Nabi bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan seorang malaikat yang berdiri di bawah ‘Arsy. Malaikat itu mempunyai 40,000 tanduk, jarak antara satu tanduk ke tanduk yang lain sejauh perjalanan 1,000 tahun, dan pada tiap-tiap tanduk terdapat 1,000 barisan malaikat, sedangkan pada wajah malaikat itu (memancar) sebuah matahari dan pada tengkuknya ada sebuah bulan dan pada dadanya (berkedip) bintang. Apabila tiba hari Jumaat, malaikat tadi sujud kepada Allah Ta’ala sambil mengucapkan dalam sujudnya: “Ya Allah, ampunilah orang yang melaksanakan solat Jumaat dari umat Muhammad s.a.w.” Dan Allah Ta’ala berfirman: “Wahai malaikat-Ku, saksikanlah olehmu sekalian, bahawa Aku benar-benar telah mengampuni sesiapa pun yang melaksanakan solat Jumaat.”
(Kanzul Akhbar)
Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. dia berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Jika tiba hari Jumaat, maka setiap pintu masjid terdapat para malaikat yang mencatat yang paling awal (datang untuk melaksanakan solat Jumaat). Jika imam telah duduk, mereka menutup suhuf (lembaran) dan datang untuk mendengar zikir.”
(HR. Bukhari)
“Jika tiba hari Jumaat, Allah s.w.t. mengutus para malaikat dengan suhuf dan pena yang diperbuat dari cahaya….”
(HR. Abu Na’im)
Selawat Malaikat pada Orang yang Berjalan Menuju ke Masjid untuk Solat dan Beriktikaf
Dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa para malaikat berselawat kepada orang yang berjalan pergi ke masjid dengan mengucapkan:
“Ya Allah, limpahkanlah selawat kepadanya, dan limpahilah dia dengan rahmat selagi dia tidak mengganggu di dalamnya dan selagi dia belum berhadas.”
(HR. Muslim)
Dalam riwayat hadis yang lain dikatakan:
“Ya Allah,ampunilah dia. Ya Allah kurniakanlah dia taubat selagi dia tidak mengganggu di dalamnya dan belum berhadas.”
(HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Malik)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Solatnya seorang lelaki secara berjemaah melebihi solatnya (bersendirian) di rumah dan di tempat lain, iaitu dua puluh lima darjat. Dalam melakukan perkara itu hendaklah dia berwuduk, berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian berangkat untuk solat berjemaah dan tidak keluar rumah kecuali untuk solat. Tidaklah dia melangkahkan kaki kecuali dalam setiap langkahnya diangkat satu darjat dan dihapuskan satu kesalahan. Jika dia solat, para malaikat mengirimkan selawat kepadanya selagi dia berada dalam mushalanya, ‘Ya Allah, limpahkanlah selawat kepadanya. Ya Allah, limpahilah dia dengan rahmat, selagi dia masih dalam solat dan selagi dia menanti solat berikutnya.”
Sumber: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT, Rachmat Ramadhana al-Banjari
Leave a Reply