Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis Israel yang menyerang dan menggunakan kekerasan terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa pada Rabu sehingga menyebabkan kecederaan awam. Tindakan polis Israel yang menceroboh Masjid Al-Aqsa adalah biadab serta amat tidak bertanggungjawab. Malah tindakan tersebut berulang setiap tahun ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia mengutuk tindakan Israel termasuk menggesa agar serangan dan kekerasan ke atas jemaah Al-Aqsa ini dihentikan.
Masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah diarah untuk melaksanakan Solat Hajat pada 6 April 2023. Masjid dan Surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk melaksanakan Solat Hajat pada tarikh yang sama.
Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di Palestin.
Sekian, terima kasih.
DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
5 April 2023
Leave a Reply