakan, “Saya rasa terdengar tangisan Muhammad bin Sirin pada waktu malam ketika beliau mendirikan solat.”
Banyak athar para sahabat yang menerangkan hal ini sehingga tidak terhitung. Apa yang kami tunjukkan dan utarakan di sini mencukupi, wallahu a’lam.
Cara untuk menangis adalah, mula-mula kita perlu menghadirkan perasaan hiba dengan memerhatikan ayat-ayat yang mengandungi ancaman, peringatan, perjanjian, kemudian kita memikirkan kekurangan yang kita miliki.
Sekiranya perasaan sedih dan menangis tidak dapat diperoleh sebagaimana orang-orang yang soleh mampu memperolehnya, maka hendaklah kita cuba menangis kerana tidak dapat memperoleh tangisan yang sebenarnya. Itulah ujian yang paling besar kepada kita.
Sumber: Adab Berdamping Dengan Al-Quran oleh Imam An-Nawawi
Leave a Reply