Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredai oleh Allah SWT. Mudah-mudahan kita mendapat limpahan rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Sempena Hari Integriti Nasional 2022 yang disambut pada 5 November setiap tahun, khutbah pada hari ini membicarakan tajuk: “Integriti Teras Kesejahteraan Keluarga Dan Masyarakat”.
Sebelum itu, khatib ingin mengingatkan agar kita dapat beristiqamah mengimarahkan masjid dan surau, menunaikan solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program-program pengimarahan yang dijalankan.
Sebagai pemimpin dan ketua di dalam keluarga, marilah kita memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak tidak mengabaikan kewajipan solat dan sentiasa membaca al-Quran sebagai asas dalam mendekatkan jiwa mereka dengan ajaran Islam.
Di samping itu, sebagai muslim yang baik, marilah kita menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, mengeratkan persaudaraan sesama insan, memperbanyakkan taubat dan munajat kepada Allah SWT demi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi jaminan bahawa hari esok masih ada untuknya. Inilah rahsia Allah SWT kepada manusia supaya dalam tempoh masa umur yang singkat ini, kita dapat melakukan sebanyak mungkin amalan ketaatan, kebajikan dan kebaikan sebagai bekalan untuk kehidupan abadi di akhirat kelak.
Mari kita hayati bersama firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl, ayat 97 yang dibacakan tadi membawa maksud:
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah an-Nahl 16: 97)
Kita diperintahkan untuk melakukan amal ibadah kepada Allah SWT dengan sempurna dan sepenuh keikhlasan. Dalam masa yang sama, kita juga diperintahkan untuk melakukan perbuatan yang baik.
Sememangnya tanggungjawab sebagai muslim kepada Allah SWT mestilah dengan mengamalkan Islam sepenuhnya dan meningkatkan Iman melalui ketaatan terhadap setiap rukunnya. Di samping itu, Rasulullah SAW turut mengajarkan kita untuk membentuk sifat Ihsan iaitu dengan melakukan ibadah seolah-olah kita melihat Allah SWT dan meyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihat setiap perbuatan dan amalan yang kita lakukan.
Ketahuilah bahawa mengamalkan Islam, memperteguhkan keimanan dan membentuk sifat ihsan dalam diri adalah asas bagi membina ketinggian akhlak dan nilai-nilai integriti. Jika asas-asas ini dapat dilakukan, nescaya kita tidak akan sekali-kali melakukan kemungkaran, kemaksiatan dan keburukan di dalam kehidupan.
Kita harus akui bahawa nilai integriti bukan sahaja memberi pengaruh yang baik kepada kehidupan manusia dan seluruh masyarakat bahkan ia menjadi teras penting dalam membina sebuah negara yang dilimpahi keberkatan, maju, berdaya saing, sejahtera, makmur dan bebas rasuah.
Inilah harapan dan cita-cita setiap warganegara agar Malaysia dikenali di persada antarabangsa sebagai sebuah negara yang tinggi nilai integriti dan moral dalam kalangan warganya sama ada rakyat atau pemimpin.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW adalah insan mulia yang mesti kita contohi. Baginda SAW telah menonjolkan ketinggian akhlak dan budi pekerti yang paling baik dan mulia. Baginda SAW ialah manusia yang paling berintegriti, sehingga dikenali dalam kalangan penduduk Makkah dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’. Empat nilai keperibadian dan sifat terpuji Rasulullah SAW yang menjadi teras kepada nilai integriti ialah Siddiq; iaitu yang berkata benar, Amanah; yang dipercayai, Tabligh; yang menyampaikan kebenaran dan Fatonah; iaitu yang bijaksana.
Nilai integriti ialah pelengkap dalam membentuk keluarga dan masyarakat yang bahagia dan harmoni. Malah, integriti yang berlandaskan nilai-nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan rohani dan akidah ialah penyelesaian terbaik kepada permasalahan integriti dalam konteks peribadi, keluarga, organisasi dan negara. Sesungguhnya nilai-nilai integriti terbentuk melalui sifat amanah, kejujuran dan kepercayaan dalam memelihara kepentingan seluruh manusia tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri. Justeru, seseorang yang menjalankan amanah dengan baik boleh dianggap sebagai seorang yang penuh berintegriti dan dia mampu membawa kecemerlangan terhadap tadbir urus sesuatu organisasi, keluarga, masyarakat dan negara.
Sebagai contoh, seorang kakitangan yang berintegriti akan mempunyai tingkah laku yang baik dan tidak mudah terpengaruh dengan tingkah laku yang negatif seperti culas, mencuri, ponteng kerja, rehat lebih waktu dan lain-lain. Perkara ini akan memberi impak positif bukan sahaja kepada individu bahkan organisasi yang disertainya.
Inilah antara ciri-ciri orang yang berjaya sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun, ayat 8 yang bermaksud:
“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”
(Surah al-Mukminun, 23:8)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Malaysia adalah sebuah negara yang majmuk. Ini dapat dilihat dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama menjadikan negara ini begitu unik. Walaupun dihuni oleh pelbagai bangsa, kaum, pegangan agama dan budaya, kita dapat hidup dalam suasana harmoni dan aman hasil daripada pengamalan sikap hormat-menghormati, saling mengasihi, kebersamaan dan semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara.
Namun begitu, kadang kala kita diuji dengan pelbagai isu-isu yang boleh menjejaskan perpaduan akibat daripada perbuatan pihak-pihak yang tidak berintegriti dan bertanggungjawab apabila suka menyuntik jarum-jarum perbalahan dan permusuhan terutama di media-media sosial. Ingatlah bahawa kesejahteraan dan kemakmuran negara juga adalah amanah daripada Allah SWT yang mesti dipelihara.
Kita juga seringkali didedahkan dengan pelbagai kepincangan dalammasyarakat yang melibatkan keruntuhan nilai integriti. Sedarlah bahawa manusia yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam kemungkaran seperti perbuatan rasuah, khianat, penipuan dan pecah amanah yang pastinya boleh meruntuhkan organisasi, institusi masyarakat dan negara.
Sewajarnya dengan penghayatan dan pengamalan ajaran Islam, maka sifat jujur dan amanah mestilah ditanamkan dan diterapkan dalam diri kita, seterusnya mendidik keluarga dan anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai integriti bermula daripada rumah. Sempena sambutan bulan IntegritiNasional 2022 sepanjang bulan November, Institut Integriti Malaysia (IIM) akan melaksanakan pelbagai program kesedaran di samping meningkatkan serta memperkasakan lagi pembudayaan integriti di semua sektor iaitu awam, swasta dan masyarakat.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Asas dalam membina integriti dan akhlak yang baik ialah dengan mengamalkan Islam dengan sempurna, meningkatkan iman dan membentuk sifat ihsan di dalam diri.
Kedua: Tingkatkan nilai-nilai integriti dalam diri dengan memupuk sifat amanah, jujur, ikhlas, berkata benar dan bertanggungjawab serta kikislah segala sifat negatif seperti suka melakukan khianat, mengambil kesempatan dan penipuan.
Ketiga: Amalkan nilai-nilai integriti di dalam kehidupan, didiklah ahli keluarga dan anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai integriti bermula dari rumah demi membina masyarakat dan negara yang berintegriti tinggi.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 72 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(Surah al-Ahzab 33:72)
Tarikh Dibaca:16 Rabiulakhir 1444H/11 November 2022M
Disediakan oleh:Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply