Ada orang mengatakan bahawa seluruh akidah agama mewajibkan ke atas pengikutnya beberapa jenis ibadat dan amalan korban dan istiadat yang mengambil banyak atau sedikit masa manusia mengikut agama dan bentuk ibadat agama itu. Sebagai contoh, sembahyang dalam Islam yang ditunaikan setiap hari sebanyak lima kali, tidakkah ini mengganggu kerja dan menghalang pekerja dalam zaman yang menggunakan robot, cepat dan perlumbaan yang hebat?
Sebenarnya ibadat di dalam agama-agama secara umumnya hanya mengambil sedikit masa manusia, selagi manusia tidak mencipta sendiri agama yang tidak diizinkan oleh Allah, kerana mereka akan menyusahkan dan memenatkan diri mereka.
Namun, waktu yang sedikit yang digunakan untuk menunaikan ibadat itu bukanlah merupakan waktu yang hilang begitu sahaja dalam kehidupan dan pengeluaran. Tidak sekali-kali. Malah ia menambah tenaga, melahirkan kekuatan dan menggilap semangat yang waja di dalam jiwa untuk kembali ke dalam kancah kehidupan dengan lebih kuat dan lebih tajam.
Adalah suatu perkara yang tidak adil membuat pengukuran hanya dengan kesan zahir yang nampak oleh mata dengan melupakan kesannya yang praktikal terhadap jiwa yang tidak dapat dilihat.
Alangkah benarnya apa yang dikatakan oleh Doktor Alexis Carrel, pengarang buku Man, The Unknown, iaitu salah seorang yang menerima hadiah nobel: “Barangkali sembahyang merupakan tenaga terbesar yang mengeluarkan kecergasan setakat yang diketahui hingga hari ini. Saya sudah melihat sendiri sebagai sifat saya sebagai seorang doktor mengangkat tangan mengaku gagal dan lemah maka sembahyang masuk campur lalu ia membersihkan mereka daripada penyakit mereka“.
“Sesungguhnya sembahyang seperti plumbum radium yang merupakan sumber sinar dan pengeluar tenaga. Dengan sembahyang manusia berusaha untuk menambah kecergasannya yang terbatas bila dia memohon pada “kekuatan” yang tidak binasa kecergasannya.“
“Sesungguhnya ketika kita sembahyang, kita menghubungkan diri kita kepada Allah yang menjadikan alam semesta ini. Kita memohon dengan penuh tawaduk agar Dia mengurniakan kepada kita sedikit kekuatan untuk kita gunakan menghadapi kesukaran hidup. Malahan sikap tawaduk sendiri sudah memadai untuk menambah kekuatan dan kecergasan kita. Kita dapati apabila seseorang itu bersikap rendah diri terhadap Allah, ia akan memberi pulangan yang terbaik.“
Sekiranya ini merupakan kesan sembahyang secara umum meliputi seluruh agama maka sesungguhnya sembahyang dalam Islam adalah jauh lebik baik kesannya.
Ia bukan amalan ubudiah, ia adalah kebersihan, pelajaran, riadah dan didikan akhlak. Ia juga, sebagaimana yang diaturkan oleh Islam dalam sistem berjamaah merupakan sekolah untuk mempelajari dasar-dasar, masyarakat yang ideal, institusi untuk mempelajari kasih membentuk sikap perasamaan sesama manusia.
Tidak tahulah sama ada produktiviti akan mengalami kerugian atau keuntungan dari seseorang yang bangun sebelum matahari terbit, bangun berwuduk, membersihkan diri dan sembahyang menyembah Tuhannya. Ia menghadapi siangnya terlebih awal dengan jiwa yang segar, badan yang cergas, lapang dada dan keyakinan yang kuat.
Adalah benar apa yang dikatakan oleh seorang pengkaji tentang kesan sembahyang berjemaah dalam Islam dalam kehidupan Muslim. Katanya: “Sesungguhnya adalah satu nikmat yang terbesar bagi insan dapat menikmati suasana penuh kedamaian sebanyak lima kali sehari di tengah-tengah kesibukan dunia, menikmati suasana persamaan ketika perbezaan merupakan sistem yang berkuasa, menikmati suasana kasih sayang ketika dunia diselubungi dengki-mendengki yang sangat teruk, tuduh-menuduh dan pergaduhan berlaku di segenap lapangan hidup seharian.”
Sembahyang merupakan nikmat yang paling baik kerana ia adalah gambaran yang jelas tentang hidup. Manusia tidak dapat tidak mesti bekerja di tengah-tengah keadaan yang boleh menimbulkan rasa marah dan membosankan. Insan muslim berpeluang menjauhkan dirinya dari semua ini sebanyak lima kali untuk merasai hakikat persamaan, persaudaraan dan kasih sayang, di mana sembahyang. merupakan sumber kebahagiaan insan yang sebenar.
Oleh kerana itu, waktu-waktu yang digunakan untuk sembahyang tidaklah boleh dikatakan hilang begitu sahaja dari segi kesannya yang baik dan berfaedah kepada manusia. Ini kerana di sebalik semuanya itu insan muslim telah menggunakan kesempatan waktu sembahyang dengan mempelajari pelajaran yang penting dan menjadikan manusia layak untuk meneruskan kehidupan.
Pelajaran-pelajaran yang penting dan menjadikan manusia layak untuk meneruskan kehidupan. Pelajaran-pelajaran tentang persaudaraan, persamaan dan kasih sayang yang diamalkan saban hari merupakan asas-asas untuk menyatukan seluruh manusia, dan mengabadikan tamadun umat manusia.
Insan Mukmin Membangunkan Bumi Allah Dengan Bekerja
Kadang-kadang ada orang yang hanyut dengan khayalan dan menggambarkan mukmin sebagai pendeta atau ahli suluk yang hanya menumpukan perhatian pada beribadat serta memutuskan hubungan diri dengan kehidupan. Ini merupakan satu malapetaka kepada pekerjaan dan pengeluaran.
Tetapi gambaran ini, walaupun terdapat dalam akidah Islam, Islam mengenali mukmin sebagai seorang yang rajin berusaha, bekerja, menunaikan tanggungjawab dan memainkan peranan dalam kehidupan. Dia menerima dan memberi serta menyahut kewajipan yang dikehendaki oleh Allah dari Bani Adam ketika menjadikan mereka khalifah-khalifah di bumi. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menjadikan kamu dari bumi dan meletakkan kamu sebagat pemerintah padanya.” (Hud 11:61)
Akidah Islam tidak mengenali ada satu hari tertentu dalam seminggu dikhaskan untuk beribadat dan pada hari itu manusia berhenti dari bekerja seperti yang dilakukan oleh Yahudi. Tetapi dalam Islam semua hari adalah hari bekerja. Kerja-kerja keduniaan boleh menjadi ibadat jika betul niatnya.
Hari Jumaat adalah hari kebesaran Islam. Allah berfirman padanya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila diseru kepada sembahyang hari Jumaat maka segeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah urusan jual beli. Yang demikian itu adalah lebih baik untuk kamu sekiranya kamu mengetahui. Maka apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang maka bertebaranlah kamu di muka bumi ini menjalankan urusan masing-masing dan carilah limpahan Allah yang kamu hajati serta ingatlah banyak-banyak terhadap Allah supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Jumu’ah 62:9-10)
Maka kehidupan muslim di hari Jumaat ini ialah bekerja, berjual, berniaga sebelum sembahyang. Kemudian berusaha kepada mengingati Allah dan menunaikan sembahyang. Seterusnya bertebaran di muka bumi untuk mendapatkan rezeki dan limpahan Allah sesudah mengerjakan sembahyang.
Telah diceritakan bahawa Umar bin al-Khattab melihat sekumpulan orang yang sedang berkumpul di salah satu sudut dalam masjid sesudah sembahyang Jumaat. la bertanya kepada mereka: “Siapa kamu?” Jawab: “Kami orang yang bertawakal kepada Allah.” Umar memarahi dan mengherdik mereka dengan katanya: Jangan ada sesiapa di antara kamu yang duduk tidak pergi berusaha mencari rezeki dan berdoa: “Ya Allah, kurniakanlah rezeki kepada kami!” “Sudah diketahui bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak dan sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: “Maka apabila selesai dikerjakan sembahyang maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah limpahan rezeki Allah yang kamu hajati.” (Al-Jumuah 62:10)
Beriman Kepada Akhirat Tidak Membantutkan Kerja Dunia
Ada orang mendakwa atau menyangka bahawa beriman kepada akhirat dan memikirkan tentangnya akan membantutkan kerja-kerja dunia dan akhirat seperti dua penghujung timbangan di mana kadar berat sebelah timbangan hanya akan diketahui apabila sebelah timbangan lagi menjadi ringan. Ia seperti timur dan barat jika anda hampir kepada salah satu dari kedua-duanya bererti anda telah berjauhan dari yang satu lagi dan seperti dua orang bermadu jika anda puaskan hati seorang, yang lain akan marah, begitulah seterusnya. Setiapkali perhatian ditumpukan kepada akhirat maka dunia akan dilalaikan.
Percakapan ini benar jika kita lihat kepada hati, tujuan dan niat. Sesiapa yang menjadikan dunia tujuan, matlamat dan perhatiannya maka dia akan jauh dari akhirat sekadar pergantungan hatinya dengan dunia. Kewajipan yang dituntut dari mukmin di dunia ialah supaya bekerja, berusaha berjuang, membangunkan, memaju dan memakmurkan muka bumi dengan syarat niat, tujuan dan harapan ialah akhirat. Mukmin menjadikan dunia sebagai kebun untuk akhirat. Kebun memerlukan kerja dan usaha, tetapi semua buahnya dikutip di akhirat walaupun sempat dirasakan sebahagiannya di dunia. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Semuanya itu adalah nikmat untuk orang yang beriman dalam kehidupan di dunia dan tertentu bagi orang yang beriman sahaja pada hari kiamat.” (Al-A’raf 7:32)
Itulah orang mukmin, menyediakan dunia untuk dirinya bukan menyediakan dirinya untuk dunia.
Insan mukmin tidak menjadikan dunia sebagai tuhan lalu dunia menjadikannya sebagai hamba. Tetapi insan mukmin adalah anggota yang bertugas dalam tubuh badan umat, darah yang mengalir dalam urat-uratnya, membekalkannya dengan kekuatan, gerakan dan pertumbuhan. Apabila dia bercucuk-tanam dia melakukannya dengan baik, apabila dia bertukang dia melakukannya dengan bijak. Dia bekerja dalam segala aspek kehidupan.
Para sahabat Rasulullah s.a.w. adalah peladang-peladang, saudagar-saudagar dan tukang-tukang yang tekun dan mahir. Keimanan mereka dengan akhirat tidak membantutkan mereka dari kerja-kerja dunia. Bagaimana tidak, kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Kalau hari kiamat sudah hampir berlaku sedang di tanganmu ada sebiji benih tamar, jika boleh ia menanamnya sebelum ia berlaku hendaklah ia menanamnya.”
Mengapa ia menanamnya sedangkan kiamat sudah hampir berlaku? Tidak ada harapan ia akan memberi sebarang faedah kepada seorang makhluk pun. Sesungguh-nya ini adalah penghormatannya kepada kerja itu sendiri walaupun ia tidak memberi sebarang faedah.
Bertawakkal Bukan Bererti Tawakul (Berserah Tanpa Usaha)
‘Sesungguhnya langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak.’ Dengan jawapan yang dilafazkan oleh Umar ini, tertolaklah segala keraguan yang bersarang di dada sebahagian mukmin, kerana antara sifat mukmin ialah bertawakkal kepada Allah dan menyerahkan kepada-Nya segala perkara. Al-Qur’an ada mengatakan yang bermaksud: “Bertawakkallah kepada Allah dan cukuplah Allah sebagai wakil.” (Al-Ahzab 33:3)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bertawakkallah kamu kepada Allah kerana cukuplah Allah menjadi pembela (yang memeliharamu daripada angkara mereka).” (An-Nisa’ 4:81)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah maka cukuplah baginya Allah sebagai penentu.” (Al-Talaq 65:3)
Tetapi apakah erti tawakal? Sesungguhnya tawakal bukanlah ertinya meninggalkan segala sebab musabab yang ditetapkan oleh Allah, menyerahkan kepada-Nya supaya melakukan perkara luar biasa dengan menjadikan langit dari atas kepalanya menurunkan hujan emas dan perak dan bumi di bawah kakinya mengeluarkan roti, lauk, minyak dan madu untuknya tanpa payah berpenat lelah, tanpa usaha, tanpa berfikir dan tanpa bekerja.
Sesungguhnya erti tawakal ialah insan menyusun dan melakukan dahulu segala usaha dan membiarkan Allah membuat keputusan.
Dia menanam benih dan mengharapkan buahnya dari Tuhan. Dia hendaklah melakukan aspek-aspek yang perlu dilakukan oleh manusia, dan menyerahkan selebihnya kepada tuhannya yang menyediakan sebab-sebab dan menghilangkan halangan untuk mencapai hasil.
Alangkah banyak sebab dan halangan kejayaan yang tidak diketahui manusia, selain dari dia tidak dapat mengatasinya. Seorang Arab dari pedalaman datang menemui Rasulullah. Dia meninggalkan untanya di pintu masjid. Dia menyangka dengan meletakkannya di situ dia sudah bertawakkal kepada Allah. Nabi SAW bersabda dengan ungkapannya yang menjadi sebutan perumpamaan di kalangan orang Islam yang bermaksud: “Ikatlah unta itu dan bertawakkal.”
Hadith yang menjadi pegangan kepada orang yang salah pemahaman ialah yang bermaksud: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti burung-burung terbang pagi dalam keadaan lapar dan terbang petang kembali ke sarang dalam keadaan kenyang.”
Sebenarnya hadith ini membatalkan pemahaman mereka sendiri, kerana Allah tidak menjamin burung-burung itu pulang dengan perut yang penuh kecuali sesudah ia terbang dan berusaha, bukan dengan hanya duduk diam di sarangnya.
Sumber: Kemanisan Iman oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi