Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Doa merupakan suatu ucapan pengharapan dan permohonan secara langsung penuh tulus daripada hamba terhadap Allah SWT. Doa adalah simbol hubungan langsung di antara manusia dengan Allah SWT. Tiada perantara bagi manusia dan Allah SWT saat berdoa. Begitulah sifat doa jika kita hayati apa yang tersirat di sebalik perbuatan tersebut.
Berdoa boleh dilakukan di mana sahaja dan dalam keadaan apa sekali pun. Akan tetapi terdapat waktu-waktu khusus yang disarankan untuk kita berdoa agar doa mudah dimakbulkan Allah SWT.
Antara waktu-waktu tersebut adalah seperti berikut;
1. Sepertiga malam terakhir
Dalam satu hadis yang diriwayatkan bahawa seorang lelaki mengadap Rasulullah SAW dengan bertanya;
“Allah turun pada setiap malam ke langit dunia, ketika kekal pada satu pertiga terakhir malam seraya berkata, barangsiapa berdoa kepada-Ku, pasti Aku akan memakbulkannya. Barangsiapa yang memohon kepada-Ku, pasti aku akan memberinya. Barangsiapa yang meminta ampun, pasti aku akan ampunkannya.”
Al-Adab al-Mufrad: 775
2. Waktu antara azan dan iqamah
Sabda Nabi SAW:
“Doa antara azan dan iqamah adalah mustajab, maka hendaklah berdoa (pada waktu itu)”
HR Abi Ya’la: 3581
3. Hari Jumaat
Abu Hurairah RA berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW menyebut pada hari Jumaat, bahawa padanya terdapat waktu, apabila seseorang hamba muslim mendirikan solat dan memohon kepada Allah sesuatu diwaktu tertentu, pasti Allah akan memberikan apa yang diminta.”
HR Bukhari: 883
Waktu-waktu dalam hari Jumaat yang amat sesuai untuk berdoa kerana pada waktu tersebut dijanjikan mustajabnya sesebuah doa. Antara saat akan dimakbulkan doa pada hari Jumaat adalah sesudah fajar, saat terbit matahari, sesudah solat Jumaat dan antara waktu Asar dan Maghrib.
4. Hari-Hari Lain
Hari Arafah, malam Lailatul Qadar, sepanjang bulan suci Ramadhan, saat berbuka puasa, di hadapan Kaabah, saat melaksanakan tawaf, di Multazam, ketika sedang minum air zam-zam, saat bersujud, 1 saat mengkhatamkan al-Quran, ketika bertaubat dan meninggalkan dosa, saat mengenakan hijab dan doa seorang yang Muslim untuk saudaranya Muslim yang lain.
Justeru berdoalah, kerana dengan doa ia seakan kita berkomunikasi dengan Allah SWT. Bahkan dengan doa akan menunjukkan sebagai hamba kita tidak pernah lupa bahawa segalanya akan berlaku hanya dengan izin daripada-Nya. Ia tanda pengakuan kekerdilan dan ketidakupayaan kita sebagai hamba melainkan dengan adanya bantuan kudrat dan iradat Allah SWT. Ia sekali gus menggambarkan bahawa kita hendaklah menginsafi akan keagungan dan kekuasaan Allah SWT.
Makbulnya Doa Para Nabi
Hakikat mustajabnya doa para nabi banyak digambarkan melalui pelbagai kisah yang pernah terlakar dalam mereka. Perjuangan mengembangkan kehidupan ajaran Allah SWT yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka telah menemukan mereka dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Lantas, di kala dugaan dan cabaran ini merentangi jalan perjuangan, hanya kepada Allah SWT sahaja tempat mereka mengadu. Dan segala pengaduan itu terucap dalam doa-doa mereka.
Seperti mana kisah Nabi Yunus AS yang telah ditelan oleh ikan nun. Ia merupakan suatu ujian yang Allah SWT berikan kepada baginda. Semasa berada di dalam perut ikan, baginda terlalu lapar dan dahaga. Baginda sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dilepaskan daripada ujian berat tersebut.
Para Malaikat yang mendengar doa Nabi Yunus itu pun turut berdoa kepada Allah SWT dengan berkata;
“Ya Allah, suara yang amat kami kenal dari tempat yang amat menyeksa.”
Allah SWT terus berfirman;
“Tidakkah kamu mendengarnya? Itulah hamba-Ku, Yunus”.
Justeru, Allah SWT berfirman dalam Al-Quran;
فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ وَنَجَّيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْغَمِّ ۚ وَكَذَٰلِكَ نُـۨجِى ٱلْمُؤْمِنِينَ (٨٨)
Surah al-Anbiya’ (21: 88)
“Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari pada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman”
Demikianlah Allah SWT memakbulkan doa para hambanya yang bertakwa kepada-Nya. Sepertimana, Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Ibrahim AS yang memohon rezeki. Doa tulus Nabi Sulaiman AS yang memohon kekuasaan, doa Nabi Nuh AS agar berjaya dalam dakwah yang telah mengambil masa selama sembilan ratus lima puluh (950) tahun, semua itu adalah bukti betapa mustajabnya doa para nabi.
Sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Memakbulkan doa para hamba-Nya, segala doa pasti mendapat perhatian dan pertimbangan daripada-Nya. Allah SWT sentiasa mendengar segala doa para hamba-Nya dan sentiasa memakbulkan doa-doa mereka yang beriman dan bertakwa kepada-Nya, khususnya doa-doa para nabi.
Justeru, kita digalakkan untuk berdoa sebagaimana doa-doa yang telah dilafazkan para nabi. Mudah-mudahan doa kita juga akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Insya-Allah. Apatah lagi jika doa itu adalah senjata yang paling ampuh bagi orang-orang yang beriman. Justeru, amat rugi jika kita tidak menggunakan senjata yang paling ampuh untuk mencari keredaan Allah SWT demi mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply