Anak Adam Mencela Masa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata yang ertinya:

Rasulullah SAW bersabda, ‘Allah Azzawajal berfirman, ‘Anak Adam telah menyakiti-Ku, dia memaki masa sedangkan Akulah masa. Segala urusan di tangan-Ku, Akulah yang membolak-balikkan malam dan siang.’”

Dalam riwayat Muslim: “Allah  Azzawajal berfirman, ‘Anak Adam telah menyakiti-Ku, dia berkata, ‘Alangkah celakanya masa.’ Maka, janganlah salah seorang dalam kalangan kalian mengatakan, ‘Alangkah celakanya masa.’ Sesungguhnya Akulah masa, Akulah yang membolak-balikkan waktu malam dan siangnya. Apabila Aku kehendaki, Aku akan mematikan kedua-duanya.’” 

Dalam riwayat Ibnu Hibban pula: Sufyan bin ‘Uyaynah – beliau adalah salah seorang perawinya – berkata, “Orang-orang jahiliah selalu mengatakan, ‘Sesungguhnya waktu malam dan sianglah yang memusnahkan kita. la membinasakan, mematikan dan menghidupkan kita.’ Lalu Allah berfirman, (Orang-orang yang mengingkari hari kebangkitan berkata,) ‘Tidaklah ia (kehidupan itu) melainkan kehidupan kita di dunia … (sehingga akhir ayat ke-24, Surah al-Jatsiyah).’” Kemudian Ibnu Hibban menyebutkan hadis dengan lafaz beliau daripada Abu Hurairah.

Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Hibban-lafaz al-Bukhari. Tahkik Sunan Abi Daud: Sanadnya sahih. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih melalui para perawi al-Bukhari dan Muslim.

Pengajaran

  • Masyarakat Arab pada zaman jahiliah sentiasa menisbahkan masa kepada suatu peristiwa yang tidak baik dan tidak disukai mereka. Perbuatan ini tidak diredai Allah SWT  kerana menisbahkan sesuatu yang berlaku kepada selain Allah SWT.
  • Maksud menyakiti Allah SWT dengan ucapan tertentu tidak melibatkan perasaan dan fizikal tetapi ucapan itu tidak disukai oleh Allah SWT.
  • Ibarat “Akulah masa,” dalam hadis ini tidak menunjukkan bahawa masa merupakan salah satu daripada nama Allah tetapi ditafsirkan dengan tiga maksud:
    • Allah SWT ialah pentadbir segala urusan yang berlaku dalam suatu masa.
    • Allah SWT pemilik dan pencipta masa.
    • Allah SWT yang membolak-balikkan masa.

Para ulama muhaqqiqin mengatakan bahawa sesiapa yang menisbahkan suatu kejadian kepada masa secara hakiki dengan meyakini bahawa masa yang menentukannya, maka dia menjadi kafir. Namun jika dia menyebut ucapan ini tanpa berpegang kepada iktikad tersebut, maka dia tidak jatuh kafir tetapi ucapan itu dimakruhkan kerana menyerupai perkataan orang kafir secara mutlak.

Sumber: Hadis Qudsi, Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT, Muhammad Yusuf A Kadir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: