Oleh: AJ
Kisah Nabi Yusuf AS mendidik kita agar sentiasa berfikiran positif dan tidak melihat diri sebagai seorang mangsa. Nabi Yusuf AS dibuang oleh abang-abangnya, dijual sebagai hamba, dipenjara bertahun lama kerana difitnah isteri pembesar raja. Tetapi baginda tidak sekali pun menyalahkan siapa-siapa. Waima teman sepenjara pun melupakan baginda apabila bebas, walaupun teman itu sudah berjanji akan menceritakan kebolehan Nabi Yusuf AS mentafsir mimpi kepada pemerintah.
Ketika Nabi Yusuf AS dipanggil raja untuk mentafsirkan mimpi yang dialami baginda, Nabi Yusuf AS sudah pun mengatur perancangan untuk berkhidmat kepada negara apabila dibebaskan. Nabi Yusuf AS ingin berkuasa untuk membawa kemakmuran ke seluruh Mesir. Dan akhirnya Nabi Yusuf dilantik menjadi Menteri Kewangan Negara dan menyatukan semula ahli keluarganya tanpa membalas dendam terhadap mereka. Nabi Yusuf AS bangkit berwibawa dan merencana segalanya dengan penuh hikmah.
Walaupun yang membuat onar kepada Nabi Yusuf AS itu abang-abang baginda, di benak mereka, merekalah mangsa, bukan Nabi Yusuf. Kalau Nabi Yusuf tiada, tentu sekali Nabi Yaakub AS, ayah mereka akan menyayangi mereka lebih berbanding sekarang. Jadi mereka tidak merasa bersalah kerana adik inilah yang salah dan merekalah kelompok yang dianiaya.
Mentaliti mangsa ini semakin menyerlah di zaman ini apabila kita lihat rata-rata apa sahaja yang berlaku di dalam kehidupan, mangsanya itu adalah diri kita. Memesan espresso di kafe, apabila diberi di dalam cawan kecil, tiba-tiba kitalah mangsa. Maka menjeritlah kita meminta keadilan ditegakkan. Walhal, espresso memang begitu sifatnya, dan yang dimahukan ialah Americano iaitu kopi O gelas besar. Apabila kehidupan dilanda kesusahan, serta-merta kita melihat diri sebagai mangsa, pantas berkongsi duka lara di media sosial supaya ramai insan yang sudi untuk memujuk dan berpihak kepada diri kita.
Mentaliti Mangsa ini ialah apabila anda percaya anda tidak mempunyai kawalan ke atas perkara yang berlaku kepada anda. Kenapalah perkara buruk selalu terjadi kepada aku sahaja? Semua yang terjadi kerana salah orang lain, bukan salah aku dan aku tahu aku tak mampu untuk ubah apa yang berlaku walaupun aku cuba.
Jangan begitu. Sebaliknya sebagai seorang mukmin, hitunglah berkat dan rahmat Allah SWT yang tidak kunjung putus dalam kehidupan kita berbanding derita. Ramai yang akan berkata, cakap mudahlah! Sudah tentu cakap lebih mudah tetapi jika kita cuba menjadi seorang yang positif pun tidaklah sepayah mana.
Apa yang perlu dilakukan ialah anjakan minda untuk melihat diri dari sudut positif dan mengambil watak hero berbanding mangsa. Kalau pelayan sudah menerangkan apa itu espresso dan engkau masih tidak percaya, ini kebodohan. Mata sering cemburu melihat kehidupan mewah orang lain, tetapi tidak apa-apa perancangan yang dilakukan untuk menjadikan hidup engkau senang daripada biasa.
Pertama, hitunglah nikmat kehidupan. Terlalu banyak nikmat dan rahmat yang Allah SWT turunkan kepada hamba-hambaNya setiap masa. Nikmat mata, nikmat telinga, nikmat tubuh badan sihat, nikmat akal, nikmat makanan dan sebagainya. Allah SWT menjanjikan balasan syurga penuh kenikmatan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa di sepanjang hidup mereka. Firman Allah dalam Surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya.” atas kebanyakan daripada siapa saja yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.” Oleh itu tidak wajar manusia itu sentiasa pesimis, berputus asa dan melihat diri sebagai mangsa keadaan.
Allah SWT berfirman lagi, “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (At-Talaq 65:3) Manusia ini dicipta dengan keanjalan untuk melepasi segala bentuk ujian dan halangan yang Allah SWT tetapkan kecuali mati.
Jangan dirisau tentang rezeki atau mati kerana keduanya telah ditetapkan Allah SWT sejak azali. Apa yang perlu dititikberatkan ialah iman dan amalan kita sebagai seorang mukmin di muka bumi ini. Harta bergedung tiada makna, kerana yang dibawa hanyalah amalan baik yang diterima.
Lompat keluarlah dari mentaliti mangsa dan bangun berwibawa penuh tekad di dada. Kalau perkara yang terjadi tidak seperti yang kita ingini, Mufti Menk sarankan agar kita mengucap alhamdulillah dua kali kerana Allah SWT akan memberi kita dengan sesuatu yang lebih baik berbanding yang kita minta.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, 67:2)
Kalau kehidupan kita ditakdirkan miskin, hitunglah berkatnya kerana di akhirat nanti kita boleh cepat masuk syurga. Kalau kita ditakdirkan sakit, itu cara Allah SWT memadam dosa-dosa manusia. Jika kita kaya-raya, apakah tanggungjawab yang perlu dilunaskan kepada diri, keluarga dan masyarakat agar harta itu bukan asbab kita ke neraka. Segala yang Allah berikan kepada kita adalah supaya kita bersyukur akan nikmatnya dan bukan kita menjadi orang-orang yang melupakan pencipta.
NOTA: Kolum Catatan Pencinta Kopi dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berkarya di mymuslimin.com. Hantarkan kisah atau catatan anda ke email kami di mymuslimin2022@gmail.com dan kami akan menyiarkannya di kolum ini sekiranya terpilih.
Leave a Reply