Mukmin Hidup Bertemankan Allah

Seorang mukmin tidak mengidap penyakit jiwa yang merbahaya yang menyerang mereka yang tidak beriman, iaitu perasaan keseorangan yang membimbangkan. Orang yang mengidap penyakit ini merasakan dunia ini bagi mereka adalah tertutup dan merasakan hidup keseorangan dan terpencil, seolah-olah ia mangsa yang terselamat daripada sebuah kapal yang tenggelam dibaham gelombang dan dicampakkan oleh ombak ke sebuah pulau kecil menggerunkan yang hanya didiami olehnya seorang. Ia tidak melihat apa-apa melainkan laut dan langit yang biru. Ia tidak mendengar apa-apa melainkan hembusan angin dan deruan ombak.

Manakah alam yang lebih dashyat bagi jiwa dari alam seperti ini? Manakah perasaan yang lebih pahit dari perasaan seperti ini? Tindakan yang boleh dilakukan oleh pegawai penjara ke atas banduan-banduan ialah mengurungnya dalam sel-sel penjara seorang diri untuk menghalangnya dari menikmati keindahan dan kemesraan bercampur dengan masyarakat. Apa agaknya yang terjadi pada orang yang berpanjangan meletakkan dirinya di dalam sel penjara itu, dan hidup di dalamnya dengan perasaan dan gambaran sendiri walaupun dunia di sekitarnya penuh sesak dengan manusia ciptaan Allah.

Pakar-pakar jiwa sependapat mengatakan bahawa penyakit ini adalah di antara penyakit jiwa yang paling merbahaya kerana ia menjadikan orang yang mwngidapnya bersendirian dan hilang kepercayaan terhadap sesiapa yang bergaul dengannya. Ini kerana ia beranggapan bahawa semua orang di sekelilingnya tidak sama dengannya dalam segala asas-asas hidup. Di mana sahaja ia berpaling, dia hanya menemui dirinya sendiri. Sesetengah pakar membandingkan pesakit ini dengan seorang yang diperbuat daripada cermin. Ke mana sahaja ia memandang, tempat dia dikurung tidak mempunyai pintu dan tidak ada ia tidak melihat apa-apa selain daripada dirinya sendiri. Bilik tempat dia dikurung tidak mempunyai pintu dan tiada jalan keluar. Ke manakah jalan untuk dia lari daripadanya? 

Bolehkah manusia seperti ini bekerja atau menghasilkan produktiviti, bertahan dengan kesiuman dan kemampuannya untuk memahami dan menumpukan perhatian. Bolehkah insan seperti ini memperolehi ketenangan dan ketenteraman? Jawapannya pastilah tidak.

Malah pakar-pakar yang mengubati penyakit ini berkata bahawa penyakit jiwa ini meninggalkan kesan pada anggota tubuh badan manusia sebagaimana nampak jelas pada pergerakan dan tingkah lakunya. Kadang-kadang ia mengalami sakit kepala, bermandikan peluh, denyutan jantung yang cepat seolah-olah ia takut akan musuh yang gagah, atau seolah-olah ia akan menghadapi suasana yang dahsyat. Kadangkala ia terhoyong-hayang dalam gerak dan jalannya seolah-olah ia hendak lari.

Doktor Mozis Jobtahil, Pengarah Jabatan Kesihatan Mental di New York berkata: “Penyakit kesepian yang menyerang manusia adalah faktor yang utama sekali menyebabkan kekusutan fikiran. Para doktor dan pakar jiwa tidak berhenti-henti daripada berusaha mencari ubat yang boleh mengubati penyakit ini. Mereka telah mencurahkan usaha yang besar dengan mengadakan banyak kajian dan percubaan. Akhirnya mereka menjumpai ubat yang terbaik untuk penyakit ini iaitu dengan kembali kepada agama, berpegang kepada ikatan iman yang teguh, merasakan Allah ada bersama dan bermesra dengannya.”

Iman yang kuat adalah ubat yang terbaik untuk mengubati penyakit yang merbahaya ini dan ia juga merupakan sebaik-baik pengawalan daripada kecelakaan penyakit ini.

Doktor Frank Lobargh seorang pakar jiwa German berkata: “Sekalipun anda merasakan keseorangan diri, anda hendaklah mengetahui bahawa anda bukan berada keseorangan. Sekiranya anda berada di sebelah jalan maka berjalanlah dengan keyakinan bahawa sesungguhnya Allah ada berjalan di sebelah jalan yang lain.”

Kepercayaan seorang Muslim lebih besar dan dalam bahawa Allah ada bersama-sama dengannya di mana sahaja daripada yang dikatakan oleh pakar jiwa di atas. Dia beriman bahawa Allah ada bersama-sama dengannya di mana sahaja dia berada,  bukan di seberang jalan sana. Sesungguhnya Allah ada berfirman dalam hadith Qudsi:

“Aku adalah di sisi sangkaan hamba-Ku, Aku ada bersama-samanya apabila ia mengingati-Ku.”  

(Hadith Qudsi)

Firman Allah dalam al-Qur’an yang maksudnya:

“(Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan) dan Dia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal- amal kamu.”

(Muhammad 47:35)

Seorang sasterawan Barat berkata ketika menyambut tahun baru: “Saya berkata kepada seorang lelaki yang menunggu kedatangan tahun baru: “Berikan saya cahaya untuk menyuluh kegelapan jalan.” Lelaki itu menjawab: “Letakkan tanganmu di tangan Allah sesungguhnya Dia menunjukkan anda ke jalan yang lurus.”

Sesungguhnya perasaan insan mukmin bahawa Allah berada memimpinnya, inayah-Nya ada bersamanya, mata-Nya yang tidak tidur sentiasa melihatnya dan Dia sentiasa bersama-samanya di mana sahaja ia berada akan membuang bayang-bayang kesunyian yang menakutkan dan menghilangkan  dari dirinya kabus ketakutan yang meresahkan. Bagaimanakah seseorang boleh berasa kesunyian sekiranya dia membaca dalam kitab Tuhannya; yang bermaksud: 

“Dan Allah jualah yang memiliki Timur dan  Barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri  (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah. Sesungguhnya Allah Maha luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya) lagi sentiasa mengetahui.”

(Al-Baqarah 2:115)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

(Al-Hadid 57:4)

la tidak merasakan melainkan apa yang telah dikatakan oleh Nabi Musa kepada Bani Israel; yang maksudnya:

“Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan peliharaan dan pertolongan-Nya). Dia akan menunjukkan jalan kepadaku.”

(Al-Syuara 26:62)

Dia merasakan perasaan yang telah dirasai oleh Muhammad ketika baginda berkata kepada sahabatnya di dalam gua yang maksudnya:

“Janganlah engkau takut sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita.”

(Al-Taubah 9:40)

Sesungguhnya perasaan seorang mukmin bahawa dia berada bersama dan ditemani oleh Allah membuatkan ia sentiasa mesra dengan-Nya dan merasa nikmat yang berterusan kerana dekat dengan-Nya. Dia merasakan cahaya memenuhi kalbunya sekalipun ia berada dalam kegelapan malam. Dia merasakan kemesraan memenuhi hidupnya sekalipun ia berada dalam masyarakat yang ganas. Dia menyanyikan syair yang diucapkan oleh seorang hamba yang solih ketika bermunajat kepada Tuhannya:

Sesungguhnya hati yang Engkau tenangkan tidak memerlukan obor penerang
wajahMu yang dicitakan itulah hujjah kami
 pada hari manusia datang dengan berbagai alasan.

Sumber: Kemanisan Iman oleh Dr. Yusof Al-Qadarhawi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: