Suatu hari Abdullah bin Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Abbas dan sahabat yang lain yang berada di sisinya.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya;
“Hendakkah kamu semua mendengar sesuatu tentang manusia yang paling jahat di sisi Allah?”
Ibnu Abbas dan sahabat yang lain berkata, “Beritahu kami wahai Rasulullah SAW, kamu semua ingin mengetahuinya siapakah mereka.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda;
“Mereka ialah seseorang yang meminta dengan nama Allah tetapi tiada siapa pun yang memberinya, sedangkan mereka mampu berbuat demikian.”
Kehidupan yang terdesak sebenarnya boleh berlaku dalam semua lapisan hidup manusia, sama ada dia seorang raja adakalanya terdesak dengan cara hidup seorang raja, rakyat terdesak dengan cara hidup rakyat, orang kaya juga menghadapi keadaan terdesak pada suatu ketika mengikut keadaan orang kaya. Apatah lagi si fakir yang hidupnya sentiasa susah dan kekurangan dalam serba serbi, kesempitan hidup adalah pakaian bagi mereka.
Dalam saat yang begitu genting dan amat memerlukan, langkah pertama orang yang terdesak itu mengadu dan berdoa kepada Allah SWT, sesungguhnya Dia Maha Mendengar akan doa hamba-Nya.
Jika Allah memperkenankan doa itu, adakalanya Dia mengerakkan hati seseorang dan mempertemukannya dengan si fakir sehingga pertolongan daripada mereka yang simpati segera diperoleh.
Bagaimanapun adakalanya terjadi seorang yang benar-benar terdesak tiada pula mendapat simpati, apatah lagi kepercayaan. Lantaran itu ketika dia meminta pertolongan daripada rakan dan taulan terpaksa dia menyebut dengan nama Allah, umpamanya “Demi Allah saya sangat kesempitan, tolonglah saya,” dalam keadaan begitu pun orang yang ditemui tidak sudi membantunya, sedangkan orang itu mampu berbuat demikian.
Jika begitu terdesaknya orang itu sehingga bersumpah menyebut nama Allah, namun tidak juga datang rasa simpati oleh mereka yang mempunyai keupayaan, sesungguhnya itulah sejahat-jahat manusia menurut hadis Rasulullah SAW itu. Wajarlah dikatakan jahat kerana dia telah membiarkan saudaranya dalam kesempitan, sedangkan dia mampu menolongnya.
Pengajaran dari hadis tersebut ialah apabila seorang yang benar-benar terdesak sehingga dia menyebut nama Allah, jika pertolongan tidak diberi sedangkan dia mampu, maka ertinya mereka tidak menghargai nama Allah yang diserukan itu. Dia menjadi sejahat-jahat manusia, kerana sikapnya yang tidak menghiraukan kesusahan orang lain walaupun dia dapat membantu.
Selain itu janganlah seseorang mempermudahkan menggunakan nama Allah bagi tujuan dirinya, mencari simpati dengan menjaga nama Allah. Menyedari bahawa nama Allah itu disebut nescaya dia akan segera menerima simpati dan mendapat sesuatu yang dihajati daripada orang lain.
Sikap seperti itu menunjukkan suatu penyalahgunaan terhadap nama Allah. Sering ditemui orang-orang yang menggunakan nama orang kenamaan atau tokoh-tokoh tertentu secara sewenang-wenangnya bagi mendapatkan kepentingan, maka perbuatan tersebut dianggap buruk. Apatah lagi jika mereka menggunakan nama Allah, maka tidak layak nama Allah untuk diperalat oleh seseorang bagi maksud mendapat simpati semata-mata.
Dalam usaha si fakir untuk mendapat pertolongan dengan menyebut nama Allah, ibarat orang dalam kecemasan di tengah lautan. Dia terpaksa menghantar isyarat kecemasan agar isyarat itu dilihat dan difahami oleh sesiapa jua semoga pertolongan segera dihantar.
Isyarat kecemasan itu tidak selalu digunakan kecuali dalam keadaan benar-benar terdesak. Oleh itu jika ada pihak yang sengaja mempermainkan isyarat kecemasan, mungkin akan meninggalkan kesan buruk, akhirnya isyarat kecemasan tidak lagi diberi perhatian oleh sesiapa yang melihatnya.
Petikan dari: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply