Imam Syafi’i memberi wasiat berkenaan lima perkara yang perlu diingati, iaitu:
1. Perbanyakkan menyebut Allah SWT daripada menyebut manusia.

Kita biasa menyebut-nyebut dan memuji-muji kebaikan orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut nama Allah SWT. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habis-habisan. Tetapi, nikmat yang terlalu banyak Allah SWT berikan, langsung kita tidak ingat.
Sebaik-baiknya, lidah kita sering dibasahi dengan memuji Allah SWT pada setiap masa. Bukan hanya mengucapkan Alhamdulillah ketika sudah kenyang sehingga sendawa. Pujian begini hanyalah di lidah dan tidak meresap ke hati.
2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia terlalu sedikit jikalau dibanding dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia berbanding dengan akhirat. Nikmat dunia juha 1 per 100 daripada nikmat akhirat. Hanya orang yang berfikiran sempit yang sibuk memikirkan dunia sehingga terlupa akhirat.
“Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang akhiratnya.”
Saham-saham dunia tidak penting. Apa yang paling penting ialah saham akhirat yang tidak pernah rugi dan merudum, malah sentiasa naik berlipat ganda. Oleh itu, perbanyakkan menyebut hal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian berbanding hal-hal kehidupan.
Kita sering memikirkan bekalan hidup semasa tua dan bersara, tetapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat. Ini kerana dengan melakukan perkara itu, kita menginsafi diri dan kekurangan amalan yang akan kita bawa ke sana. Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan banyak bekalan. Bekalan itu perlu dikumpulkan semasa hidup di dunia.
“Dunia ibarat kebun akhirat. Jikalau tidak diusahakan kebun dunia ini, masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat?”
Dalam hubungan ini, elok sekiranya kita mencontohi sikap sahabat, Saidina Ali bin Abu Talib RA. Meskipun sudah terjamin syurga untuk dirinya, Saidina Ali RA mengeluh dengan hebat tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Bagaimana pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan memang sentiasa memerangkap diri kita dengan menyuruh ataupun membisikkan supaya kita sentiasa mengingat ataupun menyebut kebaikan yang kita lakukan. Sama ada kebaikan itu kepada diri sendiri, keluarga ataupun masyarakat amnya. Kebaikan yang kita lakukan, kita sebut-sebut selalu seperti resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.
Kita terlupa, dengan menyebut dan mengingati kebaikan kita itu akan menimbulkan penyakit hati, iaitu ujub.
“Penyakit ujub ibarat api dalam sekam, merosakkan pahala kebajikan yang dilakukan.”
Lebih dahsyat lagi apabila menimbulkan riyak ataupun bangga diri.
Oleh itu, elok kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingati kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar, perbuatan baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang daripada Allah SWT. Allah SWT yang menyuruh kita berbuat baik.
Justeru, kita patut bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadikan kita orang yang baik, bukan mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah SWT yang mengurniakan kebaikan itu.
5. Jangan menyebut-nyebut dan menampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keabaikan dan kekurangan diri sendiri. Bak kata orang tua-tua, kuman di seberang laut nampak, tetapi gajah di depan mata tidak kelihatan.
Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberi isyarat bahawa diri kita sendiri yang tidak betul. Ibarat menunjukkan jari telunjuk kepada orang. Satu jari mengarah kepada orang itu, empat lari lagi menuding kepada diri sendiri. Ini bermakna bukan orang itu yang buruk, malah diri kita lebih buruk daripada dirinya.
Oleh itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri sendiri, bukan keburukan orang lain.
“Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak-rabak.”
Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia, iaitu melihat satu kebaikan yang ada pada diri orang lain itu meskipun terdapat banyak kejahatan pada dirinya.
Apabila melihat diri kita pula, lihat kejahatam yang ada pada diri kita walaupun kita pernah melakukan kebaikan. Hanya dengan cara ini kita terselamat daripada bisikan syaitan yang sentiasa mengatur perangkap bagi menjerumuskan kita ke neraka.
Sumber: 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali
Leave a Reply