Resepi Rumahtangga Bahagia – Senyumlah Setiap Pagi

Untuk memulakan hari dengan baik setiap hari, seorang suami perlu tersenyum apabila memandang isterinya, dan sebaliknya. Senyuman ini permulaan kepada persefahaman dan kompromi. 

“Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah” (HR Tirmidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi).

Rasulullah SAW merupakan seorang insan yang sering tersenyum. 

Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (An-Nuur 24:61)

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). (An-Nisaa’ 4:86) 

Ingatlah Kebaikan, Abaikanlah Kesilapan

Suami dan isteri perlulah mengingati kebaikan seorang lagi dan melupakan kesalahan-kesalahannya. Apabila seseorang sering mengingati kebaikan pasangannya, dan mengabaikan kesilapannya, hidup pasti akan lebih aman dan gembira.

Seorang penyair Arab berkata:

Siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan?

Dan siapa pula pemilik kebaikan yang tulen? 

Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.

(An-Nuur 24:21) 

Kesilapan kecil dan remeh sering mencetuskan masalah rumahtangga yang besar, dan begitu banyak rumahtangga yang berakhir dengan penceraian, bukan kerana perbezaan yang tidak dapat diuruskan, tetapi banyaknya kerana hal yang kecil dan tidak penting. 

Salah satu sebab pergaduhan rumahtangga ialah kerana rumah tidak bersih; satu lagi ialah kerana makan malam tidak disediakan tepat masa; masalah seterusnya ialah isteri lemas apabila suami sering menjemput tetamu ke rumah. Masalah-masalah sebegini akan memusnah keluarga, menyebabkan anak-anak terpisah daripada ibu bapa mereka. 

Hiduplah Dalam Realiti, Bukan Mengimpikan Utopia

Begitu penting bagi kita untuk hidup di dunia realiti dan tidak mengimpikan utopia. Kita ialah manusia, yang boleh marah dan yang boleh naik darah, lemah dan selalu membuat kesilapan. Oleh itu, apabila kita bercakap tentang mencari kebahagiaan rumahtangga, kita perlu ingat kepada konsep bahagia yang relatif, dan jangan mengharapkan kebahagian yang sempurna, yang total. 

Sifat mesra dan pergaulan yang baik Imam Ahmad Ibn Hanbal perlu ditekankan di sini. Beliau berkata, selepas kematian isterinya, “Dia telah menjadi temanku selama 40 tahun, dan dalam masa tersebut, aku tidak pernah berselisih faham dengannya.”

Menguruskan Kemarahan

Suami perlu diam apabila isteri sedang marah dan sebaliknya, sekurang-kurangnya sehingga marah itu reda dan ribut telah berkurangan, 

Ibn al-Jawzi berkata dalam Sayd al-Khatir

“Apabila pasanganmu marah dan berkata sesuatu yang tidak patut, janganlah kau terlalu mengambil hati. Situasinya itu ialah seperti orang mabuk yang tidak tahu apa yang sedang terjadi. Sebaliknya, bersabarlah, walaupun sebentar. Jika kau membalas kata-katanya dengan kasar, kau pun sama seperti dia yang membalas dendam terhadap orang yang sedang hilang akal, atau orang sedar yang mencari pembalasan ke atas orang yang tidak sedar. 

Pandanglah dia dengan kemaafan dan kasihanilah tingkahlakunya. Ketahuilah, apabila dia telah sedar daripada keadaannya, dia akan menyesal dengan apa yang berlaku dan menyedari nilaimu sebagai seorang penyabar. Kau perlu lebih sabar jika insan yang marah itu ialah ibu bapamu atau pasanganmu. 

Biarkan mereka sehingga mereka bertenang dan jangan mempertanggungjawabkan mereka atas kata-kata mereka ketika mereka sedang marah. Jika si marah bertemu dengan marah, kemarahannya tidak akan tenang walaupun dia telah sedar daripada ‘kemabukan’ mereka itu.” 

Mengemudi rumahtangga bukanlah kisah tit-for-tat, kau buat satu, aku balas satu. Menguruskan keharmonian rumahtangga lebih kepada bertolak-ansur, memahami, berkompromi dan memikirkan hasil yang terbaik dalam setiap situasi. Terkadang, keputusan-keputusan ini memang menuntut pengorbanan perasaan tetapi mereka yang berumahtangga perlu berpandangan jauh, melangkaui emosi dan ego diri yang bersifat sementara untuk mempertahankan mahligai yang dibina.   

Sumber: Don’t Be Sad, Dr A’id al-Qarni

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: